Wednesday, November 25, 2009

Husam tidak mahu jadi MB K'tan


Nov 25, 09 7:27pm
Timbalan Pesuruhjaya II PAS Kelantan, Datuk Husam Musa berkata beliau akan menolak tawaran jika dilantik menjadi menteri besar Kelantan, untuk menggantikan Datuk Nik Abdul Abdul Aziz Nik Mat.

Beliau berkata Datuk Ahmad Yaakob lebih layak menjadi menteri besar kerana kekananan serta hirarki dalam kerajaan dan parti iaitu sebagai timbalan menteri besar dan timbalan pesuruhjaya I PAS Kelantan.

"Semua calon layak, timbalan menteri besar lebih layak lagi sebab dia paling senior.

"(Cuma) jangan calonkan nama saya cukup, kerana saya tidak mahu dicalonkan," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan kepada ibu tunggal yang terpaksa menanggung anak yang menghidap down syndrome di Kampung Becah Keranji dekat Kota Bharu hari ini.

Beliau mengulas laporan Bernama semalam bahawa Nik Abdul Aziz tidak menolak wujud kumpulan pelapis dalam PAS Kelantan yang bakal mengambil alih tempatnya sebagai menteri besar sekiranya beliau melepaskan jawatan itu.

Bagaimanapun, Nik Abdul Aziz enggan membayangkan siapa nama yang disebut-sebut bakal menggantikannya, tetapi memberi gambaran ia tertakluk kepada hirarki dalam parti di peringkat negeri seperti pesuruhjaya, timbalan pesuruhjaya satu hingga tiga.

Pesuruhjaya PAS III Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dipetik sebagai berkata Nik Aziz perlu mengumumkan calon penggantinya bagi mengelak perebutan dan konflik dalam PAS Kelantan apabila beliau tiada.

Sehingga kini Ahmad yang disebut-sebut di kalangan pemimpin dan penyokong PAS Kelantan kerana ketokohan ulama dan dirinya yang dilihat tidak pernah dicemari dengan pelbagai isu kontraversi.

Selain Ahmad, Husam dan Mohd Amar turut disebut-sebut sebagai bakal menggantikan Nik Abdul Aziz.

Husam, yang juga pengerusi Jawatankuasa Perancangan Kewangan, Ekonomi dan Kebajikan Kelantan berkata, berkata isu itu tidak perlu dihebohkan, kerana siapa yang dipilih memegang jawatan itu beliau akan menyokong.

Katanya, beliau akan mengkaji dengan peguamnya untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap laporan akhbar New Straits Times dan Utusan Malaysia yang menyiarkan berita berbau fitnah terhadapnya.

Katanya, beliau memberi tempoh seminggu ke atas kedua-dua akhbar itu untuk menyiarkan kenyataan permohonan maaf terhadapnya sebelum beliau mengemukakan saman di mahkamah.

Husam sebelum ini "diserang" oleh media tempatan dengan dakwaan beliau telah meletak jawatan dalam kerajaan dan politik berikutan konon beliau memberikan kata dua kepada Nik Abdul Aziz berhubung pelantikan ketua pegawai eksekutif Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) Abdul Ariffahmi Abdul Rahman yang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Mengenai kenyataan Nik Aziz yang memuji beliau sebagai pemimpin muda PAS yang berkaliber, Husam berkata beliau berterima kasih di atas penghargaan itu.

"Saya ucap terima kasih kerana saya dua tahun menderita kerana (dikatakan) menentang kerajaan perpaduan dan saya difitnah kiri kanan, blog yang tidak ada nama hentam saya, macam-macam program diatur untuk menanyakan saya, tetapi saya tidak boleh balas balik kerana nak jaga perpaduan dalam parti dan imej parti," kata Husam. BERNAMA

NSTP diarah bayar RM100,000 pada Anwar


Nov 25, 09 6:55pm
Mahkamah Tinggi hari ini mengarahkan New Straits Times Press (M) membayar gantirugi RM100,000 kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung penyiaran satu artikel berunsur fitnah pada 2002.

Mahkamah juga memerintahkan supaya syarikat media itu membayar kos RM20,000 kepada ketua umum PKR itu.Sebelum itu, mahkamah memutuskan bahawa NSTP telah memfitnah Anwar dalam artikel yang disiarkan dalam akhbar New Straits Times pada 2 Mac 2002.

Artikel tersebut yang bertajuk 'Anwar's link to US lobbyist' mendakwa ketua pembangkang itu menyorok RM3 bilion dalam akaun asing dan mempunyai hubungan dengan kepentingan Barat. Artikel itu berdasarkan kepada satu laporan yang disiarkan dalam majalah New Republic.

Dalam keputusannya, Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Harminder Singh Dhaliwall berkata NSTP tidak boleh menyandarkan pembelaannya atas alasan kelayakan terhad kerana artikel tersebut berniat jahat dan lebih daripada sekadar menerbitkan semula artikel majalah New Republic.

Oleh itu, katanya, mahkamah mendapati artikel tersebut berunsur fitnah dan defenden perlu membayar gantirugi kepada Anwar.

Anwar telah memfailkan saman RM100 juta terhadap NSTP dan bekas ketua pengarang kumpulannya, Tan Sri Abdullah Ahmad berhubung penyiaran artikel tersebut. Anwar memfailkan saman itu pada 4 Julai 2003.

Artikel NSTP itu berdasarkan kepada satu lagi artikel - 'The Bush Administration's dubious envoy to Taiwan' - yang disiarkan dalam edisi Mac 2000 majalah mingguan politik New Republic.

Selangor rasmi boikot program BTN


Abdul Rahim Sabri
Nov 25, 09
2:28pm
kemaskini 7.02pm Selangor melarang penyertaan kakitangan kerajaan negeri dan pelajar di institusi pengajian tinggi miliknya hadir di program anjuran Biro Tatanegara (BTN), kata exco pendidikan tingginya Dr Halimah Ali.

Keputusan yang berkuatkuasa serta-merta itu dibuat dalam mesyuarat exco kerajaan negeri susulan desakan sekumpulan ADUN Pakatan Rakyat di Selangor yang mendakwa program kendalian biro bawah Jabatan Perdana Menteri itu membangkitkan sentimen perkauman.

Empat buah pusat pengajian tinggi yang dimiliki kerajaan negeri itu: Universiti Industri Selangor (Unisel), Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), Kolej Antarabangsa INPENS dan Institut Kemahiran Yayasan Selangor.

Selain menghentikan penyertaan pelajar, seperti didesak, keputusan itu turut meliputi kakitangan kerajaan negeri dan pegawai semua anak syarikat kerajaan itu, tambahnya.

Dalam sidang medianya di Shah Alam selepas mesyuarat itu, Dr Halimah menyifatkan program BTN sebagai "indoktrinasi kerajaan (pusat) BN untuk menimbulkan fenomena yang agak racist (perkauman) seolah-olah ingin memecah belah penduduk pelbagai bangsa dan agama."

"Rata-rata (peserta BTN) termasuk anak saya sendiri, mereka kadang-kadang dibekalkan dengan buku kecil yang mengandungi pelbagai perkara yang menimbulkan kebencian kepada (pihak) yang dikatakan pembangkang kepada kerajaan Malaysia,” kata wakil rakyat PAS itu.

"Oleh kerana ia tidak memberi satu perkara yang positif, tambahan pula kepada minda yang begitu muda ini, maka kita rasa ia tidak perlu dan menghabiskan wang rakyat."

Minggu lalu, sekumpulan wakil rakyat muda tiga parti dalam Pakatan menulis surat kepada Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk membuat desakan demikian.

ADUN-ADUN yang terlibat: Amirudin Shari (PKR-Batu Caves), Lau Weng San (DAP-Kampung Tunku), Nik Nazmi Nik Ahmad (PKR-Seri Setia), Jenice Lee Yin Ha (DAP-Teratai), Hannah Yeoh Tseow Suan (DAP-Subang Jaya) dan Gan Pei Ni (PKR-Rawang).

Monday, November 23, 2009

Nik Aziz nafi Husam mahu letak jawatan


Nov 22, 09 7:36pm
Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini menafikan Exco kanan Kerajaan Negeri Datuk Husam Musa akan melepaskan jawatan dalam parti dan kerajaan negeri itu.

Mursyidul Am PAS itu juga menolak dakwaan perkembangan terbaru itu sebagai berlaku episod terbaru perpecahan dan kekusutan dalam parti itu.

Beliau menyifatkan tindakan sebuah akhbar harian yang menyiarkan laporan itu hari ini sebagai usaha untuk memecahbelahkan PAS dan melariskan jualan akhbar berkenaan.

"Saya baru baca sebuah akhbar rasa terlalu amat terkejut dengan siaran tajuk Husam letak jawatan, walaupun ada tanda soal," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di Kota Darulnaim di Kota Bharu hari ini.

Laporan itu memetik beberapa sumber sebagai berkata hasrat Husam itu bagaimanapun tidak dipersetujui oleh Nik Abdul Aziz yang sekali gus memberikan Husan cuti lima hari bermula hari ini untuk berehat dan menenangkan fikirannya.

Nik Abdul Aziz berkata Husam sememangnya ada menemuinya di pejabat dua hari lepas dan hanya memaklumkan bahawa beliau dinasihati oleh doktor agar mendapat rawatan di hospital kerana mengalami masalah sakit tulang belakang.

"Masalah nak berundur tak berundur, langsung tidak timbul baik dalam kepala dia atau saya," katanya.

Beliau berkata tindakan akhbar menyiarkan laporan itu sebenarnya mengguriskan hati orang yang dalam keadaan sakit. - Bernama
Siswa UM kesal dikaitkan isu kepala babi
Abdul Rahim Sabri
Nov 23, 09
12:04pm
Seorang mahasiswa Universiti Malaya (UM) kesal apabila polis mengaitkan beliau dengan siasatan kes meletakkan kepala babi di surau di kampus tersebut, Januari lalu, sewaktu ingin meremannya Jumaat lalu.

