Wednesday, September 16, 2009

NIK NAZMI: 16 SEPT....!!!


MENYAMBUT HARI MALAYSIA...!!!
Sept 16 — Perhimpunan Khas Sambutan Hari Malaysia di Dewan Jubli Perak Selangor baru sahaja selesai.

Sebagai anggota jawatankuasa penganjur program tersebut, saya gembira program tersebut yang dihadiri wakil rakyat, pegawai kerajaan dan ahli majlis daripada segenap pelusuk Selangor berlangsung dengan baik.

YAB Tan Sri Dato’ Abdul Khalid Ibrahim, Menteri Besar Selangor; YB Tuan Teng Chang Khim, Speaker Dewan Negeri Selangor dan YB Dr. Dzulkefli Ahmad, Ahli Parlimen Kuala Selangor berucap berserta dengan ucapan daripada tetamu khas Datuk Dr. Jeffrey Kitingan (Sabah) dan Baru Bian (Sarawak).

Saya sempat mengemaskini status Twitter saya (yang dihubungkan dengan Facebook saya), menghargai rakan-rakan di Twitter dan Facebook yang memberi cadangan menyanyikan lagu Malaysia Berjaya pada majlis tersebut.

Seperti biasa timbullah perbahasan bersemangat di Facebook saya. Ada yang pelik apa signifikan 16 September? Ada yang cuma teringatkan agenda 16 September Datuk Seri Anwar Ibrahim. Ada pula yang mengatakan seolah-olah perjuangan kemerdekaan Tanah Melayu diperkecilkan.

Ya, Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957. Itu fakta sejarah. Saya sendiri menerimanya, malah apabila ada yang mahukan Hari Kemerdekaan disambut pada 16 September saya tidak bersetuju, kerana hakikatnya Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu adalah pada 31 Ogos 1957.

Tetapi Persekutuan Malaysia yang terdiri daripada Tanah Melayu, Singapura (hingga 1965), Sabah dan Sarawak terbentuk pada 16 September 1963. Itu juga fakta. Sabah dan Sarawak masih lagi terjajah hingga tarikh tersebut.

Apakah salahnya kita merayakan kedua-dua tarikh tersebut yang penting dalam lipatan sejarah negara? Mengapa perlu kita takut memberikan penekanan terhadap 16 September 1963?

Malah, sebenarnya bulan kemerdekaan secara dasarnya dirayakan daripada 17 Ogos hinggalah 16 September. Tetapi 16 September sering dipinggirkan. Semalam akhbar Malay Mail menjalankan tinjauan dan ramai rakyat Malaysia di Semenanjung yang tidak sedar signifikan tarikh besar dalam pembentukan negara bangsa kita ini.

Rasa kecil hati masyarakat Sabah dan Sarawak juga berputik daripada perkara-perkara lain, termasuk penghakisan prinsip Federalisme yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan kita dan merupakan jaminan bapa-bapa kemerdekaan kita kepada masyarakat mereka dalam menarik mereka turut serta membentuk Malaysia dahulu. Malah, kini Federalisme turut terhakis di negeri-negeri di Semenanjung yang memilih pembaharuan.

Berikutan gelombang perubahan politik 8 Mac 2008, BN kalah dari segi undi popular di Semenanjung Malaysia. Dari segi kerusi Parlimen, BN menang tipis lima kerusi (kini empat kerusi). Kemenangan BN datang daripada Sabah dan Sarawak sehingga dianggap menjadi simpanan kekal BN.

Justeru, wajarkah kita mempertikaikan mengapa masyarakat Sabah dan Sarawak sensitif dalam hal ini? Sudah lama mereka merasakan negeri-negeri mereka yang kaya dengan hasil mahsul dan khazanah namun terus berhadapan dengan jurang kekayaan dan masalah pembangunan seperti negara-negara di Afrika. Kita menjerit-jerit tentang hak Bumiputera, tetapi masyarakat Bumiputera di Sabah dan Sarawak merasakan diri mereka terpinggir.

Sewajarnya, semua warganegara kita tidak patut merasakan diri mereka tertinggal mahupun terasing. Bukan itu yang diperjuangkan bapa-bapa kemerdekaan kita.

Ini juga bukan satu tindakan bagi menidakkan kemerdekaan kita pada 1957 dan pejuang-pejuangnya. Bagi penyokong UMNO yang begitu sensitif dengan tarikh 1957, mereka juga harus menginsafi bagaimana ketika AMCJA-PUTERA dipimpin Parti Kebangsaan Melayu Malaya sudah melaungkan slogan Merdeka pada 1946, UMNO memperlekehkan mereka. UMNO cuma berani melaungkan ‘Hidup Melayu!’. Hanya kemudian UMNO mengubah laungan mereka kepada Merdeka dan berani memikirkan idea Merdeka.

Kalau nak diikutkan sejarah, banyak pewaris AMCJA-PUTERA termasuk PAS dan Parti Rakyat Malaysia (parti yang bergabung dengan Parti Keadilan Nasional bagi membentuk Parti Keadilan Rakyat) turut kritis terhadap pembentukan Malaysia.

Namun hakikatnya, Malaysia sudah pun wujud hari ini. Semua menerimanya. Dalam keadaan 1Malaysia menjadi istilah paling bergaya hari ini, jangan kita lupakan saudara-saudara seMalaysia kita di Sabah dan Sarawak.

No comments: