Tuesday, November 3, 2009

Jais diminta hadir mesyuarat exco, jelas isu tahan Dr Asri


Nov 3, 09 2:43pm
Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim akan mendapatkan penjelasan lanjut daripada Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) berhubung penahanan dan siasatan terhadap bekas mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Menteri besar Selangor juga mengundang mufti untuk memberi penjelasan isu tersebut kepada anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dalam mesyuarat mingguannya esok.

Mohd Asri disiasat bawah Seksyen 119 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor 2003 atau mengajar agama tanpa tauliah selepas ditangkap tengah malam semalam di Hulu Kelang.

Beliau ditahan ketika menyampaikan kuliah agama di sebuah banglo milik seorang ahli perniagaan di Taman Sri Ukay.

Turut hadir di tempat kejadian, ahli parlimen PKR bagi Ampang, Zuraida Kamaruddin dan ADUN PAS bagi Hulu Kelang, Saari Sungib.

Pengarah Jais, Datuk Mohammed Khusrin Munawi semalam menjelaskan, jabatan belum mendakwa Dr Mohd Asri kerana siasatan jabatan itu setakat ini belum mencukupi.

Dr Mohd Asri mempertikaikan arahan Jais memintanya hadir di Mahkamah Syariah Gombak Timur pagi semalam walaupun tidak mendakwanya.

Mohammed Khusrin kemudian berkata agamawan itu dibawa ke mahkamah bukan untuk didakwa tetapi untuk jaminan bon melanjutkan tempoh siasatan.

Saiful hadir ikuti kes liwat Anwar


nov 3, 09 12:24pm
Buat pertama kali, Mohd Saiful Bukhari Azlan, yang mengadu diliwat oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim, hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk mengikuti perkembangan kes berkenaan.

Mohd Saiful, 24, yang ditemani ayahnya Azlan Mohd Lazim dan peguamnya Zambri Idrus, tiba di mahkamah pada 8.40 pagi.

Bagaimanapun dia tidak dibenarkan masuk ke dalam mahkamah semasa prosiding tetapi ditempatkan dalam bilik saksi.

Mengikut undang-undang, seorang saksi tidak dibenarkan masuk ke mahkamah semasa prosiding sehinggalah dia selesai memberi keterangan.

Selepas prosiding selesai, Mohd Saiful yang merupakan bekas pembantu peribadi Anwar, berkata beliau sudah lama bersedia untuk tampil memberi keterangan pada perbicaraan kes itu yang sudah beberapa kali tertangguh.

Anwar, 62, yang hadir bersama isterinya Datuk Seri Dr Wan Aizah Wan Ismail, didakwa meliwat Mohd Saiful di sebuah kondominium di Bukit Damansara, Kuala Lumpur pada 26 Jun tahun lepas.

Kes itu ditetapkan untuk sebutan semula pada 23 Nov.

Perbicaraan kes itu pada mulanya ditetapkan pada 1 sehingga 23 Julai lepas tetapi ditangguhkan beberapa kali bagi membolehkan mahkamah mendengar beberapa permohonan yang difailkan oleh Anwar. BERNAMA

Orang BN, Pakatan dituduh seleweng dana DUN


Jimadie Shah Othman
Nov 3, 09
8:42am
kemaskini 4.17pm Ahli parlimen Sabak Bernam, Abd Rahman Bakri dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam dengan lapan pertuduhan memalsukan tuntutan berjumlah RM80,000 bagi program yang tidak wujud.

Lapan program itu meliputi bantuan kepada pelajar sekolah, penganjuran forum perdana dan sambutan Maulidur Rasul.

Beliau, ketika itu ADUN Sungai Air Tawar, didakwa melakukan kesalahan-kesalahan itu antara 21 Januari hingga 18 Februari tahun lalu.

Abd Rahman (foto kiri) bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan dan dibenarkan ikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin.

Ahli parlimen Umno itu hadir sejak jam 8 pagi tadi di mahkamah tersebut dengan ditemani lapan ahli parlimen BN, antaranya Datuk Noraini Ahmad (Parit Sulong), Datuk Halimah Siddiq (Tenggara) dan Datuk Dr Mohamed Shahrom Osman (Lipis).

Pertuduhan terhadap Abd Rahman dibacakan menjelang jam 1 tengah hari tadi.

Hakim Syafeera Mohd Said menetapkan tarikh perbicaraan pada 14 Februari depan.

Sementara itu, pembantu Abd Rahman, Mohd Rosli Bushra pula didakwa bersubahat dengan majikannya membuat tuntutan palsu itu.

Hakim Mat Ghani Abdullah membenarkan beliau diikatjamin dengan jumlah RM9,000.

Mahkamah sama turut mendakwa bekas pegawai menteri besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Mohd Yahya Mohd Sahri dituduh memperdaya seorang ahli perniagaan sejumlah RM50,000 bagi program sambutan 100 hari Pakatan Rakyat di negeri itu tahun lalu.

Bekas pemimpin PKR Selangor itu juga dituduh memalsukan dokumen untuk membuka satu akaun parti itu. Beliau mengaku tidak bersalah dan dibebaskan dengan jaminan RM10,000.

Naib Presiden PKR Mustafa Kamil Ayub dan beberapa aktivis Pemuda PKR turut hadir memberikan sokongan kepada Mohd Yahya.

Pembantu kepada exco kerajaan Selangor, Wong Chua How (foto kanan), dituduh membuat tuntutan palsu RM2,500 kepada Majlis Perbandaran Sepang berhubung pembelian bendera.

Wong, pembantu Ronnie Liu di DUN Sungai Pelek, juga dihadapkan dengan pertuduhan pecah amanah sekeping cek bernilai RM5,000 bagi penganjuran satu perjumpaan Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) di kawasan itu pada 19 Feb lalu.

Hakim Syafeera membenarkan beliau diikat jamin RM10,000. Ronnie turut hadir ketika pertuduhan kes itu dibacakan kepadanya.

Wong mengaku tidak bersalah untuk semua pertuduhan. Kes tersebut akan dibicarakan pada 29 Mac depan.

Kecuali Mohd Yahya yang didakwa bawah Kanun Keseksaan, kesemua mereka dituduh di bawah Akta Pencegahan Rasuah 1997.

Keempat-empat tertuduh ini antara enam orang ahli politik dan pembantu mereka yang diseret oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke muka pengadilan berhubung penyelewengan dana kerajaan negeri untuk pembangunan DUN di Selangor.

Sebelum itu Ronnie, sewaktu bercakap di luar mahkamah, berkata SPRM telah menjalankan siasatan terhadap 20 wakil rakyat Selangor dan turut merampas fail-fail daripada mereka.

"Wong adalah yang pertama, tetapi dia mungkin bukan yang terakhir," katanya.

Pimpinan Kerajaan Negeri Selar Noh Omar

Isnin, 02 November 2009 | Ruangan: Berita

Shah Alam , 2 November 2009 - Tuduhan terbaru Umno-BN yang mendakwa Pas hanya menumpang gagasan Pakatan Rakyat dilihat berniat jahat.

Adun Hulu Klang Saari Sungib berkata pemimpin Pas, DAP dan Parti Keadilan Rakyat membentuk satu musyawarah yang menjadi nadi kepada gagasan kerajaan baru ini.

Beliau berkata demikian mengulas tuduhan Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Negeri, Datuk Noh Omar baru-baru ini. Noh Omar mendakwa Pas diketepikan dalam urustadbir kerajaan negeri.

“Itu adalah tidak benar sama sekali, kerana dari segi strukturnya Pakatan Rakyat ini wujud dari peringkat nasional, Pimpinan Tertinggi sentiasa mengadakan perbincangan dengan garis panduan serta panduan-panduan yang telah ditetapkan agar pemimpin Pakatan Rakyat yang mentadbir negeri dan parti masing-masing di setiap negeri Pakatan Rakyat berjalan dengan baik,”katanya.

Saari melahirkan rasa kesal Umno-BN sentiasa mencari peluang untuk menghakis kepercayaan rakyat. Siri pergeseran pendapat antara pimpinan Pakatan Rakyat dijadikan peluru, namun Saari berkata ini harus dilihat sebagai proses mematangkan gagasan kerajaan alternatif ini.

“Seramai 3 Adun Pas di Selangor menjadi Exco Selangor dan ini merupakan satu penghargaan kepada Pas.Ini juga merupakan satu semangat kesetiaan,kebersamaan yang di tunjukkan kepimpinan Pakatan Rakyat Selangor,”jelasnya.

Mengulas isu yang sama, Adun Taman Haniza Talha tidak menolak serangan ini bermotifkan politik.

Sebelum ini, ketua perwakilan Umno Selangor Abdul Shukor Idrus ke Persidangan Umno ke-60 menggesa kerajaan pusat menyekat peruntukan kepada kerajaan negeri.

Abdul Shukor berkata Umno perlu menghentikan program pro-rakyat khususnya khairat kematian tajaan kerjaaan negeri.

“Saya lihat kenyataan Noh Omar itu seperti orang dah gila talak sebab Selangor telah berada dibawah kerajaan Pakatan Rakyat, sekarang ini dia akan menggunakan apa jua taktik tidak kiralah samada kenyataan rambang beliau atau apa-apa fakta untuk cuba mempengaruhi rakyat,”jelas Haniza.

Sementara itu, Adun Kinrara Teresa Kok yakin akar umbi Pakatan Rakyat lebih matang dan menyedari taktik provokasi Umno-BN.

“Dia hanya mahu mengapi-apikan Pakatan Rakyat, DAP ,PAS dan parti komponen yang lain. Noh Omar bukan dari kerajaan Pakatan ,dia hanya pandai komen sahaja dengan tujuan untuk mengasingkan PAS jauh lagi dari Pakatan Rakyat,”katanya.(ShakiraBuang-TvSelangor)

Kerajaan Negeri Mahu Asri Disiasat Dengan Adil

Isnin, 02 November 2009 | Ruangan: Berita

Shah Alam , 2 November 2009 - Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mahu Jabatan Agama Islam Selangor atau JAIS memberi penjelasan munasabah mengenai isu penahanan bekas Mufti Perlis, Dr Asri Zainul Abidin.

Dalam kenyataan akhbar yang dikeluarkan lewat hari ini, Tan Sri Khalid berkata, langkah ini perlu kerana pelbagai persoalan dan pertikaian timbul berhubung cara penahanan itu dibuat.

Katanya, Kerajaan Negeri telah dimaklumkan bahawa JAIS memiliki kuasa yang bebas dari kekangan kerajaan negeri dalam menguatkuasakan Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor, masih menyiasat kes Dr Asri yang dikatakan mengajar agama tanpa tauliah.

Khalid menggesa Jais supaya memberi penjelasan sewajarnya kepada rakyat Selangor yang terkesan dengan penangkapan Dr Asri.
Pasukan penguatkuasa JAIS dengan bantuan polis malam tadi menahan Dr Asri di sebuah rumah di Taman Sri Ukay, Hulu Klang.

Dr Asri yang dituduh mengajar agama tanpa tauliah ketika itu sedang memberi ceramah kepada lebih 300 hadirin.

Penahanan ini menarik perhatian umum kerana Dr Asri adalah bekas Mufti Perlis.

Sementara itu, dalam satu sidang akhbar petang tadi Pengarah Jais Datuk Mohammed Khusrin Munawi berkata siasatan terhadap Dr Asri akan disegerakan.

Dr Asri Zainul Abidin akan didakwa selepas Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) selesai menjalankan siasatan.

“Kita telah pun menerima banyak aduan tentang kegiatan Dr Asri ini sejak beberapa tahun yang lalu dan kita memang telah beberapa kali cuba mengambil tindakan dan kali ini kami berjaya dan beliau akan didakwa selepas kertas siasatan itu siap,’katanya.

Bekas Mufti Perlis itu akan didakwa bawah Seksyen 119 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor 2003.

Khusrin Munawi menafikan pendakwaan ini bermotifkan politik. Pihaknya bertindak mengikut peruntukkan undang-undang yang telah ditetapkan.

Tambahnya, Jais juga telah bertindak kepada sekurang-kurangnya 10 orang penceramah agama yang menjalankan kuliah di Selangor tanpa tauliah.

“Kepada mana-mana pihak yang ingin membuat ceramah di negeri Selangor ini dinasihatkan agar mengikut peraturan yang telah ditetapkan dan diminta menghormati undang-undang dan titah Duli Yang Maha Mulia Tuanku. Dimana semua pihak tidak terkecuali ,dimana sahaja didalam negeri Selangor ini perlu mendapatkan tauliah dari Jabatan Agama Islam,”jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Bangunan Jais, petang tadi.

Mengulas isu penyebaran ajaran Wahabbi,Datuk Khusrin berkata ia tidak sesuai untuk dijelaskan sekarang, memandangkan siasatan masih dijalankan.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan Berita Harian hari ini yang mendakwa Jais menyiasat bekas mufti Perlis ini kerana menyebarkan ajaran Wahabbi.

Dr Asri mencabar pihak yang membuat tuduhan itu supaya tampil dan mengemukakan bukti.(ShakiraBuang-TvSelangor)

Friday, October 30, 2009

MB: Badrul Tidak Layak Wakili PKR


Khamis, 29 Oktober 2009 | Ruangan: Berita

SHAH ALAM, 29 OKT - Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim berkata ADUN Pelabuhan Klang Badrol Hisham Abdullah tidak lagi layak mewakili Parti Keadilan Rakyat dan Pakatan Rakyat kerana beliau gagal berkhidmat untuk rakyat walaupun berulang kali ditegur oleh pimpinan parti.

Tan Sri Khalid berkata beliau mengalu-alukan pengumuman Badrol bahawa beliau kini akan menjadi ADUN bebas dan menyokong Barisan Nasional.

“Kita merasakan YB Badrul Hisham tidak boleh mewakili Pakatan Rakyat, melihat kepada rekod kerja beliau yang tidak memuaskan,” kata Khalid.

“Beliau dilihat tidak boleh, dan tidak mahu berkhidmat kepada rakyat. Demikian itu, Parti Keadilan Rakyat dan Pakatan Rakyat tidak boleh bertolak-ansur,” tambahnya.

Khalid berkata Badrul sepatutnya mengambil langkah terhormat dengan meletak jawatan dan memberi laluan kepada pihak yang mampu melaksanakan amanah penduduk Pelabuhan Kelang.

“Kita tidak halang beliau menjadi wakil rakyat bebas, tetapi belia dianggap telah menyalahguna parti untuk menjadi calon,” kata Khalid.

“Mungkin cara yang dia lakukan ini adalah apa yang beliau fikirkan terbaik untuk dirinya. Tetapi ada yang lebih baik iaitu meletak jawatan dan membuka ruang kepada orang yang boleh bekerja, kerana beliau berkhidmat untuk semua rakyat,” tegas beliau.

Khalid berkata demikian ketika ditemui TV Selangor di Hotel Blue Wave, Selangor. Beliau berada di situ menemui delegasi usahawan dan perniagaan terkemuka negara dan antarabangsa.

Badrul bertindak mengumumkan keputusan keluar dari Keadilan dan menjadi ADUN bebas menyokong Barisan Nasional setelah Tan Sri Khalid mengusulkan kepada pucuk pimpinan Keadilan supaya Adun itu meletak jawatan.

Usul itu dibuat setelah Badrul gagal membela penduduk Pelabuhan Kelang, malah enggan membuka pusat khidmatnya.

Keadaan itu memaksa Setiausaha Politik Menteri Besar, Nik Nazmi untuk memikul tanggungjawab memberi khidmat kepada penduduk di situ.

Meskipun Badrul diberi surat tunjuk pada 20 Ogos 2008, beliau tidak menunjukkan komitmen untuk memperbaiki diri.

Khalid dan pimpinan Pakatan Rakyat mengambil pendirian tidak mahu bertolak-ansur dengan wakil rakyat yang tidak bertanggungjawab seperti Badrul.

Mengenai laporan memetik Ketua Pembangkang Khir Toyo sebagai mengalu-alukan sokongan Badrul kepada Umno-BN, Khalid berkata kenyataan Khir toyo itu hanya menyerlahkan budaya dalam Umno.

“Tidak jadi masalah bagi saya kerana jumlah Pakatan Rakyat lebih ramai dari wakil rakyat BN,” katanya.

“Dan jika benar dia bersekongkol dengan Umno-BN, dengan sikapnya yang sebegitu, maka tidak menjadi masalah kepada kita kerana kita hanya pilih mereka yang boleh bekerja,” tambah Khalid.

Badrul Tidak Wajar Tutup Pusat Khidmat DUN Pelabuhan Klang Walaupun Hilang Kepercayaan Kepada PKR

Jumaat, 30 Oktober 2009 | Ruangan: Berita

SHAH ALAM, 30 Okt - Keputusan Ahli Dewan Negeri Pelabuhan Klang, Badrul Hisham Abdullah untuk keluar dari PKR sememangnya dinanti-nantikan pemimpin tertinggi PKR Selangor setelah beliau gagal menunjukkan prestasi baik dalam memberi perkhidmatan sebagai wakil rakyat.

Tindakan beliau meninggalkan parti dilihat sebagai membantu Kerajaan Selangor untuk membersihkan pemimpin Pakatan Rakyat dari dibelenggu wakil rakyat yang bermasalah.

Setiausaha Polilitik Menteri Besar, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata tindakan ini disambut baik setelah Badrul enggan menerima sebarang bentuk bantuan dari kerajaan negeri dan parti bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi.

“Kita selama ni cuba untuk perbaiki selepas dapat banyak respon tentang rekod dia, tentang prestasi dia sebagai seorang wakil rakyat dan kita cuba berjumpa, kita cuba membantu tetapi dia nampak dia tidak mahu menerima bantuan kita, dia dah tutup pusat khidmat dia, kita bergerak lama tanpa dia jadi kita ucapkan selamat jalan lah pada dia sebab kita pun kalau boleh tidak mahu sampai ke tahap macam nie, tetapi dia yang memilih jalan macam ni, kita dah bagi peluang dia menjadi wakil rakyat, bila timbul masalah kita cuba bantu tapi inilah pilihan yang dia ambil”, katanya.

Bercakap kepada Tv Selangor ketika diminta mengulas tindakan Badrul keluar PKR melalui telefon hari ini.

Nik Nazmi menyelar kenyataan Badrul bahawa beliau hilang kepercayaan kepada parti. Sebaliknya Nik Nazmi berkata PKR terlebih dahulu hilang kepercayaan kepada Badrul setelah beliau gagal menjalankan tugas sebagai wakil rakyat di situ.

Menurutnya, Badrul tidak seharusnya bertindak menutup Pusat Khidmat DUNnya, sekiranya beliau hilang keyakinan kepada pucuk pimpinan parti.

“Sebenarnya saya rasa kita yang hilang keyakinan dengan dia dulu, selama ni kenapa dia tak keluar, kalau dah lama dia begitu kenapa dia tak keluar dan dia hilang keyakinan kepada parti tetapi tidak bermaksud dia patut tutup pusat khidmat dia, dia perlu hentikan berhubung dengan rakyat, tak pergi program, program Tuanku tak pergi, program kerajaan negeri jadi sama ada dia percaya kepada parti itu perkara lain. Yang penting dia jalankan tugas sebagai seorang wakil rakyat”, jelasnya.

Tambahnya, Pilihanraya Kecil hanya boleh dibuat setelah Badrul meletak jawatan sebagai wakil rakyat Pelabuhan Klang sepertimana yang disyorkan Menteri Besar ekoran beliau gagal menjalankan tugasnya.

“Dia belum letak jawatan sebagai wakil rakyat, itulah yang kita nak minta kalau dia tak boleh buat kerja patutnya dia letak jawatan sekarang dia cerita hilang keyakinan pula, jadi itu kena tanya Badrul lah”, tegasnya.

Nik Nazmi turut menafikan dakwaan Badrul bahawa beliau tidak menerima peruntukan kawasannya berbanding wakil rakyat lain.

Katanya, sebaliknya kerajaan negeri sudah menawarkan pelbagai bentuk bantuan termasuk bantuan kewangan kepada Badrul bagi membolehkan beliau menjalankan program untuk masyarakat.

“Kita ambil alih pengurusan peruntukan saya sendiri maklumkan pada dia sebab waktu timbul banyak sangat aduan, rakyat minta tak dapat, ada aduan wujudnya penyelewengan dan sebagainya, kita nak selamatkan dia”, ujarnya. - MOHD SAHRULNIZAM MOHD ZAIN

Di sebalik tabir mesyuarat PAS


Jimadie Shah Othman
Okt 30, 09
12:25pm
Tindakan mengheret PAS Selangor ke depan jawatankuasa disiplinnya belum dapat meredakan konflik dalaman apabila komen-komen negatif berhubung perjalanan mesyuarat khas parti itu kelmarin mula tersebar.

Beberapa blog yang mengamat perkembangan PAS menggambarkan seolah-olah terdapat sesuatu yang tidak kena dalam mesyuarat panjang sehingga jam 1 pagi jawatankuasa pusat dan barisan pesuruhjaya negerinya.

Penulis politik Mohd Sayuti Omar berkata mesyuarat khas PAS itu memberikan fokus kepada exco kerajaan Selangor, yang juga pesuruhjaya PAS negeri Datuk Dr Hassan Ali.

Katanya, ada cadangan meminta Dr Hasan dipecat daripada jawatan mengetuai PAS negeri dan juga exco hal-ehwal Islam negeri itu.

"Alasannya kerana terlibat untuk mengadakan pakatan dengan Umno.

"Bagaimanapun (presiden PAS Datuk Seri) Abdul Hadi (Awang) dikatakan telah mempertahankan Dr Hassan dengan meminta agar tuduhan itu disiasat," tulisnya di blog peribadi Merah Tinta sejurus selepas tamat mesyuarat itu.