Muhammad Saufi Jelani, yang asalnya ditahan polis berhubung siasatan kes contengan "bini puaka" di sebuah dewan kuliah, berkata beliau bagaimanapun tidak disoal tentang insiden menggemparkan menjelang pilihan raya kampus itu awal tahun ini.

"Sekarang ini, saya berasa risau sebab nama saya sudah buruk kerana dikaitkan dengan isu kepala babi.

"Orang menganggap saya terlibat dengan isu itu. Itu yang saya sakit hati," katanya ketika dihubungi Malaysiakini pagi ini.

Pada 16 Januari lalu, kepala babi yang dibelah dua ditemui diletakkan di atas bendera PAS di dalam surau Akademi Pengajian Islam (API) sewaktu kampus tersebut sedang sibuk menghadapi pilihan raya kampus.

Kepala haiwan itu ditemui oleh seorang pelajar yang pergi ke surau tersebut untuk menunaikan solat Subuh.

Polis asalnya menjejaki Muhammad Saufi berhubung siasatan kes awal, contengan perkataan-perkataan "C4", "bini puaka" dan "pembunuh Altantuya" di dinding dewan kuliah utama API.

Selain kes menceroboh dewan tersebut awal pagi 24 Jun lepas, siasatan polis juga berhubung simbahan petrol di permaidani merah yang bakal dilalui isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor untuk satu program di dewan tersebut.

Kejadian itu berlaku beberapa jam sebelum dewan tersebut digunakan oleh isteri Datuk Seri Najib Razak untuk program derma kanak-kanak Palestin, jam 9 pagi Rabu itu.

Muhammad Saufi Jelani merupakan pelajar terakhir yang ditangkap daripada sekumpulan lima orang berhubung kes ini.
Polis tarik balik permit ceramah Anwar kerana bantahan Pemuda Umno PDF | Print | E-mail
Harakahdaily
KULAI,23 Nov: Ceramah Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kulai malam tadi terpaksa dibatalkan selepas hanya 10 minit berucap berikutan tindakan polis menarik balik permit di saat akhir.

Punca permit ditarik adalah kerana bantahan dari kira-kira 30 pemuda Umno, kata Anwar dalam satu kenyataannya.

Hanya Tian Chua dan Dr Boo Cheng Hau sempat berceramah dalam majlis itu.

"Alasan yang diberikan OCPD ternyata tidak masuk akal. Apakah selepas ini jika rakyat beramai-ramai membantah sebarang majlis anjuran Umno maka ianya akan dibatalkan?" kata beliau dalam kenyataannya.

Bagi beliau, adalah tidak wajar polis mengikut telunjuk Umno dan akur kepada sebilangan ahli yang bersikap biadap.

Anwar sepatutnya memberikan ceramah bersama Datuk Chua Jui Meng malam tadi namun terpaksa menghentikan program itu di pertengahan majlis.

"Saya hanya berkesempatan menyampaikan amanat untuk sekitar 10 minit kepada hadirin sebelum mereka bersurai," katanya

Tuesday, November 17, 2009

SEKITAR LIPUTAN KONVENSYEN WILAYAH PERSEKUTUAN..

Tahniah YB Azmin, Pengerusi MPN Wilayah Persekutuan, Sdr Azman dan seluruh barisan AJK kerana menjayakan program julung kali di Wilayah Persekutuan di Hotel De Palma, Ampang, semalam.

Kehadiran ahli-ahli KEADILAN yang dipanggil notis pendek, hujan berterusan sejak awal pagi dan kesesakan lalulintas yang teruk tidak membataskan mereka hadir untuk mendengar pesanan dari pemimpin-pemimpin mereka seperti DSAI, DSWA, Tan Sri Khalid, YB Azmin dan ramai lagi.

Terima kasih juga ahli Putrajaya, Ustaz Ramlang Porigi yang telah membaca doa bagi menyempurnakan majlis ini.
























Sunday, November 15, 2009

Konvensyen Wilayah Persekutuan..


KONVENSYEN KEADILAN WILAYAH PERSEKUTUAN

ISNIN, 16 NOVEMBER 2009
De Palma Hotel,Ampang

“MENGGILAP HARAPAN RAKYAT”

ATURCARA PROGRAM

6.00 P.M : Pendaftaran
7.00 P.M : Solat Maghrib Berjemaah
7.30 P.M : Makan Malam

8.30 P.M : Ucapan Aluan YB Azmin Ali (Pengerusi MPN Wilayah)
8.40 P.M : Ucapan Y.A.B Tan Sri Dato’ Abdul Khalid Ibrahim
8.55 P.M : Ucapan YBhg. Dato Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail (Presiden Parti)

9.10 P.M : Ucaptama Oleh Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat,
YB Dato’ Seri Anwar Ibrahim “Menggilap Harapan Baru Rakyat”

10.00 P.M : Halatuju AMK Wilayah
10.15 P.M : Ucapan Ketua Wanita Wilayah
10.30 P.M : Pembentangan Kertas Kerja “Menggilap Harapan Rakyat”
YB Wee Choo Keong (AP Wangsa Maju/Timb. Pengerusi 2 MPN WP) “Keselamatan”
10.50 P.M : YB Tian Chua – “Perumahan Awam”
11.10 P.M : YB Nurul Izzah Anwar – “Local Government Election”
11.30 P.M : Rumusan oleh YB Azmin Ali(Pengerusi MPN Wilayah)

11.45 P.M : Bersurai
SILA HUBUNGI: Sdr Azmi Mustapha 019-2582464

Monday, November 9, 2009

Nik Aziz terunggul, presiden PAS gagal


Jimadie Shah Othman
Nov 7, 09
2:51pm
kemaskini 6.08pm Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat mengekalkan kepercayaan politik dan persepsi positif masyarakat awam terhadapnya tetapi Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang pula gagal mencapainya, kata seorang ahli akademik berdasarkan satu tinjauan.

Pensyarah kajian media Universiti Malaya (UM) Dr Abu Hassan Hasbullah berkata, Nik Aziz mendapat kepercayaan politik yang positif dalam semua peringkat umur responden, antara 21 hingga 50 tahun.

Abdul Hadi sebaliknya diberikan reaksi negatif oleh semua peringkat umur responden.

Kesimpulan tersebut, tambahnya, dicapai daripada lebih 2,000 responden di seluruh negara apabila diajukan lima soalan - antaranya sama ada pemimpin yang dinamakan patut meletakkan jawatan dan sama ada mereka dipengaruhi kumpulan tertentu.

Turut disoal, sama ada seseorang pemimpin tersebut gagal di negeri masing-masing, dan juga peranan pemimpin berkenaan dalam pembangunan ekonomi, politik dan sosial.

Membentangkan dapatan tinjauan yang dikendalikannya itu di seminar politik PAS pagi ini, Dr Abu Hassan berkata, Nik Aziz juga masih mengungguli di tempat pertama sebagai pemimpin paling popular dalam PAS.

Sementara itu, terdapat penemuan mengejutkan apabila Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Razak berada di tangga kelima pemimpin PAS paling popular.

Abdul Hadi, yang berada di kedudukan belakang Nik Aziz, diikuti dua lagi pemimpin PAS: bekas menteri besar Perak Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin (ketiga) dan ahli jawatankuasa pusat parti Mohamad Sabu (keempat).

Dr Abu Hasaan juga berkata tinjauan sama menunjukkan separuh daripada masalah PAS berpunca daripada kelemahan kepemimpinan.

Penceramah popular itu menambah, masalah kepemimpinan menyebabkan 50 peratus kelemahan PAS, berbanding faktor individu (27 peratus), jentera parti (11 peratus), masalah ideologi (10 peratus), dan manifesto (1 peratus).

Daripada aspek kekuatan pula, tinjauan tersebut mendapati, Dewan Muslimat mempunyai jentera yang terbaik dalam pilihan raya berbanding Pemuda PAS.

Tinjauan tersebut dimulakan selepas pilihan raya umum tahun lalu dan dikemaskini dari masa ke semasa sehingga pilihan raya umum akan datang, tambah pensyarah itu.

Dr Abu Hassan berkata beliau mengetuai tinjauan tersebut yang melibatkan sokongan secara sukarela ratusan sarjana dari seluruh negara.
Marilah Sertai AIP Soal Selidik Dalam Talian Dan Menangi Hadiah Lumayan!

Masjid serah laporan isu bawa masuk exco bukan Islam


Salhan K Ahmad
Nov 7, 09
3:26pm
Jawatankuasa Masjid Jamek Ar-Rahimiah telah menghantar satu laporan penuh berhubung tindakan mereka membawa seorang anggota exco Selangor bukan Islam ke majlis di dalam masjid berkenaan, Ogos lalu.

Nazir masjid Nasruddin Tanawi berkata, laporan kepada Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) itu menyatakan, antara lain, sebab-sebab Dr Xavier Jayakumar, yang juga ADUN Seri Andalas, ke majlis berbuka puasa itu.

Nasruddin menjelaskan, laporan ini susulan mesyuarat jawatankuasa masjid malam tadi berhubung isu tersebut, yang bermula daripada bantahan Pemuda Umno bahagian tersebut.

Susulan bantahan pergerakan itu, Jais dilaporkan akan mengambil tindakan terhadap jawatankuasa masjid kerana menganggap kehadiran seseorang yang bukan Islam di dalam masjid suatu yang dilarang, seperti wanita Islam yang sedang haid.

Malaysiakini difahamkan, selain Dr Xavier, dua orang pembantunya yang juga bukan Islam turut mengiringinya ke majlis berkenaan. Majlis itu turut dihadiri ahli parlimen PAS bagi Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmod.

Nasruddin memberitahu Malaysiakini hari ini, pihaknya akan menanti keputusan Jais sama ada akan mengambil tindakan seperti yang dilaporkan di akhbar semalam.

"Hendak kata Jais akan ambil tindakan pun tidak juga, apa yang berlaku sekarang kena tengok kalau ada apa-apa keputusan daripada Jais. Saya tidak boleh komen lebih lanjut sehingga Jais buat keputusan nanti," katanya ketika dihubungi.

Beliau, yang dilantik nazir sejak Jun lalu, turut menjelaskan bahawa Dr Xavier diundang kerana beliau wakil rakyat kawasan tersebut.

"Kehadiran mereka ini disebabkan dia selaku wakil rakyat Seri Andalas dan dia bagi ucapan alu-aluan selam dua atau tiga minit sahaja," katanya.

Nasruddin menafikan laporan Utusan Malaysia semalam yang menyatakan Dr Xavier diberi ruang untuk berceramah di dalam masjid.

"Bukan ceramah, tapi (laporan media) yang saya tengok menyatakan dia berceramah. Dia tidak berceramah, cuma bagi kata-kata aluan di majlis tersebut," katanya.

Beliau mengakui tidak bertindak lebih awal untuk menghalang kehadiran Dr Xavier kerana lewat menerima maklumat berkenaan undangan pemimpin PKR itu ke majlis berkenaan, yang dihadiri kira-kira 300 orang jemaah.

Keadaan ini menyebabkan beliau serba salah dan tidak dapat berbuat apa-apa selain membenarkan Dr Xavier menyertai majlis berkenaan, tambahnya.

"Sebenarnya ahli jawatankuasa masjid, biro dakwah, memberi maklumat kepada saya pada saat-saat terakhir. Perkara ini di luar pengetahuan saya pada asalnya."

Jelas Nasruddin lagi, beliau juga tidak dapat merujuk sebarang garis panduan kerana isu melibatkan kemasukan orang bukan Islam ke majlis, setakat ini, belum ditetapkan oleh Jais.

"Masalahnya, Jais belum ada satu apa pun garis panduan atau apa-apa berkenaan perkara ini," katanya.

Beliau bagaimanapun berpendapat, seseorang bukan Islam tidak sepatutnya dilarang memasuki masjid kerana ada juga masjid yang perlu dimasuki oleh bukan Islam untuk tujuan-tujuan lain, termasuk penyelenggaraan.

"Saya fikir begitu, contohnya kontraktor yang buat masjid atau yang masuk masjid untuk baiki lantai marmar dan sebagainya, jadi perkara ini bukan menjadi satu isu," katanya.

Tuesday, November 3, 2009

Permohonan batal kes liwat 23 Nov


Hafiz Yatim
Nov 3, 09
11:03am
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 23 November ini bagi mendengar permohonan baru Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membatalkan tuduhan liwat terhadapnya.

Manakala tarikh yang sama juga ditetapkan untuk mendengar sebutan kes liwat itu.

Hakim Datuk Zabidin Md Diah menetapkan tarikh tersebut apabila perkara itu dibawa ke mahkamah berkenaan pagi ini.

Awal bulan lalu, Anwar gagal membatalkan tuduhan tersebut di MahkamahTinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-kuasa Khas) selepas mahkamah berkenaan memutuskan ia tidak ada kuasa untuk mendengarnya.

Hakim kemudiannya memutuskan supaya permohonan tersebut didengar di mahkamah jenayah dan bukannya di mahkamah bahagian rayuan dan kuasa-kuasa khas.

Ekoran itu, ketua pembangkang itu telah memfailkan permohonan baru untuk membatalkan tuduhan liwat terhadapnya.

Anwar, 62, tidak mengaku salah terhadap tuduhan meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, 24 di sebuah kondominium di Bukit Damansara pada 26 Jun tahun lalu.

Mohd Saiful dilihat hadir di mahkamah pagi ini.

Ketika ditemui wartawan, Mohd Saiful berkata dia sudah bersedia untuk memberi keterangan di mahkamah berhubung kes tersebut.

[Berita lanjut menyusul]

Shahidan mahu Asri tolak ketuai Yadim


Nov 3, 09 8:57am
Bekas menteri besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim berharap Dr Mohd Asri Zainul Abidin menolak pelantikannya sebagai yang dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) sekiranya ditawarkan.

Katanya, bekas mufti Perlis itu telah dikenakan tekanan oleh pelbagai pihak selepas cadangan untuk melantiknya ke jawatan itu oleh kerajaan Malaysia.

Baru-baru ini Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) menghantar memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong yang disifatkan Shahidan sebagai satu serangan peribadi terhadap Dr Mohd Asri.

Ketika menghubungi Bernama dari London semalam, Shahidan berkata tokoh muda agama itu telah dihukum lebih awal dan sewajarnya beliau tidak menerima jawatan yang ditawarkan itu.

Menyentuh penahanan Dr Mohd Asri malam kelmarin oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dengan alasan beliau mengajar tanpa tauliah, Shahidan yang juga ahli Majlis Tertinggi Umno menyifatkan perbuatan itu amat memalukan.

Banyak lagi isu agama yang lebih penting dan perlu diberi perhatian oleh Jais, katanya.

Shahidan berkata Jais tidak pula menahan "orang-orang agama" yang berucap di pentas politik.

Beliau mendakwa Jais bersikap pilih kasih dalam tindakan mereka dan penahanan Dr Mohd Asri itu adalah kesan daripada pilih kasih itu. BERNAMA

Nakhaie nafi bantah Dr Asri


Nov 3, 09 8:53am
Bekas yang dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) Datuk Mohd Nakhaie Ahmad menafikan beliau menentang pelantikan
bekas mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin untuk mengambil alih tempatnya.

Mohd Nakhaie berkata beliau tidak terlibat dalam penyerahan memorandum yang telah dihantar oleh Persatuan Guaman Syarie Malaysia (PGSM) kepada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin pada 12 Okt lepas.

"Saya tidak pernah terlibat dalam sebarang memorandum yang telah dikemukakan oleh NGO-NGO.

"Kenapa dia (Dr Mohd Asri) nak sindir saya pula melalui blognya?" katanya kepada pemberita di Kuala Lumpur semalam.

Mohd Nakhaie berkata perdana menteri yang akan melantik siapa pengganti beliau, dan buat masa sekarang jawatan yang dipertua Yadim adalah kosong berikutan persaraannya berkuatkuasa kelmarin.

PGSM menghantar memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong supaya menarik balik pelantikan Asri sebagai yang dipertua Yadim kerana pelbagai dakwaan, termasuk mencerca ulama. BERNAMA

Jais diminta hadir mesyuarat exco, jelas isu tahan Dr Asri


Nov 3, 09 2:43pm
Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim akan mendapatkan penjelasan lanjut daripada Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) berhubung penahanan dan siasatan terhadap bekas mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Menteri besar Selangor juga mengundang mufti untuk memberi penjelasan isu tersebut kepada anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dalam mesyuarat mingguannya esok.

Mohd Asri disiasat bawah Seksyen 119 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor 2003 atau mengajar agama tanpa tauliah selepas ditangkap tengah malam semalam di Hulu Kelang.

Beliau ditahan ketika menyampaikan kuliah agama di sebuah banglo milik seorang ahli perniagaan di Taman Sri Ukay.

Turut hadir di tempat kejadian, ahli parlimen PKR bagi Ampang, Zuraida Kamaruddin dan ADUN PAS bagi Hulu Kelang, Saari Sungib.

Pengarah Jais, Datuk Mohammed Khusrin Munawi semalam menjelaskan, jabatan belum mendakwa Dr Mohd Asri kerana siasatan jabatan itu setakat ini belum mencukupi.

Dr Mohd Asri mempertikaikan arahan Jais memintanya hadir di Mahkamah Syariah Gombak Timur pagi semalam walaupun tidak mendakwanya.

Mohammed Khusrin kemudian berkata agamawan itu dibawa ke mahkamah bukan untuk didakwa tetapi untuk jaminan bon melanjutkan tempoh siasatan.

Saiful hadir ikuti kes liwat Anwar


nov 3, 09 12:24pm
Buat pertama kali, Mohd Saiful Bukhari Azlan, yang mengadu diliwat oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim, hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk mengikuti perkembangan kes berkenaan.

Mohd Saiful, 24, yang ditemani ayahnya Azlan Mohd Lazim dan peguamnya Zambri Idrus, tiba di mahkamah pada 8.40 pagi.

Bagaimanapun dia tidak dibenarkan masuk ke dalam mahkamah semasa prosiding tetapi ditempatkan dalam bilik saksi.

Mengikut undang-undang, seorang saksi tidak dibenarkan masuk ke mahkamah semasa prosiding sehinggalah dia selesai memberi keterangan.

Selepas prosiding selesai, Mohd Saiful yang merupakan bekas pembantu peribadi Anwar, berkata beliau sudah lama bersedia untuk tampil memberi keterangan pada perbicaraan kes itu yang sudah beberapa kali tertangguh.

Anwar, 62, yang hadir bersama isterinya Datuk Seri Dr Wan Aizah Wan Ismail, didakwa meliwat Mohd Saiful di sebuah kondominium di Bukit Damansara, Kuala Lumpur pada 26 Jun tahun lepas.

Kes itu ditetapkan untuk sebutan semula pada 23 Nov.

Perbicaraan kes itu pada mulanya ditetapkan pada 1 sehingga 23 Julai lepas tetapi ditangguhkan beberapa kali bagi membolehkan mahkamah mendengar beberapa permohonan yang difailkan oleh Anwar. BERNAMA

Orang BN, Pakatan dituduh seleweng dana DUN


Jimadie Shah Othman
Nov 3, 09
8:42am
kemaskini 4.17pm Ahli parlimen Sabak Bernam, Abd Rahman Bakri dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam dengan lapan pertuduhan memalsukan tuntutan berjumlah RM80,000 bagi program yang tidak wujud.

