Monday, November 23, 2009

Siswa UM kesal dikaitkan isu kepala babi
Abdul Rahim Sabri
Nov 23, 09
12:04pm
Seorang mahasiswa Universiti Malaya (UM) kesal apabila polis mengaitkan beliau dengan siasatan kes meletakkan kepala babi di surau di kampus tersebut, Januari lalu, sewaktu ingin meremannya Jumaat lalu.

Muhammad Saufi Jelani, yang asalnya ditahan polis berhubung siasatan kes contengan "bini puaka" di sebuah dewan kuliah, berkata beliau bagaimanapun tidak disoal tentang insiden menggemparkan menjelang pilihan raya kampus itu awal tahun ini.

"Sekarang ini, saya berasa risau sebab nama saya sudah buruk kerana dikaitkan dengan isu kepala babi.

"Orang menganggap saya terlibat dengan isu itu. Itu yang saya sakit hati," katanya ketika dihubungi Malaysiakini pagi ini.

Pada 16 Januari lalu, kepala babi yang dibelah dua ditemui diletakkan di atas bendera PAS di dalam surau Akademi Pengajian Islam (API) sewaktu kampus tersebut sedang sibuk menghadapi pilihan raya kampus.

Kepala haiwan itu ditemui oleh seorang pelajar yang pergi ke surau tersebut untuk menunaikan solat Subuh.

Polis asalnya menjejaki Muhammad Saufi berhubung siasatan kes awal, contengan perkataan-perkataan "C4", "bini puaka" dan "pembunuh Altantuya" di dinding dewan kuliah utama API.

Selain kes menceroboh dewan tersebut awal pagi 24 Jun lepas, siasatan polis juga berhubung simbahan petrol di permaidani merah yang bakal dilalui isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor untuk satu program di dewan tersebut.

Kejadian itu berlaku beberapa jam sebelum dewan tersebut digunakan oleh isteri Datuk Seri Najib Razak untuk program derma kanak-kanak Palestin, jam 9 pagi Rabu itu.

Muhammad Saufi Jelani merupakan pelajar terakhir yang ditangkap daripada sekumpulan lima orang berhubung kes ini.

No comments: