Juruaudit KPMG sahkan bahawa urus niaga antara kerajaan Selangor dan Talam Corporation melibatkan kutipan hutang RM392 juta tidak mengandungi unsur-unsur keraguan.

Pengarah Eksekutif KPMG Advisory Unit Chan Siew May yang hadir pada sidang media bersama menteri besar tengah hari tadi menyatakan, semua transaksi melibatkan pembayaran hutang itu mematuhi undang-undang dan amalan perakaunan.

NONEMenurutnya, KPMG mengambil masa sebulan bagi memeriksa transaksi yang direkodkan bersama dokumen-dokumen sokongan.

Bagaimana pun, beliau menjelaskan audit itu tidak dibuat untuk memeriksa tuduhan-tuduhan yang dilemparkan MCA terhadap kerajaan Selangor sebelum ini.

"Ia tidak dibuat untuk memeriksa sama ada tuduhan terhadap kerajaan Selangor sebelum ini benar atau tidak," katanya.

Audit yang dilakukan ini adalah komitmen Khalid Ibrahim sebelum ini yang menolak penubuhan siasatan terbuka untuk meneliti penstrukturan semula hutang Talam Corporation.

Beliau sebaliknya, awal Ogos lalu, menawarkan untuk melantik firma audit bebas bagi tugas tersebut.

Khalid: Jangan ganggu MB
Ia dilakukan bagi menangkis dakwaan MCA yang mendakwa Selangor membelanjakan RM1 bilion untuk menyelamatkan Talam daripada hutang.

Pada sidang media sama, Khalid turut mengedarkan helaian jawapan kepada soalan-soalan lazim berkenaan kutipan hutang itu.

NONEMenurutnya, ia disediakan untuk membantu media dan orang ramai termasuklah 'rakan-rakan dari MCA' untuk memahami perkara tersebut dengan lebih baik.

Beliau menegaskan bahawa proses yang berlaku adalah kutipan hutang dan bukannya 'bailout'.

"Dalam kes ini, aset (Talam) digunakan untuk menyelesaikan hutang. Kaedah kerajaan negeri adalah mendapatkan aset Talam menerusi perjanjian penyelesaian," katanya.

Beliau turut menggesa MCA agar menghentikan dakwaan bahawa kerajaan Selangor membelanjakan RM1 bilion dalam urus niaga jika tidak mahu berdepan tindakan undang-undang.

"Kalau dia teruskan cakap kerajaan Selangor seleweng RM1 bilion, kita akan teruskan saman.

"Jangan ganggu MB, beliau sangat 'mahal'," katanya separa serius.