"Alasan Abdul Hadi, kalau ada tuduhan, penyiasatan perlu dilakukan.

"Sehubungan itu jawatankuasa disiplin PAS yang diketuai (Datuk) Tuan Ibrahim Tuan Man akan menjalankan siasatan ke atas Dr Hassan bersama ahli jawatankuasanya."

Sementara blog Malaysian Waves pula mendakwa 75 peratus ahli mesyuarat pada malam itu mahukan Dr Hassan digugurkan daripada jawatan pesuruhjaya PAS Selangor.

"Namun, permintaan majoriti ahli jawatankuasa pusat PAS ditolak begitu sahaja dan dibuat pengumuman bahawa keseluruhan PAS Selangor akan dihadapkan ke jawatankuasa disiplin," tulis Tulang Besi, penulis blog yang sering mendedahkan konflik dalaman parti.

"Keputusan yang diumumkan oleh Tuan Guru Presiden malam tadi bukan keputusan yang dipersetujui oleh para ahli jawatankuasa pusat PAS.

"75 peratus daripada keseluruhan ahli jawatankuasa yang hadir bercakap dan hanya Cikgu Pa (setiausaha agung, Datuk Mustafa Ali) serta Datuk Abu Bakar Chik sahaja yang menyokong Dr Hassan.

"Yang lebih menyedihkan apabila Tok Guru (mursyidul am Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat) yang membentangkan tulisan beliau dalam blog beliau jelas tidak mahu berganjak daripada apa yang dituliskan oleh beliau.

"Yakni, jelas beliau mahu ketiga-tiga yang dinamakan dalam blog beliau dibuang."

Selain Dr Hassan dan Mustafa, Timbalan Presiden PAS Nasharuddin Mat Isa juga disebut di Blog Tok Guru yang dianggap antara "beberapa kerat pemimpin bermasalah "

Malaysiakini sedang mendapat penjelasan daripada beberapa sumber dalaman PAS berhubung dakwaan-dakwaan di blog tersebut.

PRESIDEN: KENYATAAN MEDIA..!!


Tarikh: 29 Oktober 2009

Rombakan kepimpinan Keadilan telah menimbulkan kekeliruan dan keresahan di kalangan tertentu. Saya sepenuhnya menyedari bahawa tidak semua akan berpuas hati dengan keputusan yang dibuat kepimpinan parti serta menghargai betapa sukarnya kami untuk membuat keputusan dengan meneliti setiap pandangan yang disampaikan, termasuk dari cabang-cabang yang menjadi tulang belakang parti, di samping memastikan parti mencapai matlamatnya.

Tatkala parti kita mulai berkembang dan menjelma menjadi sebuah organisasi yang disegani dan dihormati, sememangnya kita akan menempuh saat sukar untuk mencipta kesimbangan kepimpinan yang terbaik dan strategi yang ampuh untuk mengangkat kita ke tahap perjuangan seterusnya. Sepanjang itu kita telah menempuh pelbagai cabaran serta menemui bakat-bakat baru yang komited dengan perjuangan parti. Kita perlu bekerja kuat untuk mencapai apa yang dicita-citakan dan keputusan yang dibuat minggu ini dibuat selepas mendapat mandat dan berdasarkan semangat musyawarah dalam parti.

Keadilan ditubuhkan untuk menjadi wadah penyatu kepada semua Rakyat Malaysia merentasi batas agama dan kaum serta mengembalikan keutuhan keluhuran Perlembagaan Persekutuan. Perjuangan ini ternyata bukan tugas mudah dan merupakan satu tanggungjawab serta cabaran kepada semua pendokong Keadilan.

Beberapa tahun lalu ramai yang mencemuh kita kerana kesungguhan perjuangan Keadilan yang berhasrat untuk menamatkan politik perkauman sempit dan membanteras amalan rasuah. Namun bersama rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat, kita telah melakarkan kejayaan bersejarah demi memulihkan demokrasi, kebebasan dan kedaulatan undang-undang. Kejayaan tersebut kita kecapi walaupun tidak mendapat sokongan media arus perdana dan berhadapan dengan segala kekuatan serta serangan bertali arus institusi kerajaan yang dikongkong pimpinan Umno-Barisan Nasional.

Sememangnya kita terpaksa berhadapan dengan pelbagai masalah yang mengecewakan selepas pilihanraya umum Mac lalu. Perjuangan politik kepartian terbukti berhadapan dengan jalan berliku, dan permuafakatan politik tidaklah menjelma sekelip mata. Kekecewaan yang diluahkan oleh sebilangan rakan dan ahli parti ada asasnya. Walau bagaimanapun saya sedia berbincang dengan semua pihak didasari rasa hormat, persefahaman dan iltizam menegakkan keadilan.

Masa hadapan negara ini, perjuangan kita serta Pakatan Rakyat tidak bergantung kepada mana-mana individu. Saya menyeru agar semua berpegang teguh dan tetap bersabar memastikan kejayaan perjuangan kita demi Rakyat Malaysia.

WAN AZIZAH WAN ISMAIL

Presiden
Parti Keadilan Rakyat

Thursday, October 29, 2009

Hasan Ali Bersedia Disiasat Jawatankuasa Disiplin PAS

Khamis, 29 Oktober 2009 Ruangan: Berita

PUTRAJAYA, 29 Okt - Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali berkata tiada pergeseran serius berlaku di kalangan pimpinan Parti Islam Se-Malaysia mahupun Pakatan Rakyat.

Beliau menambah walaupun adanya perbezaan pendapat, namun kerjasama dalam tugas dan kerja sentiasa baik dan profesional.

“Tidak ada perpecahan sebenarnya, kalau kita ambil di Selangor ini, di mana perpecahannya, antara kami dengan DAP, walaupun ada tempat-tempatnya berselisih sedikit pandangan, tetapi Alhamdulillah dalam hubungan harian, dalam mesyuarat, dalam mengendalikan negeri ini saya tak nampak kalau Teresa datang, saya keluar, kalau saya datang, Teresa keluar, tak nampak pula Teresa masam muka, saya masam muka, tak nampak pulak Ronnie reject saya, saya reject Ronnie tetapi kita berada dalam keadaan musyawarah dengan kemesraan yang begitu jelas yang menyanggah bahawa adanya pergeseran yang berlaku dalam kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor”, katanya.

Berkata demikian kepada TV Selangor ketika ditemui selepas merasmikan Bengkel Sumbang Saran, Majlis Pelancaran Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor di Putrajaya hari ini.

Dalam pada itu, beliau kesal terhadap sesetengah media yang sengaja mensensasikan isu ini sehingga menjejaskan hubungannya dengan pemimpin Pakatan Rakyat lain.

“Saya harap sangat bahawa kita mesti menyatakan fakta dan kita mesti beramanah dalam kita melaporkan sesuatu, bukan nak menimbulkan sensasi, bila kita menimbulkan sensasi, ada orang suka, ada orang tidak suka, bila kita menyebutkan fakta, yang tak suka akan mengakui yang dia tidak suka mengapa, yang suka pun akan mengakui kenapa dia suka, kerana fakta orang tidak boleh lari dari fakta, dan orang tidak boleh menolak fakta tapi kalau meer sensationalism, fahaman sensasi saja, saya rasa saya takut itu akan menjejaskan bukan sahaja keutuhan parti tapi kepada mereka yang tidak faham misalnya akan menjejaskan hubungan di antara kita unnecessarly saya dengan orang yang lain tidak baik, unnecessarly dalam satu organisasi kita bermasam muka dan itu tidak berlaku”, jelasnya.

Tambahnya, beliau bersedia untuk disiasat oleh Jawatankuasa Disiplin pada 7 November di Markas Pas Taman Melewar nanti sepertimana yang diputuskan dalam Mesyuarat Khas Jawatankuasa Pas Pusat di Ibu Pejabat Pas di Ibu Negara malam semalam. - MOHD SAHRULNIZAM MOHD ZAIN

AMK Dan Wanita Selangor Sokong Keputusan Khalid

Khamis, 29 Oktober 2009 Ruangan: Berita

Shah Alam , 20 Oktober 2009 - Kerajaan negeri memandang serius kepada mana-mana wakil rakyat atau pegawai yang gagal melaksanakan tugas yang telah diamanahkan.

Semua wakil rakyat dan pegawai harus menjunjung tinggi amanah yang telah diberikan oleh rakyat.

Menurut Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat Selangor, Haniza Talha, tindakan tegas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abd Khalid Ibrahim adalah wajar bagi mereka yang gagal menjalankan tugas.

“Saya kira saranan itu adalah wajar sebab Adun Pelabuhan Klang dipilih oleh rakyat kerana rakyat mahu beliau berkhidmat untuk rakyat, tetapi sekarang ini jika beliau tidak mampu melaksanakan tanggungjawab tersebut beliau hendaklah melepaskanya secara terhormat. Jadi letak jawatan dan kita boleh pilih wakil rakyat yang mampu laksanakan tugas tersebut,”jelasnya.

Menurut Haniza lagi tindakan Tan Sri Khalid ini menunjukkan beliau bertanggungjawab keatas kelicinan pentadbiran negeri Selangor.

“Sebagai Menteri Besar yang bertanggungjawab keatas negeri Selangor sudah tentu Tan Sri Khalid wajar .mengambil tindakan sedemikian, tindakan yang bijaksana.Kalau dibiarkan seorang wakil rakyat yang tidak berkemampuan berkhidmat untuk rakyat ini akan menjejaskan prestasi pentadbiran negeri dan ini adalah tanggungjawab Menteri Besar dalam memberikan yang terbaik untuk rakyat,”katanya.

Sementara itu Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan Selangor,Khairul Anuar Ahmad, menyokong penuh tindakan Menteri Besar untuk melepaskan Adun Pelabuhan Klang dari tugasnya.

“Inilah tanggungjawab yang harus kita ambil daripada rakyat, mandat yang telah diambil dari pengundi dari pilihanraya yang lalu.Sekalipun sukar tetapi tanggungjawab itu lebih penting ataupun amanah rakyat itu yang penting. Jjadi kalau kita dapati ada Adun-adun yang tidak dapat memberikan khidmat terbaik kepada kerajaan negeri dan rakyat walaupun setelah dibantu dan dinasihati, tetapi masih lagi gagal melaksanakan amanah itu maka kita perlu mengambil keputusan dan tindakan yang bertanggungjawab .Walaupun sukar tetapi amanah rakyat itu adalah yang penting,”katanya. - ShakiraBuang-TvSelangor.



MB Selangor Hantar Usul Minta ADUN Pelabuhan Klang Letak Jawatan


Khamis, 29 Oktober 2009 Ruangan: Berita

SHAH ALAM 29 OKT - Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim membuat usul kepada Majlis Pimpinan Pusat Parti Keadilan Rakyat menyarankan supaya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang, Badrul Hisham Abdullah meletakkan jawatan.

Setiausaha Politik Menteri Besar, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata usul berkenaan dibuat atas keprihatinan kerajaan negeri terhadap aduan penduduk Pelabuhan Kelang mengenai prestasi Badrul Hisham.

Walaupun diberikan surat tunjuk sebab sebelum ini, Badrul gagal memperbaiki prestasi kerja beliau selain enggan membuka semula Pusat Khidmat beliau untuk penduduk setempat.

Badrul juga enggan berjumpa dengan pimpinan kerajaan negeri ataupun parti dan tidak melayan panggilan telefon atau SMS yang dihantar kepada beliau mengenai isu berkenaan, kata Nik Nazmi.

“Datuk Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengambil keputusan untuk menyatakan kepada Majlis Pimpinan Pusat Parti Keadilan Rakyat agar YB Badrul diminta letak jawatan kerana gagal menunjukkan prestasi yang baik selaku wakil rakyat Pelabuhan Klang,” katanya.

Nazmi berkata kerajaan negeri telah menerima banyak aduan mengenai mutu kerja Badrul sebelum ini.

“Kerana banyak aduan, kita telah memberi surat tunjuk sebab, apabila dia (Badrul) membalas surat tunjuk sebab, dia menyatakan kesedian untuk berjumpa. Tetapi sampai hari ini kita cuba berjumpa dengan dia tetapi tidak berjaya, tidak dapat menghubungi beliau malah penduduk pun sukar untuk berjumpa dengannya,” kata Nik Nadzmi.

“Jadi sebab itu kita ambil keputusan untuk minta dia letak jawatan,” katanya.

Nik Nazmi berkata usul berkenaan tidak dibawa ke Speaker Dewan kerana Menteri Besar tidak mahu memecat Badrul sebaliknya hanya mahu beliau meletakkan jawatan secara sukarela.

Menurutnya kerajaan negeri tidak akan bertolak ansur dengan wakil rakyat yang tidak bertanggungjawab kerana ia hanya mengekang usaha kerajaan negeri dalam memajukan Selangor.

ADUN PKR diminta letak jawatan

Okt 29, 09 12:44pm

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengusulkan kepada Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR supaya ADUN Pelabuhan Klang, Badrul Hisham Abdullah melepaskan jawatan wakil rakyat kawasan tersebut.

Menurut kenyataan pejabat menteri besar hari ini, kerajaan Selangor prihatin terhadap aduan penduduk di Pelabuhan Klang mengenai ketidakupayaan Badrul Hisham menjalankan kewajipan beliau sebagai wakil rakyat.

"Sejak surat tunjuk sebab dikeluarkan kepada beliau pada 20 Ogos 2009. Beliau tidak mengambil sebarang langkah untuk memperbaiki prestasi kerja beliau

"Dalam surat jawapannya. Badrul Hisham telah menyatakan kesudian untuk berjumpa dengan pimpinan negeri dan parti..

"Namun demikian beliau masih enggan berjumpa dengan pimpinan kerajaan negeri ataupun parti, menjawab panggilan telefon dan SMS, serta membuka semula Pusat Khidmat beliau untuk penduduk Pelabuhan Klang," kata kenyataan tersebut.

Berikutan itu, Khalid hari ini membuat satu usul kepada MPP PKR supaya Badrul Hisham meletakkan jawatan sebagai ADUN Pelabuhan Klang.

"Menteri besar juga akan menghantar satu delegasi untuk memaklumkan pendirian tersebut kepadanya dalam masa terdekat.

"Kerajaan Negeri tidak akan bertolak ansur dengan pemimpin yang tidak bertanggungjawab kerana mereka ini hanya akan menggagalkan usaha kerajaan negeri dalam meningkatkan taraf ekonomi dan sosial rakyat," kata kenyataan itu lagi.

PAS S'gor diseret ke JK disiplin
Jimadie Shah Othman & Abdul Rahim Sabri
Okt 28, 09
11:59am
kemaskini 2.42am Khamis Mesyuarat khas barisan pemimpin atasan PAS yang berlarutan lebih empat jam sehingga selepas tengah malam ini memutuskan untuk membawa PAS Selangor ke depan jawatankuasa disiplin parti itu.

"Isu Selangor kita serah pada jawatankuasa disiplin yang dipengerusinya oleh (naib presiden) Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man untuk menyiasat sejauh mana kebenarannya tuduhan-tuduhan yang dilemparkan itu," kata Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Mesyuarat yang melibatkan ahli-ahli jawatankuasa pusat PAS dan barisan pesuruhjaya negeri juga memutuskan untuk mengadakan seminar politik bulan depan bagi membincangkan isu-isu yang dibangkitkan oleh Mursyidul Amnya Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Seminar yang dirancang itu, dengan melibatkan perwakilan setiap peringkat kepemimpinan parti, bagi menggantikan idea muktamar khas - yang asalnya disarankan oleh menteri besar itu di blognya, Khamis lalu - yang diputuskan tidak perlu diadakan.

"Satu seminar politik akan diadakan pada 7 November ini yang dihadiri perwakilan daripada seluruh negara bagi membincangkan isu yang berkaitan dan isu-isu lain bagi memperkasakan PAS.

"EGM (muktamar khas) tidak ada. Kita bersetuju EGM tidak ada," kata Abdul Hadi lagi.

Dua keputusan penting itu diumumkan dalam sidang media ringkas di ibu pejabat parti di Kuala Lumpur selepas mesyuarat berakhir kira-kira jam 1 pagi ini.

Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali - yang turut menjadi sasaran kemarahan Nik Aziz - sebelum ini dan seorang lagi Naib Presidennya Salahuddin Ayub turut hadir di sisi Abdul Hadi.

Kira-kira 60 wartawan dan jurugambar setia menungggu mesyuarat khas itu sehingga sidang media itu tamat.

Abdul Hadi turut menegaskan kembali kenyataan sebelumnya bahawa PAS akan beriltizam untuk mengeratkan kerjasama dalam Pakatan Rakyat dan menutup pintu kepada rundingan dengan Umno.

"Setelah kita berbincang dengan sepanjang-panjangnya dan menerima pandangan semua pihak, kita bersetuju, PAS akan memainkan peranan lebih aktif bagi mengukuhkan Pakatan Rakyat.

"Isu kerajaan perpaduan ditutup dan kita tetap bersama Pakatan," tegasnya.

Mesyuarat malam ini dipanggil bagi membincangkan isu "beberapa kerat pemimpin bermasalah" yang dibangkitkan oleh Nik Abdul Aziz di Blog Tok Guru minggu lalu.

Beliau pada asalnya mendesak muktamar khas untuk membincangkan gelagat beberapa pemimpin yang didakwanya masih berminat dengan idea kerajaan perpaduan seperti Mustafa, Timbalan Presiden PAS Nasharuddin Mat Isa, dan pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hassan Ali.

Mesyuarat itu bermula jam 8.45 malam ini walaupun Nik Abdul Aziz hanya menghadiri mesyuarat tersebut sehingga jam 11 malam. Semua tiga tokoh utama yang dipertikai oleh beliau turut hadir.

Selain kenyataan Abdul Hadi di sidang media itu, butiran mesyuarat dan kehangatan perbincangannya belum dapat dipastikan. Ramai pemimpin PAS yang ditemui selepas mesyuarat itu enggan mengulas lanjut.

Wednesday, October 28, 2009

Tangani segera isu dera pembantu rumah

Hazayani Zakaria
Wed Oct 28, 09 7:06:35 pm MYT
KUALA LUMPUR, 28 Okt: Ahli Parlimen Wanita Pakatan Rakyat mendesak kerajaan mengambil tindakan tegas bagi menangani pemasalahan kebajikan dan keselamatan wanita ekoran tragedi kematian pembantu rumah Indonesia akibat didera majikan.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan bersama, ahli parlimen wanita Pakatan menggesa Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Wanita, Keluarga dan Masyarakat segera mengambil langkah berkesan bagi memastikan kejadian sedemikian tidak akan berulang.

"Pantauan secara langsung oleh kementerian-kementerian melalui agensi atau jabatan yang berkaitan perlu ditubuhkan segera bagi menyelesaikan kemelut ini.

"Penubuhan pusat aduan setempat dan talian hotline dilihat boleh membantu pihak agensi atau jabatan yang bertanggungjawab menerima, menyiasat dan mengambil tindakan berkenaan sebarang aduan yang diterima," kata kenyataan itu.

Ia ditandatangani oleh ahli Parlimen PAS Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusoff, ahli parlimen PAS Titiwangsa, Dr. Lo' Lo' Mohd Ghazali, ahli parlimen PAS Kota Raja Dr. Siti Mariah Mahmud, Ahli Parlimen PKR Ampang Zuraida Kamaruddin dan ahli parlimen DAP Batu Gajah Fong Po Kuan.

Mantik Hani, 36, dari Surabaya, ditemui dikurung di dalam tandas rumah majikannya, meninggal dunia 10 pagi Isnin lalu di Unit Rawatan Rapi Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang. Rawatan yang diberikan oleh doktor pakar, gagal menyelamatkan mangsa akibat keadaan mangsa yang terlalu lemah.

Menurut laporan, Mantik telah ditemui oleh pihak polis di dalam tandas yang berkunci dalam keadaan separuh pengsan dengan kesan lebam dan luka di seluruh badan.

Dia mendakwa telah beberapa hari tidak diberi makan selain kepalanya dicukur hampir botak.

Ahli parlimen wanita Pakatan turut mendakwa, kes kematian Mantik adalah kemuncak kepada kegagalan kerajaan dalam menjamin hak kebajikan dan keselamatan pekerja asing, terutamanya melibatkan pembantu rumah yang berjumlah sekitar 280, 000.

Tragedi ini juga telah mencemarkan nama baik Malaysia diperingkat antarabangsa.

"Akibat daripada kegagalan kerajaan Malaysia dalam memastikan persekitaran kerja yang baik serta amalan pemotongan sehingga 100% gaji pembantu rumah selama tujuh bulan bagi yuran yang dikaut oleh agensi pembantu rumah, mengakibatkan banyak kejadian pembantu rumah melarikan diri daripada majikan asal.

"Mereka kemudiannya menjadi mangsa kepada keadaan yang lebih buruk dan inilah yang berlaku kepada Mantik Hani," kata kenyataan itu.

Sementara itu, dalam kenyataan berasingan kepada Harakahdaily, Dr Lo' Lo' bimbang, apa yang berlaku kepada Mantik akan memberikan kesan kepada rakyat Malaysia di negara jiran berkenaan.

"Saya bimbang dengan nasib pelajar kita di sana. Apa kata kalau ada rakyat Indonesia yang membalas dendam kepada pelajar kita. Kerajaan mesti menyelesaikan segera kebimbangan ini," katanya.

Beliau mencadangkan kerajaan membuat kenyataan misalnya kerajaan dan rakyat Malaysia mengutuk keras pelakunya dan berjanji akan mengambil tindakan segera ke atas pihak yang bertanggungjawab.

Beliau juga mencadangkan agar diadakan pusat aduan di samping skuad pemantau keadaan para pekerja asing di negara ini agar ia tidak berulang lagi. _