Saturday, July 24, 2010

Pelaburan Asing Junam 81 Peratus

Laporan Pelaburan Dunia 2010 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mendedahkan pelaburan asing (FDI) ke Malaysia bagi tahun 2009 menjunam 81 peratus, ke paras yang paling buruk sejak 15 tahun.

Prestasi Malaysia dianggap memalukan jika dibandingkan dengan ekonomi Thailand dan Indonesia yang tidak mengecut meskipun turut menerima tempias krisis kewangan dunia.

Dari jumlah pelaburan RM23.47 bilion tahun sebelumnya, ekonomi negara dibawah pentadbiran Perdana Menteri Najib Abdul mencatatkan kehilangan RM19.04 bilion FDI kepada RM4.43 bilion tahun lepas.

Bahkan, jumlah tersebut tidak langsung mencecah separuh dari purata jumlah FDI terkumpul dari 1995 hingga 2005, iaitu sebanyak RM13.4 bilion.

Kejatuhan mendadak itu yang dikatakan paling buruk dalam 15 tahun menyaksikan jumlah terkumpul FDI yang mengalir keluar melebihi jumlah pelaburan yang diterima sebanyak RM3.21 bilion.

Bagi tahun 2008, aliran keluar FDI negara mencatatkan angka RM48.06 bilion berbanding aliran masuk RM23.47 bilion. Manakala bagi tahun lalu, angka ini semakin menguncup pada RM25.77 bilion berbanding RM4.43 bilion.

Thailand sekadar kehilangan RM14.24 bilion manakala Indonesia pula hanya berkurangan RM8.32 billion dalam FDI mereka, tahun lalu.

Perdana Menteri Najib gagal memastikan Malaysia tersenarai dalam 10 negara penerima FDI tertinggi di Asia, kerana pelabur mendapati pelaburan di Malaysia tidak menarik.

Apa yang lebih mengejutkan adalah Malaysia terbenam di tangga kelima dari kalangan negara-negara Selatan, Timur dan Asia Tenggara yang mencatatkan aliran keluar FDI tertinggi.

Anwar Tidak Pernah Terdesak Untuk Berbaik Semula Dengan Nallakaruppan

Oleh Dzulkarnain Taib

KUALA LUMPUR 24 Julai - Peguam Manjeet Singh hari ini menafikan sekeras-kerasnya dakwaan yang dianggap karut yang sengaja direka oleh Annuar Shaari, bekas Setiausaha Sulit Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung usaha menjernihkan semula hubungan persahabatan antara ahli perniagaan, Datuk K S Nallakaruppan dan bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

Sambil menyifatkan Annuar seorang pembohong dan tidak tahu fakta sebenar, Manjeet berkata kalaulah ada usaha membawa Nallakaruppan berbaik semula dengan Anwar ini adalah kerana mereka berdua adalah sahabat paling rapat pada satu ketika dahulu.

"Annuar Shaari ini seorang yang karut dan suka mereka-reka cerita tanpa asas. Dia tidak tahu perkara yang sebenar.

"Saya tegaskan di sini bahawa Nallakaruppan berada di dalam Penjara Sungai Buloh pada yang sama Anwar dipenjarakan dan berdepan dengan hukuman gantung sampai mati. Mereka (konspirator) memang serius untuk mengantung Nallakaruppan atas tuduhan yang dilemparkan terhadap beliau sekiranya beliau tidak mahu belot terhadap Anwar.

"Perbuatan inilah yang menghancurkan satu ikatan persahabatan yang begitu rapat dan mesra yang melangkaui kepentingan politik. Setelah beliau bebas daripada hukuman tersebut, Nallakaruppan masih sering datang ke rumah saya dengan isteri dan keluarganya. Apa salahnya kalau saya hendak mengambil langkah supaya beliau berbaik semula dengan Anwar atas dasar menyambungkan kembali persahabatan yang telah terputus disebabkan apa yang telah berlaku ketika Anwar di sumbat ke dalam penjara," jelas Manjeet pada sidang media yang diadakan bagi menjawab dakwaan yang dibuat Annuar terhadap beliau dan dua rakan peguam lain, Americk Sidhu dan Amarjit Singh Sidhu.

Manjeet mempertahankan Anwar dengan berkata Ketua Pembangkang tersebut tidak pernah meminta bantuan beliau atau sesiapa untuk memujuk Nallakaruppan berbaik dengan beliau kembali.

"Anwar bukan seorang yang 'desperate' sehingga terpaksa menggunakan saya untuk memujuk Nallakaruppan. Itu bukannnya sifat Anwar yang saya kenali.

"Saya tidak kenal pun siapa karektor Annuar ini dan dari mana dia datang. Siapa dia yang secara tiba-tiba hendak menimbulkan isu ini? Adakah belliau berbuat begini untuk kepentingan tuan yang berdiri dibelakangnya?," tanya Manjeet.

Manjeet juga menyelar Annuar kerana membuat dakwaan berhubung pembiayaan bekas penyiasat persendirian, P Balasubramaniam semasa beliau berada di London dan Paris.

"Saya bersama Americk dan Amarjit bertindak selaku peguam Bala kerana kami mahukan keadilan dalam kes pembunuhan Altantuya. Mungkin orang seperti Annuar tidak faham bahawa afa segelintir rakyat negara ini yang sanggup ketepikan soal wang ringgit kerana berjuang di atas dasar prinsip bukannya habuan.

"Saya sudah berbuat begini (memberi khidmat guaman tanpa bayaran) selama 40 tahun. Selama 11 tahun saya menjadi peguam kepada Munawar Anees dan turun naik daripada satu mahkamah ke satu mahkamah. Satu sen pun saya tidak pernah caj Munawar malah duit saya sendiri yang banyak dihabiskan," jelasnya.

Beliau berkata sekiranya ada pihak yang ingin membantu Bala dalam perjuangan ini adalah usaha yang patut digalakkan.

"Kalaulah betul Anwar membantu Bala, apa salahnya sekiranya Anwar juga ingin melihat keadilan ditegakkan dalam kees pembunuhan Altantuya. Adalah itu satu kesalahan, malah orang seperti Annuar juga sepatutny membantu Bala supaya semua pihak yang terlibat dengan kes Altantuya di bawa ke muka pengadilan dan hukuman setimpal dijatuhkan kepada pihak yang bersalah," tegas peguam terkenal itu lagi.

Manjeet mencabar Annuar supaya berani berdepannya dengan beliau bersama Americk dan Amarjit.

"Saya cabar dia datang hari ini tapi dia tidak datang. Saya nak dia cakap didepan saya dan dua rakan saya apa yang dia dakwa dalam sidang media yang dia buat. Saya cabar dia bawa bukti untuk sokong dakwaan beliau.

"Tapi saya percaya dalam tangan dia tidak ada apa-apa bukti seperti juga di dalam kepalanya," sindir Manjeet.

Sunday, July 18, 2010

Hishamudin terkejut hal seragam PDRM..


Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dikatakan amat terkejut dengan laporan akhbar hari ini bahawa pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak mempunyai hak eksklusif bagi warna dan reka bentuk pakaian seragam mereka.

Hishamuddin yang mendakwa bahawa pasukan polis wajar mempunyai pakaian seragam tersendirinya untuk membolehkan orang ramai dapat membezakan mereka dari agensi-agensi kerajaan dan pasukan keselamatan swasta yang lain.

Beliau menggesa supaya pakaian seragam PDRM perlulah digazetkan sejak ia diperkenalkan.

Akhbar The Star hari ini telah melaporkan kenyataan oleh Timbalan Pengarah Pengurusan (Latihan) Bukit Aman, Datuk Mortadza Nazarene yang mendakwa bahawa polis tidak mempunyai hak eksklusif bagi pakaian seragam birunya.

Mortadza berkata bahawa pihak polis mahu mewartakan warna dan reka bentuk pakaian seragam mereka bagi mengelakkan kekeliruan di kalangan orang ramai.

Malah bagi Hishamuddin yang berkata lagi, “Walaupun polis tetap boleh menjalankan tanggungjawab mereka tanpa mengira warna pakaian seragam, namun orang awam juga mestilah boleh membezakan antara polis ataupun bukan.”

Jelas beliau, ada sesetengah kes yang berlaku dimana pengawal keselamatan mempunyai pakaian seragam yang hampir sama dengan polis terutamanya polis trafik.

Bagaimanapun menurut Menteri Dalam Negeri itu juga, beliau tidak akan membuat keputusan segera mengenai perkara itu dan akan arahkan siasatan mengenai agensi-agensi lain berkemungkinan telah menempah pakaian seragam mereka.

Hishamuddin juga mengarahkan pihak PDRM juga meneliti kos berkaitan, mengkaji kesilapan di pihak mereka dan mencadangkan penyelesaian kepada masalah ini.-KLToday.com

http://www.kl-today.com