Sunday, June 13, 2010

Najib Tertekan Disanggah Vincent Tan

Oleh Faizal Ezzany

SHAH ALAM 13 Jun - Ahli Parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusoff berkata percanggahan kenyataan yang dikeluarkan oleh Perdana Menteri dan tokoh korporat terkenal, Tan Sri Vincent Tan berhubung kelulusan lesen judi bola sepak oleh Kementerian Kewangan kepada syarikat judi Ascot Sports Sdn Bhd menjurus kepada urus tadbir negara yang kini berada tahap yang membimbangkan.

Ini kerana menurut beliau jika individu seperti Tan boleh menyanggah keputusan kerajaan mengenai isu lesen judi tersebut dan membayangkan seolah-olah pihak kerajaan tidak berkata benar, tindakan segera perlu diambil untuk memperbaiki keadaan.

"Urus tadbir negara merupakan satu urusan yang dikawal selia oleh undang-undang, apabila terdapat penguasa yang dengan yakinnya menyatakan pendirian mereka itu lebih betul dari kerajaan maka perkara ini perlu diambil tindakan segera.

"Kerajaan perlu membuat penyelarasan terhadap kenyataan tersebut, kita jangan ingat kenyataan yang dikeluarkan oleh Najib itu sah, kerana kenyataan yang dikeluarkan oleh Berjaya itu juga perlu diambil kira," kata Yusmadi ketika dihubungi Suara Keadilan.

Kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebelum ini menyatakan kelulusan belum diberikan Ascot Sports bagi mengendalikan judi sukan bola sepak sempena musim Piala Dunia yang sedang berlangsung sekarang.

Bagaimanapun Berjaya Corporation Berhad dalam kenyataannya kepada Bursa Malaysia semalam memberitahu syarikat tersebut mempunyai pengesahan rasmi daripada Kementerian Kewangan yang mengatakan lesen tersebut telah diluluskan kepada syarikat terbabit.

"Kami menegaskan bahawa Menteri Kewangan telah memberi kelulusan untuk memulihkan semua pemberian lesen perjuduan sukan kepada Ascot dan tertakluk kepada syarat tertentu, jelas Ascot mempunyai kelulusan daripada Menteri Kewangan," jelas kenyataan itu.

Yusmadi berkata percanggahan ini perlu diperbetulkan kerana situasi ini boleh menjejaskan keyakinan pelabur rakyat terhadap ketelusan pentadbiran Kementerian Kewangan yang dipertanggungjawabkan mengendali dasar dan pengurusan kewangan negara.

"Kalau betul kerajaan belum lagi meluluskan lesen tersebut, tindakan boleh diambil terhadap Ascot Sports ataupun Berjaya atas kenyataan mereka mendakwa kelulusan telah diberikan. Jika kenyataan Najib hanya ingin mengelak daripada rakyat terus bangkit membuat bantahan, Menteri Kewangan harus meletak jawatan kerana telah mengelirukan rakyat dengan kenyataan yang bercanggah serta menyembunyikan fakta," kata beliau lagi.

Beliau berharap satu siasatan terperinci dilakukan terhadap kedua-dua kenyataan tersebut kerana ini adalah satu perkara yang serius yang melibat undang-undang pentadbiran.

"Kenyataan yang dikeluarkan oleh Najib mahupun Berjaya perlu disiasat secara serius dan jangan ingat dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Najib boleh menutup semua persoalan, kenyataan Berjaya juga perlu diambil perhatian kenapa ia bertentangan dengan apa yang diperkatakan oleh Najib.

"Kita tidak mahu kerana berlakunya pertelagahan ini boleh mempermudahkan lagi unsur-unsur rasuah dalam sistem pentadbiran kerajaan dalam membuat sesuatu kelulusan. Kita lihat pengumuman yang dibuat oleh Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin adalah kenyataan rasmi yang jelas menunjukkan kelulusan lesen tersebut.

"Pandangan Berjaya juga sangat serius kerana seorang penguasa juga mempunyai tanggungjawab untuk menyatakan kebenaran, sekiranya Vincent Tan mengeluarkan kenyataan yang tidak benar dan dari sudut undang-undang beliau boleh diambil tindakan, kerajaan perlu bertindak jangan berdiam diri," jelas Yusmadi lagi.

Yusmadi juga memberitahu tindakan membatalkan sidang media Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom secara mengejut semalam jelas menunjukkan ia adalah atas arahan Najib.

Ini kerana keadaan sudah menjadi kritil bagi Najib yang kini tertekan dan tidak mahu percanggahan maklumat diberikan oleh Jamil Khir memburukkan isu berhubung lesen judi itu.

No comments: