Tuesday, March 29, 2011

Mat Zain Ibrahim dedah hubungan tiga Tan Sri..

KUALA LUMPUR: Pegawai penyiasat polis dalam kes mata lebam Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mat Zain Ibrahim mendedahkan laporan salahguna kuasa yang dilakukan bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik yang cuba ditutupi dua Tan Sri, Ghani Patail dan bekas Ketua Polis Negara, Musa Hassan.

Menurut beliau, di antara 9 Julai hingga 20 Ogos 1999, Anwar telah membuat empat laporan polis mendedahkan perbuatan rasuah pemimpin politik dalam kerajaan. Laporan-laporan itu turut menamakan Tun Mahathir, peguam negara Allahyarham Mokhtar Abdullah dan Ghani Patail yang ketika itu merupakan Timbalan Pendakwa raya.

Mat Zain berkata, pertembungan antara Rahim dan Anwar dilihat jelas dalam laporan bertarikh 20 Ogos 1999 yang mendakwa ketiga individu itu menyalahguna kuasa, melindungi perbuatan rasuah, menutup siasatan dan tidak mengenakan sebarang pendakwaan terhadap rasuah membabitkan Rahim.

“Bersekali dengan report tersebut, Anwar telah menyertakan satu set salinan laporan siasatan Badan Pencegah Rasuah(BPR)terhadap Rahim yang disahkan oleh Bahagian Pendakwaan,Jabatan Peguam Negara dan ditanda tangani oleh Gani Patail yang mengkelaskan dokumen tersebut sebagai RAHSIA,” ujar beliau dalam satu surat yang dialamatkan kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar.

Mat Zain yang pada masa itu Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (KJSJ) berkata, beliau menangani ke empat laporan itu melibatkan rasuah berjumlah RM40 juta atau bersamaan RM39,782,772.60 yang disahkan Ghani.

Katanya, terdapat perbezaan antara KJSJ dengan Jabatan Peguam negara dalam menangani laporan itu-.

Peguam Negara mahu ia diklasifikasi di bawah Akta Rahsia Rasmi sementara KJSJ pula mahu ia disiasat di bawah Seksyen 2(1)Emergency(Essential Powers) Ordinance 2,1970 berkaitan kesalahan salahguna kuasa, di mana siasatan dijangka membabitkan rakaman keterangan daripada Mahathir, Allahyarham Mokhtar Abdullah dan Gani Patail sendiri serta lain-lain kenamaan.

Bagaimanapun katanya, pada 28 Ogos 1999, beliau menerima surat daripada Jabatan Peguam Negara memaklumkan laporan yang dibuat Anwar terhadap Rahim, akan disiasat oleh Musa Hassan setelah kononnya Gani Patail membuat laporan terhadap Anwar pula kerana kesalahan di-bawah Akta Rahsia Rasmi.

“Apa yang berlaku ialah, Gani Patail dengan kemudahan yang diberi oleh Musa Hassan telah menterbalikkan kedudukan laporan Anwar yang melibatkan Rahim untuk menyebabkan Anwar pula disiasat dibawah Akta Rahsia Rasmi.

“Lebih mudah untuk saya menyatakan laporan melibatkan Rahim itu telah di”hijacked” oleh Musa Hassan daripada tangan KJSJ Kuala Lumpur,” jelas Mat Zain dalam surat berkenaan.

“Perbandingan yang boleh dibuat disini ialah apabila menangani siasatan terhadap Anwar, Gani Patail dan Musa Hassan sanggup melakukan apa sahaja antaranya memaksa pakar Kerajaan membuat beberapa laporan palsu, mengujudkan keterangan DNA palsu,menipu dan melakukan tindakan-tindakan melampaui batasan undang-undang dan lojik untuk mensabitkan kesalahan terhadap Anwar.

“Sebaliknya apabila menangani siasatan berkaitan Rahim pula, Ghani Patail dan Musa Hassan, sanggup melakukan apa sahaja antaranya, menterbalikkan fakta dan memutarbelitkan keterangan untuk membersihkan Rahim daripada sebarang salah laku jenayah sambil meletakkan kesalahan terhadap pengadunya pula.

Walaupun Musa Hassan telah bersara namun Gani Patail masih berkuasa sebagai Peguam Negara.

“Apabila siasatan mengenai video lucah ini sampai ketangan Jabatan Peguam Negara kelak, kita boleh menjangka pendirian Gani Patail, lebih-lebih lagi apabila mengambil kira isu video lucah ini juga adalah pertembungan antara Rahim dan Anwar.

“Isu yang sering saya bawa sehingga ke peringkat YAB Perdana Menteri secara persendirian, ialah berkenaan dengan salahlaku jenayah Gani Patail dan Musa Hassan yang bukan sahaja telah menjejaskan maruah PDRM dan saya secara peribadi malahan mereka mengkucar-kacirkan Sistem Keadilan Jenayah kita.

“Saya tidak ralat mendedahkannya memandangkan saya telah menasihatkan mereka berdua tahun 1998 bahawa sebarang pemalsuan dan penganiayaan akan terbongkar suatu hari nanti,” jelas surat berkenaan.

Hampir 10,000 solat hajat tolak fitnah jahat..

Kepada Allah, umat Islam berserah dan menaruh harap agar amalan finah tidak berlarutan

SHAH ALAM: Hampir 10,000 umat Islam menunaikan solat hajat pada program Solat Hajat dan Pidato Khas – Menolak Fitnah Jahat di Stadium Malawati di sini, malam ini.

Program itu bermula jam 7 malam dengan solat Maghrib sebelum solat hajat yang diimami Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Turut menyertai solat ialah Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat dan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim, selain umat Islam dari pelusuk tanah air, khususnya anak Selangor.
Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said turut menyertai solat hajat itu.

Program kemudian diteruskan dengan ucapan beberapa pemimpin utama Pakatan Rakyat termasuk Anwar, Hadi dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

Program berkenaan dibuat berikutan amalan fitnah semakin menjadi-jadi dalam lanskap politik tanah air, khususnya melibatkan Anwar.

Selain perbicaraan kes Fitnah II, umat Islam digemparkan dengan penayangan video seks palsu yang bertujuan meranapkan reputasi Ketua Pembangkang itu di mata rakyat tetapi usaha jahat itu gagal memikat hati rakyat.

(Laporan Lanjut Menyusul)

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=10029

Yusof Qaradawi, Sheikh Taha sedia jadi saksi untuk Anwar

KUALA LUMPUR: Dua ulama terkemuka dunia bersedia menjadi saksi bagi membela Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai isu pluralisme.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom berkata kerajaan sedang menyiasat ucapan Anwar di London School of Economics tahun lepas kerana didakwa kononnya mempromosi pluralisme.

Menurut Anwar, nampak jelas Jamil tidak memahami maksud pluralisme dan tidak membaca ucapan beliau. “Pluralisme bukan bermakna kita menghina atau merendahkan kekuatan Islam.

Sebaliknya ia adalah fahaman yang mempromosi toleransi dan berbaik-baik antara agama dalam dunia,” kata beliau.

Menjawab satu soalan Anwar berkata sekiranya kerajaan ingin mendakwa beliau ke Mahkamah Syariah, itu hak mereka. “Dua ulama terkemuka dunia Yusuf al-Qaradawi dan Dr. Sheikh Taha Jabir al-Alwani sudah menyatakan kesedian menjadi saksi sekiranya kerajaan mendakwa saya di Mahkamah Syariah,” tambah Anwar.

Tindakan Jamil menyiasat Anwar menyerlahkan hipokrasi kerajaan BN kerana sebelum ini Jamil juga menghalang pelaksanaan qazaf dalam kes melibatkan dakwaan Saiful Bukhari Azlan terhadap Anwar.

Saturday, March 26, 2011

VIDEO CERAMAH ANWAR DI TAMAN MELAWATI 25 MAC 2011

KUALA LUMPUR: Lebih 5,000 rakyat pelbagai lapisan kaum hadir program pelancaran Kempen Tolak kes Fitnah II anjuran KEADILAN di perkarangan Pusat Khidmat Rakyat Ahli Parlimen Gombak, Taman Melawati di sini, malam ini.

Seperti kelaziman, program anjuran KEADILAN itu dihalang polis hingga menyebabkan majlis yang dijadual bermula jam 9 malam ditangguh kira-kira sejam.

Polis dikatakan hanya membenarkan sesi ucapan selama 30 minit sahaja, menyebabkan pegawai kepada Timbalan Presiden KEADILAN, Mohamed Azmin Ali terpaksa berunding dengan polis Ampang.
Kemunculan Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada program itu tambah menggamatkan hadirin.

Bagaimanapun, polis hanya membenarkan Anwar memberi ucapan selama 15 minit sahaja, malah mematikan pembesar suara dan mengheret Ketua Umum KEADILAN itu turun dari pentas, hingga menimbulkan kemarahan orang ramai.
Ketika itu, orang ramai termasuk anggota AMK cuba menghalang polis dari menghampiri Anwar dengan menutup laluan ke pentas hingga memaksa polis menggunakan perisai dan merempuh mereka.
Pada jam 11.30 malam, polis menyerbu ke arah orang ramai hingga menimbulkan kekecohan sedangkan program itu, asalnya berlangsung aman.

Suasana terus kecoh dan dua orang ditahan polis iaitu Mazlan Mohamad Raos yang disumbat ke lokap balai polis Hulu Klang manakala seorang lagi, Helmy Eizal – seorang ahli AMK Gombak bermalam di lokap balai polis Ampang.
Dalam pada itu, seorang wartawan Free Malaysia Today, Fazy Sahir cedera ringan terkena lontaran kerusi dalam suasana kecoh itu.

Kempen itu dinamakan sebagai ‘DNA’ atau ‘Datuk Najib-Altantuya’ bertujuan mengupas perkembangan terkini kes yang dihadapi Datuk Seri Anwar Ibrahim dan fitnah terbaru mengenai rakaman video seks yang didalangi Umno melalui ‘Datuk T’.
Turut hadir dalam ceramah ialah Ahli Parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusoff dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Hulu Klang, Saari Sungib.

SILA KLIK DIBAWAH

http://www.youtube.com/watch?v=wKdU0cK-TeE&feature=player_embedded#at=120

Dr M, Najib subur budaya ‘tukang’ fitnah dapat ganjaran besar

KUALA LUMPUR: Individu yang terlibat dalam menjayakan perancangan fitnah terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak 1998 hingga kini, menerima ganjaran pangkat dan wang, kata Setiausaha Agung KEADILAN, Saifuddin Nasution Ismail.
Dalam kenyataan media, beliau berkata rekod menunjukkan hakim, polis, Peguam Negara dan beberapa individu yang terlibat dalam konspirasi yang dilakukan Tun Dr Mahathir Mohamad melalui Fitnah I pada 1998, diberi ganjaran besar.

“Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Augustine Paul dinaikkan sebagai Hakim Mahkamah Rayuan dan kemudiannya Hakim Mahkamah Persekutuan.
“Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Pajan Singh Gill dan Datuk Richard Malanjum naik pangkat sebagai sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan. Datuk Ariffin Jaka juga dinaikkan dari Hakim Mahkamah Tinggi menjadi Hakim Mahkamah Rayuan,” katanya.

Saifuddin berkata, kenaikan pangkat itu lebih awal berbanding hakim yang lebih senior ketika itu seperti Gopal Sri Ram, Datuk Mokhtar Sidin, Datuk Denis Ong and Datuk Abdul Kadir Sulaiman.
Katanya, Peguam Negara, Tan Sri Mohtar Abdullah dinaikkan pangkat sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan manakala pegawai penyiasat, (Tan Sri) Musa Hassan ‘meroket’ daripada ke SAC II kepada SAC I, Pengarah Siasatan Jenayah dan Ketua Polis Negara.

“Timbalan Pendakwa raya, Tan Sri Abdul Gani Patail dinaikkan sebagai Peguam Negara. SAC I Datuk Mohd Rodwan Mohd Yusof dilantik menjadi Ketua Polis Melaka.
“Individu lain seperti seperti Azizan Abu Bakar yang asalnya seorang pemandu mendapat ganjaran dan dijadikan pengarah sebuah syarikat,” katanya.

Saifuddin berkata, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Najib Razak adalah individu politik yang bertanggungjawab menyubur budaya fitnah dengan memberi ganjaran besar kepada mereka yang menjayakan fitnah.

“Fitnah menjadi budaya dan amalan Umno sejak sekian lama, malah disaat parti itu kehilangan sokongan, fitnah adalah satu-satu senjata mereka untuk terus berkuasa.
“Oleh itu, penerbitan video seks palsu bertujuan memburukkan Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mengejutkan,” katanya.
Walaupun bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Rahim Tamby Chik dan beberapa individu tampil mengaku terlibat, Saifuddin berkata, Mahathir dan Najib – dua tokoh berpengaruh dalam Umno itu perlu memikul tanggungjawab.

Saifuddin berkata, fitnah itu kemudian diteruskan Najib dengan mencipta satu lagi konspirasi baru melalui tuduhan rekaan kononnya Anwar meliwat Saiful Bukhari Azlan.
“Apakah ada yang percaya bahawa Saiful dan pemain-pemain lain yang menjayakan skrip fitnah ini tidak diberi ganjaran?” katanya.

Natijahnya, beliau berkata, Mahathir dan Najib seolah-olah memberi mesej kepada rakyat bahawa mereka digalak memfitnah kerana ganjaran besar menanti, malah juga akan dilindungi.
“Kerana itu, Rahim Tamby Chik dan individu-individu lain berani membuat video seks palsu, iaitu fitnah terbesar dan terjijik setakat ini di Malaysia.

“Najib dan Mahathir mesti memikul tanggungjawab!”

Monday, March 21, 2011

Tak pernah dibuktikan DNA datang dari semen – Pakar

KUALA LUMPUR: Hakikat bahawa DNA yang dikemukakan oleh pendakwa adalah dipalit secara tipu helah disahkan oleh seorang pakar DNA, Dr Brian L McDonald.

Ini kerana menurut beliau, bukti-bukti DNA yang dibawa sepanjang perbicaraan adalah tidak relevan kerana ia bukan datang dari semen milik Datuk Seri Anwar Ibrahim atau dari anus Saiful.

“Tidak ada satu pun keterangan yang membuktikan bahawa DNA ‘Lelaki Y’ (yang dikemukakan di mahkamah) diperolehi dari semen milik Anwar atau dari anus pengadu (Saiful),” kata Dr Brian.

Beliau menambah, malah pakar-pakar kimia yang dikemukakan oleh pihak pendakwa sebagai saksi, Dr Seah Lay Hong dan Nor Aidora Saedon dalam kes ini juga gagal membuktikannya.

“Dr Seah, walaupun menyatakan sampel DNA tersebut diambil dari anus tertuduh, tetapi gagal mengemukakan bukti untuk menyokong kenyataannya,” kata beliau dalam emel kepada KeadilanDaily.

Malah, tambah beliau keterangan Dr Seah and Nor Adora dalam mahkamah juga bercanggah dan tidak konsisten.

Dr Brian mempunyai PhD dalam bidang Phatologi dari University of Western Australia. Beliau yang beroperasi di Australia mempunyai lebih 20 tahun pengalaman dalam bidang DNA dan Forensik.

Pendapat Dr Brian ini mengesahkan teori konspirasi umum bahawa DNA Anwar diambil ketika beliau di dalam lokap, kemudiannya dipalit ke sampel bagi mewujudkan bukti.

Friday, March 18, 2011

Kerajaan Selangor Edar Semakan Audit Yayasan Selangor Hari Ini

Kerajaan Selangor hari ini mengedarkan laporan audit Yayasan Selangor yang disemak oleh Bahagian Audit Dalaman Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri.

Semakan audit Yayasan Selangor banyak menumpu hal-hal berkaitan pengurusan perbelanjaan Majlis Ulang Tahun ke-40 Yayasan Selangor yang dirancang ada 15 November 2010 lalu. Hasil audit dalaman bertarikh 14 Disember 2010 mendapati terdapat beberapa isu berkaitan aturan perbelanjaan yang dikatakan tidak mengikut aturan biasa. Terdapat juga tindakan yang dikatakan tidak menjaga kepentingan Yayasan Selangor.

Antara tindakan yang menunjukkan tadbir urus korporat yang tidak baik ialah seramai 18 warga kerja telah berhenti dan 50 lagi ditukarkan dalam tempoh Mac hingga November 2010.

Perbelanjaan yang tidak telus, tidak berhemah dan tidak munasabah menyebabkan kos perbelanjaan Ulang Tahun ke-40 Yayasan Selangor mencecah hampir RM1 juta malah terdapat perbelanjaan yang selesai dibayar kepada Pengurus Acara walaupun aktiviti belum dilaksanakan.

Pengurus Besar juga meluluskan elaun-elaun yang tidak sepatutnya dibayar kepada Ahli Mesyuarat.

Terdapat 12 keputusan tertinggi dibuat sepanjang 2010 hanya melalui Circular Resolusi malah tidak dimaklumkan atau diluluskan oleh Pihak Berkuasa Negeri mengikut kehendak Pekeliling Perbendaharaan Bilangan 12 1993-arahan bagi meningkatkan kualiti perancangan dan kawalan ke atas pengurusan syarikat-syarikat kerajaan.

Semakan Audit juga mendapati, Timbalan Pengurusan Besar (Pengurusan) tidak menghormati arahan bercuti dalam siasatan dengan hadir mesyuarat yang dihadiri Pengurus Besar. Perbelanjaan tanpa perancangan menyebabkan kedudukan kewangan Yayasan Selangor mengalami defisit sebanyak RM7.41 juta sehingga November 2010.

Kerajaan Selangor telah dan akan terus meneliti setiap syor yang diberikan dan akan menggunapakai cadangan tersebut dari semasa ke semasa demi menjaga kredibiliti Yayasan Selangor milikan penuh Kerajaan Negeri.

Justeru, pada 5 Januari 2011, satu surat tunjuk sebab telah dikeluarkan kepada Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan) bagi menjawab setiap kuiri yang ditimbulkan. Proses yang teratur, adil dan bebas telah dijalankan. Pandangan serta saranan dari Pejabat Penasihat Undang-undang Negeri juga telah diperolehi.

Akhirnya pada 17 Februari 2011, Mesyuarat Khas Lembaga Pengarah Yayasan Selangor telah sebulat suara memutuskan untuk menamatkan kontrak Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan) dengan alasan gagal menunaikan tanggung jawab dan urus tadbir kewangan yang baik serta tidak prihatin dengan prosedur yayasan.

Pada 18 Februari 2011, satu surat yang ditandatangani YAB Menteri Besar telah dikeluarkan yang mengarahkan Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan) ditamatkan kontrak dalam tempoh 24 jam berkuatkuasa serta merta.

Kerajaan Selangor sentiasa berpegang pada prinsip ketelusan dan kebertanggungjawaban. Adalah menjadi harapan Kerajaan Negeri semua institusi termasuk Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri bukan sahaja mengamalkan perbelanjaan berjimat cermat dan berhemah malah menyediakan audit tahunan yang tertib, lengkap dan teratur untuk semakan umum.

Kerajaan Selangor akan sentiasa bersikap telus dan tidak akan menyembunyikan sebarang salah laku yang dilakukan oleh mana-mana pegawai, kakitangan awam dan anak-anak syarikat di bawah Kerajaan Negeri. Kita juga tidak akan teragak-agak mengambil tindakan yang difikirkan perlu demi menjaga amanah yang diberikan rakyat Selangor.

TAN SRI ABDUL KHALID BIN IBRAHIM

DATO' MENTERI BESAR SELANGOR

Wednesday, March 16, 2011

Respon terhadap Zaid Ibrahim

Malang sekali apabila Zaid Ibrahim terpaksa menjatuhkan maruahnya ke tahap serendah Perkasa dan GAPS dalam meneruskan dendamnya terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar bukan hanya enggan menyerahkan DNA beliau kerana beliau secara perundangan tidak perlu melakukannya bahkan juga kerana pasukan pembelaan beliau tidak meyakini ketelusan sistem sedia ada.

Pendirian Anwar dan Pakatan Rakyat terhadap kes ini adalah jelas: pertuduhan yang dikemukakan adalah konspirasi yang bertujuan untuk membunuh karier politik beliau. Dalam tempoh singkat Zaid bersama KEADILAN, beliau giat menegakkan pendirian yang sama, namun pada hari ini beliau nampaknya sudah terlupa.

Apa yang jelas sepanjang perbicaraan berjalan, pihak pendakwaan telah menafikan semua permohonan pasukan pembelaan supaya mengemukakan segala bukti dan data lengkap serta sampel DNA yang diuji dari sampel yang diambil daripada tubuh dan pakaian Saiful Bukhari. Sebagai peguam, Zaid sewajarnya mengetahui bahawa ini bercanggah dengan protokol ujian DNA dan secara otomatik mengecualikan bukti tersebut dalam mana-mana perbicaraan adil.

Penolakan tersebut menghalang pasukan pembelaan dan mahkamah untuk menilai kesahihan ujian DNA tersebut secara bebas. Penolakan ini hanya mengukuhkan pandangan bahawa pihak pendakwaan mempunyai sesuatu untuk diselindungkan dalam apa yang dikatakan ujian DNA itu. Atas sebab itu, adalah suatu penghinaan kepada prinsip keadilan untuk Anwar memberikan sampel DNA untuk membantu pendakwaan mengesahkan keputusan yang menimbulkan syak dan direka-reka.

Zaid sewajarnya ingat bahawa Saiful Bukhari Azlan, penuduh telah mengaku bertemu dengan anggota polis kanan Zaid Rodwan Mohd Yusof dua kali sebelum kejadian tersebut kononnya berlaku. Bagi menyegarkan semula memori Zaid, Rodwan lah orang yang memindahkan DNA Anwar secara haram pada perbicaraan 1998 dan meletakkanya pada tilam bagi memerangkap bekas Timbalan Perdana Menteri tersebut.

Isu DNA-DNA lelaki lain di dalam rektum Saiful masih lagi belum dijawab. Pada masa yang sama, pegawai penyiasat Jude Pereira mengakui bahawa sampel yang diambil daripada Saiful tidak disimplan di dalam peti sejuk beku, justeru mendedahkan DNA tersebut kepada kerosakan. Isu mengapa Jude menyimpan sampel-sampel tersebut selama 48 jam dan tidak menyerahkannya kepada ahli kimia serta-merta belum benar-benar dijelaskan. Pada 1998, institusi polis yang sama lah yang telah mereka bukti termasuk bukti DNA terhadap Anwar.

Sejak hari pertama, kes Anwar telah dipenuhi oleh pelbagai percanggahan dan kelemahan, dan jelas sekali sekiranya defendannya bukanlah Anwar Ibrahim kes ini akan dibuang daripada mahkamah.

Seorang itu tidak perlu menjadi penyokong tegar Anwar untuk mengesyaki kesahihan kes ini apabila Perdana Menteri Najib Tun Razak mula-mula menafikan bertemu dengan Saiful dua hari sebelum Saiful mendakwa beliau diliwat. Hanya selepas gambar-gambar Saiful di pejabat Najib diedarkan beliau mengaku bertemu dengan Saiful, mula-mula kononnya untuk membantu Saiful mendapatkan biasiswa tetapi kemudian dijelaskan bahawa Saiful datang mengadu kepada beliau bahawa beliau diliwat.

Laporan perubatan awal di Pusrawi dan Hospital Kuala Lumpur menyatakan bahawa tiada penetrasi pada dubur Saiful.

Jelas sekali bahawa pihak pendakwa memerlukan DNA Anwar untuk berada di dalam Saiful untuk membuktikan tuduhan mereka. Memandangkan kes mereka kini sudah punah, kejayaan kini diukur dengan menjatuhkan pandangan awam terhadap moral Anwar walaupun sekiranya mahkamah mendapati beliau tidak bersalah.

Sukar untuk dipercayai seorang yang terlatih dalam bidang undang-undang dan memahami keadaan sistem kehakiman negara selepas krisis 1988 tiba-tiba percaya dengan integriti sistem ini.

Percubaan Zaid untuk memecahbelahkan Pakatan Rakyat dengan dakwaan beliau bahawa PAS tidak bersuara dalam kes ini menunjukkan kejahilan beliau tentang sokongan PAS serta prinsip asas dalam syariah bahawa tiada sesiapapun boleh didapti bersalah tanpa kesaksian empat saksi yang adil dan berwibawa.

NIK NAZMI NIK AHMAD

ADUN Seri Setia

Saturday, March 5, 2011

CERAMAH ANWAR TERKINI DI PRK KERDAU.....!


Ceramah Anwar di PRK KERDAU.

Ribuan datang disetiap tempat ceramah pakatan. Terutama ceramah anjuran KEADILAN dan AMK. Setiap tempat penceramah KEADILAN diganggu dengan ceramah UMNO/BN betul-betul sebelah tempat ceramah KEADILAN.

Pihak SPR dan pihak berkuasa macam tiada gigi.....!

SILA KLIK...

http://www.youtube.com/watch?v=XbeksirSfrM&feature=player_embedded#at=367

Tuesday, March 1, 2011

255 ahli Umno, MIC sertai KEADILAN Tambun

IPOH: Ketika media arus perdana giat menghebohkan, kononnya ahli parti pembangkang menyertai Umno, Cabanhttp://www.blogger.com/img/blank.gifg KEADILAN Tambun menambah 255 ahli, kebanyakannya dari Umno dan MIC.

Mereka dengan menyerahkan borang keahlian kepada Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Ulu Kinta di sini, semalam.

Pertambahan ahli itu membolehkan menubuhkan tiga ranting baru ditubuh di DUN berkenaan iaitu Taman Berjaya, Bandar Mercham dan Tanjung Rambutan.

Bercakap kepada KeadilanDaily.com, Ketua Cabang KEADILAN Tambun, Zulkifly Ibrahim, berkata mereka menyertai KEADILAN sejak 2008 tetapi akibat kekangan daripada Umno, penyertaan mereka hanya rasmi sejak semalam.

“Mereka memilih KEADILAN kerana bosan dengan sikap Umno yang tidak mengota janji tetapi hanya pandai berkata-kata sahaja. Bagi mereka, Anwar adalah pemimpin untuk semua kaum,” katanya.

Beliau berkata, pertambahan ahli baru itu membuktikan sokongan rakyat Perak kian bertambah, sekaligus menafikan laporan media arus perdana kawalan Umno Barisan Nasional (BN), kononnya rakyat tidak lagi menyokong Pakatan Rakyat.

“Akhbar melapor ahli KEADILAN Tambun masuk Umno tetapi ia tidak betul kerana itu cerita lama tetapi dibangkitkan semula.

“Begitu juga laporan 150 Wanita KEADILAN sertai Umno. Ia satu pembohongan kerana siasatan kami, ia tidak pernah berlaku,” katanya.

Mengulas lanjut, Zulkifly berkata, cabang Tambun aktif mendekati penyokong di samping mengadakan aktiviti bersama-sama, selain menyelami masalah rakyat.

“Kami cukup aktif, kita berjalan dari rumah ke rumah bagi mendekati rakyat dan menyerahkan bantuan kepada mereka. Program itu adalah persiapan awal menghadapi pilihan raya akan datang,” katanya.

BN janji lagi buat kali ketujuh

Khairil Abdul Rahim
TEMERLOH, 28 Feb: Penduduk Kerdau mendengar sekali lagi janji kerajaan untuk menyiapkan Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) Paya Taram yang terbengkalai sejak 20 tahun lalu.

Adakah pilihan raya kecil (PRK) DUN Kerdau yang sedang berlangsung ketika ini akan menjadi penamat kepada permasalahan yang dideritai penduduk selama puluhan tahun itu.

Bagi penduduk, mereka sudah mendengar janji kerajaan mahu menyiapkan rumah tersebut sejak pilihan raya umum (PRU) 1990, 1995, 1999, PRK Sanggang tahun 2000, PRU 2004 dan yang terakhir pada PRU 2008 yang lalu.

Kelmarin, sekali lagi Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Ismail Said mengumumkan kepada media, kerajaan telah meluluskan RM2.2 juta bagi membaiki semula perumahan perumahan milik Perbadanan Setiausaha Kerajaan Pahang itu.

Menurut Ismail, pembaikpulihan itu akan ditanggung kos oleh Syarikat Perumahan Negara (SPN).

PAKR Paya Taram mengandungi 198 unit rumah teres setingkat dengan ukuran 6 meter x 9.3 meter dan mula dibina pada 1988 tetapi projek berkenaan terbengkalai beberapa tahun kemudian sebelum sempat siap.

Lebih mengecewakan lagi, projek kerajaan negeri itu telah diserahkan kepada bank dan pembeli terpaksa memohon pinjaman sehinggalah harga tawaran asal RM25,000 sebuah rumah telah meningkat kepada RM35,000 bagi lot biasa manakala harga bagi lebihan lot dikira sebanyak RM2.50 bagi setiap sekaki persegi.

Seorang penduduk, Sharuddin Mohd Salleh, 50, mengalu-alukan janji Ahli Parlimen tersebut dan berharap masalah tersebut tidak berlarutan lebih lama lagi kerana kebanyakan pembeli rumah itu merupakan penduduk kampung sekitar yang masih belum memiliki rumah.

''Sesetengah daripada kami sanggup menjual lembu dan tanah untuk membeli rumah ini kerana belum memiliki rumah sendiri. Ada pula yang sudah dipotong gaji untuk bayar pinjaman rumah.

“Apabila terbengkalai dan belum diketahui entah bila siapnya, tentulah membuatkan kami tak senang duduk,” katanya.

Tambah Sharuddin, kediaman yang selesa adalah salah satu kewajipan asas bagi sesebuah keluarga yang sempurna kerana dari situ akan lahirlah sebuah masyarakat yang teratur seterusnya menyumbang ke arah keharmonian negara.

Katanya lagi, sebuah kerajaan yang baik dan prihatin pula, lazimnya akan mengambil tanggungjawab memastikan rakyatnya tidak terabai dalam urusan memiliki tempat tinggal.

Seorang pembeli lagi, Siti Fatimah Abdul Rahman, 49, ketika ditemui memberitahu impiannya bagi memiliki rumah sendiri hampir ‘berkubur’ apabila projek berkenaan terus terbengkalai.

“Sejak anak saya kecil dan kini dia dah berusia 24 tahun, rumah yang kami impikan masih juga belum disiapkan”, luahnya dengan nada kecewa.

”Saya sangat kecewa dalam hal ini, sebab telah merancang bersama keluarga untuk tinggal di situ tetapi sampai sekarang rumah itu tidak siap-siap,'' .

“Ini adalah rumah pertama yang saya mohon untuk bersama keluarga dan akibat terbengkalai, saya sekeluarga masih terpaksa menumpang di rumah kakak,'' ujarnya.

Menurutnya, dia telah mengisi borang pada tahun 1989 dan hanya ditemuduga kelayakan pada tahun 2000. Setelah dua dekad menunggu, awal tahun ini pihak kerajaan telah menyuruhnya pergi ke bank untuk membuat pinjaman pembelian rumah berkenaan.

“Saya memang harap sangat rumah ini dapat siap cepat dan kerajaan tidak lepas tangan. Apatah lagi ada pihak yang menjanjikan pemilikan rumah ini tiap-tiap kali pilihan raya”, katanya lagi.

Sunday, February 20, 2011

Pertumbuhan Ekonomi 2010: Malaysia Terus Terkebelakang Berbanding Jiran

Pertumbuhan ekonomi sebanyak 7.2% yang dicatatkan negara pada tahun 2010 perlu dikaji dengan lebih dekat untuk memahami keseluruhan implikasinya.

Angka 7.2% perlu dibandingkan dengan pencapaian jiran-jiran kita dan bukannya dinilai secara bersendirian. Singapura dan Indonesia contohnya masing-masing berjaya mencatatkan pertumbuhan 14.5% dan 6.1% dalam tahun 2010. Kedua-dua jiran kita ini mengatasi pertumbuhan Malaysia; apatah lagi apabila pertumbuhan Indonesia adalah berdasarkan angka pertumbuhan asas yang lebih tinggi kerana Indonesia tidak mengalami penguncupan ekonomi dalam tahun 2009 seperti mana Malaysia dan Singapura.

Pertumbuhan 14.5% yang dicatatkan Singapura disokong oleh pertumbuhan kukuh dalam sektor perkilangan pada kadar 29.7% pertumbuhan tahunan. Jika dibandingkan dengan Singapura, pencapaian kita malap dalam kedua-dua aspek – pertumbuhan ekonomi hanyalah separuh dari yang dicapai Singapura, sementara pertumbuhan sektor perkilangan pada kadar 11.4% hanyalah setakat satu pertiga pencapaian Singapura.

Penjelasan kedua-dua kerajaan dalam menerangkan perbezaan pertumbuhan sektor perkilangan ini adalah amat berbeza. Singapura menyatakan bahawa permintaan yang kukuh dari pasaran dunia memesatkan pertumbuhan sektor perkilangannya, sementara Malaysia pula menyalahkan pasaran dunia sebagai akibat kelembapan sektor perkilangannya – padahal kedua-dua negara sama-sama bergantung kepada barangan eksport dan pasaran dunia. Hakikatnya, barangan yang dikilang di Malaysia semakin hilang daya saingnya di pasaran dunia kerana kita tersekat di tangga nilai yang bawah dan terpaksa bersaing dengan negara-negara yang struktur kosnya lebih murah; sedangkan pesaing seperti Singapura terus menghasilkan barangan bernilai tinggi. Amaran mengenai masalah ini telah diberikan sejak sedekad yang lalu, namun tidak ada satu langkah yang berkesan yang diambil kerajaan selain dari retorik politik yang dibayar oleh rakyat.

Pertumbuhan sektor perkilangan yang lebih rendah berbanding jiran diburukkan lagi dengan penguncupan dua sektor penyumbang utama di dalam suku keempat 2010. Sektor perlombongan dan pertanian adalah penyumbang utama kepada pendapatan Kerajaan Persekutuan melalui hasil minyak dan gas serta kelapa sawit. Kedua-dua sektor ini mencatatkan penguncupan dalam suku keempat pada kadar 1.3% (perlombongan) dan 4.3% (pertanian). Akibatnya, pertumbuhan tahunan yang sangat rendah pada kadar 0.2% (perlombongan) dan 1.7% (pertanian) adalah satu lagi petanda bahawa ekonomi kita semakin malap.

Pandangan ini diperkuatkan lagi oleh angka-angka beberapa indeks yang digunakan untuk menilai sentimen masyarakat niagawan dan orang ramai mengenai hala tuju ekonomi negara. Indeks Suasana Perniagaan yang diterbitkan oleh Institut Kajian Ekonomi Malaysia (MIER) hilang 5.4 mata dalam suku keempat 2010 untuk jatuh ke paras bawah 100 mata buat kali pertama dalam tempoh dua tahun. Malah, keyakinan masyarakat niagawan ke atas prospek ekonomi seperti yang dilambangkan oleh indeks ini menunjukkan penurunan sejak awal 2010 lagi. Bagi sentimen keyakinan orang ramai pula, walaupun Indeks Sentimen Pengguna menokok ke paras 117.2 mata dalam suku keempat, paras itu masih belum setanding dengan paras keyakinan tahun 2007 sebelum kerajaan menaikkan harga minyak secara mendadak dalam tahun 2008.

YAB Dato’ Seri Najib Tun Razak sepatutnya lebih ikhlas dan mengakui bahawa ada jurang yang besar di antara pengumuman projek-projek mega yang dibuat dibawah ETP dan realiti ekonomi yang ditanggung masyarakat niagawan dan orang ramai. Ramai di kalangan rakyat Malaysia yang masih ragu-ragu bahawa siri pengumuman projek itu hanyalah wayang yang akhirnya akan menguntungkan golongan pemerintah dan niagawan elit tanpa menyelesaikan masalah pokok dan struktur ekonomi negara.

Pengurusan fiskal dan kewangan negara juga menunjukkan perbezaan yang besar di antara Malaysia dan jiran kita, terutamanya Indonesia.

Tidak seperti Malaysia, Indonesia berjaya mengelak dari kemelesetan ekonomi tahun 2009 dan terus mencatatkan pertumbuhan kukuh sebanyak 6.1% dalam tahun 2010, menjadikannya salah sebuah ekonomi paling mampan di antara 20 negara terkaya di dunia. Laporan United Nations Global Investment Trend Monitor (diterbitkan oleh UNCTAD pada 17 Januari 2011) mencatatkan aliran masuk pelaburan asing (FDI) sebanyak USD12.8 bilion bagi tahun 2010; yang kedua tertinggi di rantau ini selepas Singapura. Pelaburan baru menyumbang sebanyak 32.2% kepada ekonomi Indonesia sementara perbelanjaan kerajaan menyumbang hanyalah 9.1% kepada pertumbuhan ekonomi. Keseluruhan pencapaian ini berasaskan perbelanjaan kerajaan yang berhemah dan tidak berlebihan. Angka defisit fiskal dan hutang kerajaan hanyalah masing-masing 1.1% dan 28.3% berbanding KDNK bagi tahun 2010.

Keadaannya sangat berbeza di Malaysia. Jumlah hutang Kerajaan Persekutuan telah mencecah RM407 bilion menjelang akhir 2010, bersamaan 53.1% berbanding saiz KDNK negara. Kegagalan merancakkan pelaburan swasta menyebabkan kerajaan terlalu bergantung kepada projek-projek mega dan perbelanjaan kerajaan untuk mencapai sasaran pertumbuhan ekonomi, sehinggakan defisit fiskal menjadi salah satu masalah utama ekonomi negara.

Defisit fiskal negara memuncak pada aras 7% dalam tahun 2009 dan hanya menurun kepada 5.6% tahun lalu, sedangkan sasaran kerajaan yang diumumkan di dalam Rancangan Malaysia Ke-10 adalah 5.3% bagi tahun 2010. Malaysia hanya berjaya menarik aliran masuk pelaburan asing (FDI) sebanyak USD7 bilion dalam tahun 2010, jauh ditinggalkan Singapura yang mendapat sejumlah USD37.4 bilion aliran masuk pelaburan asing.

Berdasarkan angka-angka dan perbandingan ini, jelas bahawa pertumbuhan 7.2% hanyalah satu lagi bukti bahawa ekonomi kita semakin terkebelakang berbanding dengan negara jiran. Daya saing Malaysia di pasaran antarabangsa semakin merudum dan kedudukan fiskal serta kewangan negara lebih buruk berbanding negara-negara jiran.

Rakyat tidak akan terkeliru dengan pelbagai kempen dan janji manis yang dibuat kerajaan dan akan terus menuntut reformasi ekonomi agar prospek ekonomi yang malap ini dapat diubah. Reformasi ekonomi hanya akan berkesan sekiranya didokong oleh reformasi politik yang ikhlas.

Malangnya, Kerajaan Persekutuan yang ada telah dibuktikan berkali-kali tiada keikhlasan dalam melaksanakan reformasi politik. Makanya, sebarang dasar ekonomi yang diperkenalkan sebagai reaksi politik tidak akan berjaya menyelesaikan masalah kemalapan ekonomi Malaysia.

DATO’ SERI ANWAR IBRAHIM
KETUA PEMBANGKANG
19 FEBRUARI 2011

KENYATAAN AKHBAR

Tawaran Ganjaran Muhyiddin Hanya Gimik Hadapi PRU13

Sepertimana yang dilaporkan oleh akhbar Utusan Malaysia pada 10 Februari lalu Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin dipetik sebagai berkata pada Majlis Perutusan Khas 2011 Kementerian Pelajaran di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya(PICC):

“Tahun lalu saya umumkan tawaran baru (Bai'ah) untuk pengetua dan guru besar sebagai salah satu daripada inisiatif dibawah NKRA pendidikan. Kita tetapkan mana-mana sekolah yang berjaya melepasi sasaran tertentu, guru besar dan guru-gurunya menerima ganjaran kewangan”

“Setahun selepas tawaran baru diumumkan kita dapati jumlah guru besar yang berjaya memimpin sekolah untuk melepasi sasaran prestasi yang ditetapkan adalah diluar jangkaan. Bukan lagi 2% seperti yang disasarkan tetapi 12.1% iaitu bertambah sebanyak 600% (iaitu 924 orang guru besar yang disenarai pendek)

“Setiap guru besar yang layak akan menerima RM7,500 seorang. Lima peratus guru yang paling cemerlang akan menerima RM1,800 seorang dan selebihnya RM900 seorang”

Biro Pendidikan Parti Keadilan Rakyat berpandangan dasar Kementerian Pelajaran sentiasa berubah mengikut perubahan Menteri Pelajaran tanpa kajian yang menyeluruh dan mendalam serta tidak pula merujuk pada mereka yang benar-benar pakar dalam bidang pendidikan.

Pendidikan dilihat seakan-akan menjadi kekuda ahli politik untuk mencapai hasrat dan agenda peribadi.
Kenyataan di atas jelas menunjukkan Menteri Pelajaran menggunakan jawatan beliau untuk meluaskan pengaruh kerjaya politiknya.

Adalah satu perkara yang sangat luar biasa jika dalam masa hanya satu tahun prestasi guru besar dan sekolah telah meningkat 600 peratus.

Untuk peningkatan yang begitu luar biasa sudah tentu melalui berbagai aktiviti atau proses yang luar biasa tetapi yang kita lihat sepanjang tahun lepas program di sekolah rendah dan menengah tidak banyak berubah. Malahan terdapat prestasi sekolah yang semakin merosot.

Saya mencabar Menteri Pelajaran supaya menyenaraikan aktiviti serta program yang luar biasa itu untuk dihayati oleh seluruh warga pendidikan dan masyarakat umum supaya aktiviti dan strategi ini menjadi budaya baru dalam arena pendidikan Negara.

Ini akan menjadi contoh strategi baru di peringkat dunia namun saya yakin pencapaian ini tidak berlaku sebagai mana didakwa. Ianya hanyalah gimik politik sahaja bagi menghadapi PRU13 semata-mata.

Kenyataan Muhyiddin seperti memperbodohkan Menteri Pelajaran sebelumnya yang seolah-olah tidak tahu dan tidak cekap menjalankan tugas.

Beliau juga mencerminkan seakan-akan guru besar dan pengetua selama ini bekerja demi ganjaran wang.
Bila Menteri Pelajaran mengumumkan pemberian ganjaran barulah guru besar dan pengetua berkerja berhabis-habisan kerana inginkan imbuhan.

Kenyataan tersebut merupakan penghinaan kepada guru besar, pengetua dan guru di Malaysia.

Berdasarkan pengalaman selama 34 tahun dalam profesion pendidikan sebagai Pengetua, Ketua Penolong Pengarah, Pengarah Institiut Aminuddin Baki Cawangan Utara, Pengarah Maktab Perguruan Ilmu Khas, Timbalan Pengarah Bahagian Sekolah dan Pengarah Pelajaran Wilayah Kuala Lumpur, saya dapati guru besar, pengetua dan guru bekerja secara jujur dan ikhlas sehingga ada yang tidak mengetahui jumlah gaji yang diterima.

Saya akur proses memilih guru besar dan pengetua cemerlang adalah sukar dan mengambil masa yang panjang.

Bagaimana Kementerian Pelajaran sekarang bertindak begitu cepat untuk menilai prestasi guru besar, pengetua dan guru yang bilangannya ratusan ribu dalam masa yang singkat?

Tambahan pula bilangan Jemaah Nazir yang terhad mampu menilai prestasi dalam jangkamasa yang begitu singkat?

Apabila penilaian yang dibuat secara tidak telus, jujur dan ikhlas, ia akan menimbulkan konflik dalam pendidikan.

Konflik ini akan melemahkan lagi Struktur Pentadbiran Pendidikan. Bilamana guru besar yang kurang baik prestasinya mendapat ganjaran manakala mereka yang bekerja keras (pada anggapan mereka ) tetapi tidak mendapat ganjaran akan mewujudkan konflik kepentingan.

Hasilnya berlaku penurunan prestasi kerja yang lebih dahsyat lagi.

Kenyataan menteri membuktikan Barisan Nasional menerima tekanan yang hebat apabila Parti Pakatan Rakyat (PR) menawarkan kenaikan imbuhan RM500 kepada setiap guru jika berjaya ke Putrajaya.

Tawaran ini adalah sangat adil, jujur dan ikhlas untuk Memertabatkan Profesion Keguruan di Malaysia.
Tawaran ini dibuat untuk menarik golongan pelajar yang pintar dan cerdas menceburi bidang perguruan.
Melalui guru-guru yang cerdas dan pintar akan melahirkan pelajar yang berketrampilan, kreatif dan berinovasi. Dengan itu akan ujudlah generasi baru yang cemerlang.

Haji Abas Haji Awang
Ketua Biro Pendidikan
Parti Keadilan Rakyat
http://biropendidikankeadilan.blogspot.com/