Wednesday, April 16, 2014

Pantau pelaburan KWSP RM6.5 bilion di luar negara

KUALA LUMPUR 16 APR: Pakatan Rakyat dan rakyat Malaysia diingatkan agar sentiasa memantau pelaburan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di luar negara, kata Pengerusi KEADILAN Terengganu, Azan Ismail.
Kata Azan, trend pelaburan asing KWSP semakin meningkat dari had 5% sebelum ini kepada 20% pada sekitar 2010-2011.
“Daripada RM360 bilion simpana KWSP, bermakna ia boleh dibelanjakan sehingga RM70 bilion,” kata Azan kepadaKeadilandaily.
Katanya, langkah ini membimbangkan kerana sebelum ini beberapa syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang membuat pelaburan asing mengalami kerugian.
Beliau merujuk peringatan Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang bahawa pelaburan hartanah asing KWSP telah meningkat kepada RM6.46 bilion.
Kebimbangan itu turut disuarakan Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara, Nur Jazlan Mohamed yang berkata bahawa pelaburan dibuat diluar pengawasan.
Malah, Nur Jazlan menyatakan kebarangkalian wujud unsur rasuah dalam urusniaga tersebut.
Menurut laporan audit, pelaburan KWSP di Australia bagi 2013 berjumlah RM586.66 juta di mana RM14.36 juta ialah pelaburan di hartanah dan infrastruktur.
Justeru kata Azan, pelaburan KWSP tersebut perlu dipantau, kerana sebelum ini laporan Global Financial Index (GFI) mendedahkan Malaysia antara negaa paling tinggi di dunia kadar aliran wang haram keluar negara.
“Ketirisan ini terdiri dari urusniaga halal dan haram. Kadar paling tinggi aliran wang keluar sekitar tahun 2008 hingga 2012.
“Sebelum ini kerajaan berjanji akan menjalankan siasatan, namun sampai hari ini tidak ada apa-apa yang berlaku.
“Malaysia ada banyak pengalaman rugi dalam pelaburan di luar negara. Masalahnya, wang yang digunakan adalah wang rakyat,” kata Azan yang juga Adun Bandar, Terengganu.
Sebelum ini, syarikat pegangan pelaburan, Felda Global Ventures North America Sdn. Bhd. (FGVNA) mencatat kerugian sebanyak RM27,576,023 pada 31 Disember 2010, dalam masa sama tunai Felda menyusut.

NOTIS MATC KEADILAN PUTRAJAYA 2013