Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim berkata tiada bukti menunjukkan kerajaan negeri pernah mengundang Sultan Selangor ke sambutan ambang Hari Kebangsaan sejak tahun 2003.

Khalid berkata, sejak 2003, Sultan Selangor hanya diundang sekali sahaja diundang pada 2007 - untuk sambutan jubli emas yang diraikan dengan perarakan lintas hormat pada 31 Ogos.

Katanya, kerajaan negeri tidak menemui apa-apa surat yang menunjukkan sultan diundang ke sambutan tersebut, seperti didakwa Bekas menteri besar Dr Mohd Khir Toyo. 

NONE"Saya tak nampak suratnya lagi. Saya takut dah terbakar," katanya.

Menjawab soalan wartawan, khalid berkata isu meminta maaf kepada Sultan Selangor tidak perlu ditimbulkan.

Dr Khir semalam berkata beliau mengundang sultan secara rasmi dan juga secara lisan untuk ke majlis sambutan ambang kemerdekaan peringkat negeri semasa negeri itu berada bawah pentadbiran BN.

Sementara itu, Khalid menjelaskan, kehadiran Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sambutan Hari Merdeka Selangor hanya sebagai penceramah jemputan dan bukan tetamu utama.

"Tetamu kehormat adalah MB, penceramah jemputan adalah Anwar," katanya.

Isu Sultan Selangor yang tidak dijemput ke sambutan Hari Merdeka mula timbul selepas kumpulan pendesak Melayu PERKASA membuat laporan polis berkenaan perkara itu.