Lapan program itu meliputi bantuan kepada pelajar sekolah, penganjuran forum perdana dan sambutan Maulidur Rasul.

Beliau, ketika itu ADUN Sungai Air Tawar, didakwa melakukan kesalahan-kesalahan itu antara 21 Januari hingga 18 Februari tahun lalu.

Abd Rahman (foto kiri) bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan dan dibenarkan ikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin.

Ahli parlimen Umno itu hadir sejak jam 8 pagi tadi di mahkamah tersebut dengan ditemani lapan ahli parlimen BN, antaranya Datuk Noraini Ahmad (Parit Sulong), Datuk Halimah Siddiq (Tenggara) dan Datuk Dr Mohamed Shahrom Osman (Lipis).

Pertuduhan terhadap Abd Rahman dibacakan menjelang jam 1 tengah hari tadi.

Hakim Syafeera Mohd Said menetapkan tarikh perbicaraan pada 14 Februari depan.

Sementara itu, pembantu Abd Rahman, Mohd Rosli Bushra pula didakwa bersubahat dengan majikannya membuat tuntutan palsu itu.

Hakim Mat Ghani Abdullah membenarkan beliau diikatjamin dengan jumlah RM9,000.

Mahkamah sama turut mendakwa bekas pegawai menteri besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Mohd Yahya Mohd Sahri dituduh memperdaya seorang ahli perniagaan sejumlah RM50,000 bagi program sambutan 100 hari Pakatan Rakyat di negeri itu tahun lalu.

Bekas pemimpin PKR Selangor itu juga dituduh memalsukan dokumen untuk membuka satu akaun parti itu. Beliau mengaku tidak bersalah dan dibebaskan dengan jaminan RM10,000.

Naib Presiden PKR Mustafa Kamil Ayub dan beberapa aktivis Pemuda PKR turut hadir memberikan sokongan kepada Mohd Yahya.

Pembantu kepada exco kerajaan Selangor, Wong Chua How (foto kanan), dituduh membuat tuntutan palsu RM2,500 kepada Majlis Perbandaran Sepang berhubung pembelian bendera.

Wong, pembantu Ronnie Liu di DUN Sungai Pelek, juga dihadapkan dengan pertuduhan pecah amanah sekeping cek bernilai RM5,000 bagi penganjuran satu perjumpaan Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) di kawasan itu pada 19 Feb lalu.

Hakim Syafeera membenarkan beliau diikat jamin RM10,000. Ronnie turut hadir ketika pertuduhan kes itu dibacakan kepadanya.

Wong mengaku tidak bersalah untuk semua pertuduhan. Kes tersebut akan dibicarakan pada 29 Mac depan.

Kecuali Mohd Yahya yang didakwa bawah Kanun Keseksaan, kesemua mereka dituduh di bawah Akta Pencegahan Rasuah 1997.

Keempat-empat tertuduh ini antara enam orang ahli politik dan pembantu mereka yang diseret oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke muka pengadilan berhubung penyelewengan dana kerajaan negeri untuk pembangunan DUN di Selangor.

Sebelum itu Ronnie, sewaktu bercakap di luar mahkamah, berkata SPRM telah menjalankan siasatan terhadap 20 wakil rakyat Selangor dan turut merampas fail-fail daripada mereka.

"Wong adalah yang pertama, tetapi dia mungkin bukan yang terakhir," katanya.

Pimpinan Kerajaan Negeri Selar Noh Omar

Isnin, 02 November 2009 | Ruangan: Berita

Shah Alam , 2 November 2009 - Tuduhan terbaru Umno-BN yang mendakwa Pas hanya menumpang gagasan Pakatan Rakyat dilihat berniat jahat.

Adun Hulu Klang Saari Sungib berkata pemimpin Pas, DAP dan Parti Keadilan Rakyat membentuk satu musyawarah yang menjadi nadi kepada gagasan kerajaan baru ini.

Beliau berkata demikian mengulas tuduhan Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Negeri, Datuk Noh Omar baru-baru ini. Noh Omar mendakwa Pas diketepikan dalam urustadbir kerajaan negeri.

“Itu adalah tidak benar sama sekali, kerana dari segi strukturnya Pakatan Rakyat ini wujud dari peringkat nasional, Pimpinan Tertinggi sentiasa mengadakan perbincangan dengan garis panduan serta panduan-panduan yang telah ditetapkan agar pemimpin Pakatan Rakyat yang mentadbir negeri dan parti masing-masing di setiap negeri Pakatan Rakyat berjalan dengan baik,”katanya.

Saari melahirkan rasa kesal Umno-BN sentiasa mencari peluang untuk menghakis kepercayaan rakyat. Siri pergeseran pendapat antara pimpinan Pakatan Rakyat dijadikan peluru, namun Saari berkata ini harus dilihat sebagai proses mematangkan gagasan kerajaan alternatif ini.

“Seramai 3 Adun Pas di Selangor menjadi Exco Selangor dan ini merupakan satu penghargaan kepada Pas.Ini juga merupakan satu semangat kesetiaan,kebersamaan yang di tunjukkan kepimpinan Pakatan Rakyat Selangor,”jelasnya.

Mengulas isu yang sama, Adun Taman Haniza Talha tidak menolak serangan ini bermotifkan politik.

Sebelum ini, ketua perwakilan Umno Selangor Abdul Shukor Idrus ke Persidangan Umno ke-60 menggesa kerajaan pusat menyekat peruntukan kepada kerajaan negeri.

Abdul Shukor berkata Umno perlu menghentikan program pro-rakyat khususnya khairat kematian tajaan kerjaaan negeri.

“Saya lihat kenyataan Noh Omar itu seperti orang dah gila talak sebab Selangor telah berada dibawah kerajaan Pakatan Rakyat, sekarang ini dia akan menggunakan apa jua taktik tidak kiralah samada kenyataan rambang beliau atau apa-apa fakta untuk cuba mempengaruhi rakyat,”jelas Haniza.

Sementara itu, Adun Kinrara Teresa Kok yakin akar umbi Pakatan Rakyat lebih matang dan menyedari taktik provokasi Umno-BN.

“Dia hanya mahu mengapi-apikan Pakatan Rakyat, DAP ,PAS dan parti komponen yang lain. Noh Omar bukan dari kerajaan Pakatan ,dia hanya pandai komen sahaja dengan tujuan untuk mengasingkan PAS jauh lagi dari Pakatan Rakyat,”katanya.(ShakiraBuang-TvSelangor)

Kerajaan Negeri Mahu Asri Disiasat Dengan Adil

Isnin, 02 November 2009 | Ruangan: Berita

Shah Alam , 2 November 2009 - Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mahu Jabatan Agama Islam Selangor atau JAIS memberi penjelasan munasabah mengenai isu penahanan bekas Mufti Perlis, Dr Asri Zainul Abidin.

Dalam kenyataan akhbar yang dikeluarkan lewat hari ini, Tan Sri Khalid berkata, langkah ini perlu kerana pelbagai persoalan dan pertikaian timbul berhubung cara penahanan itu dibuat.

Katanya, Kerajaan Negeri telah dimaklumkan bahawa JAIS memiliki kuasa yang bebas dari kekangan kerajaan negeri dalam menguatkuasakan Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor, masih menyiasat kes Dr Asri yang dikatakan mengajar agama tanpa tauliah.

Khalid menggesa Jais supaya memberi penjelasan sewajarnya kepada rakyat Selangor yang terkesan dengan penangkapan Dr Asri.
Pasukan penguatkuasa JAIS dengan bantuan polis malam tadi menahan Dr Asri di sebuah rumah di Taman Sri Ukay, Hulu Klang.

Dr Asri yang dituduh mengajar agama tanpa tauliah ketika itu sedang memberi ceramah kepada lebih 300 hadirin.

Penahanan ini menarik perhatian umum kerana Dr Asri adalah bekas Mufti Perlis.

Sementara itu, dalam satu sidang akhbar petang tadi Pengarah Jais Datuk Mohammed Khusrin Munawi berkata siasatan terhadap Dr Asri akan disegerakan.

Dr Asri Zainul Abidin akan didakwa selepas Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) selesai menjalankan siasatan.

“Kita telah pun menerima banyak aduan tentang kegiatan Dr Asri ini sejak beberapa tahun yang lalu dan kita memang telah beberapa kali cuba mengambil tindakan dan kali ini kami berjaya dan beliau akan didakwa selepas kertas siasatan itu siap,’katanya.

Bekas Mufti Perlis itu akan didakwa bawah Seksyen 119 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor 2003.

Khusrin Munawi menafikan pendakwaan ini bermotifkan politik. Pihaknya bertindak mengikut peruntukkan undang-undang yang telah ditetapkan.

Tambahnya, Jais juga telah bertindak kepada sekurang-kurangnya 10 orang penceramah agama yang menjalankan kuliah di Selangor tanpa tauliah.

“Kepada mana-mana pihak yang ingin membuat ceramah di negeri Selangor ini dinasihatkan agar mengikut peraturan yang telah ditetapkan dan diminta menghormati undang-undang dan titah Duli Yang Maha Mulia Tuanku. Dimana semua pihak tidak terkecuali ,dimana sahaja didalam negeri Selangor ini perlu mendapatkan tauliah dari Jabatan Agama Islam,”jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Bangunan Jais, petang tadi.

Mengulas isu penyebaran ajaran Wahabbi,Datuk Khusrin berkata ia tidak sesuai untuk dijelaskan sekarang, memandangkan siasatan masih dijalankan.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan Berita Harian hari ini yang mendakwa Jais menyiasat bekas mufti Perlis ini kerana menyebarkan ajaran Wahabbi.

Dr Asri mencabar pihak yang membuat tuduhan itu supaya tampil dan mengemukakan bukti.(ShakiraBuang-TvSelangor)