Wednesday, December 1, 2010

UCAPAN MB SELANGOR YG MENGGERUNKAN UMNO...!

Ucapan Alu-Aluan

YAB TAN SRI DATO’ SERI ABDUL KHALID BIN IBRAHIM

DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR

Pada

MAJLIS PERASMIAN WACANA

‘KEDAULATAN RAJA-RAJA :

INSTITUSI YANG MESTI DIPERTAHANKAN”

Tarikh

29 NOVEMBER 2010 (ISNIN)

23 ZULHIJAH 1431

Tempat

DEWAN JUBLI PERAK

BANGUNAN SSAAS SHAH ALAM

Masa

10 PAGI

Bismillahirrahmanirrahim,

Segala puji bagi Allah yang menciptakan langit dan bumi. Selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad Sallallahualaihiwassalam, keluarga dan para sahabat baginda.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, Salam sejahtera dan Salam mesra.

Menghadap Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor : Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj.

Ampun Tuanku beribu-ribu ampun,

Sembah patik pacal tua, mohon diampun.

o Terlebih dahulu dipanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah Subhanahuwataala kerana dengan izin-Nya Tuanku dapat mencemar duli hadir ke Majlis Wacana Undang-Undang pada pagi yang berbahagia ini.

o Bagi pihak Urus Setia Wacana dan Sidang hadirin, patik mengalu-alukan keberangkatan Duli Tuanku ke Dewan ini. Sesungguhnya, kehadiran Tuanku ke majlis ini memberikan makna dan dorongan yang tinggi terhadap kefahaman dan kepedulian rakyat terhadap institusi Raja Berperlembagaan di negeri Selangor khususnya.

Ampun Tuanku,

Menurut seloka,

Raja Mahkota Negeri berbunyi,

Pantang Melayu mengundur pasti,

Raja Melayu Mahkota Negeri,

Agama Islam tiang seri,

Tunggak Negeri Agama resmi,

Melayu itu pusakaku,

Tanah bertuah bumiku,

Dari dahulu penuh berliku,

Dirgahayu Tuanku Raja Melayu.

o Patik dengan penuh hormat dan takzimnya, merafak sembah memohon perkenan Duli Yang Maha Mulia Tuanku untuk menyampaikan sepatah dua kata kepada para hadirin.

Ampun Tuanku.

Yang Amat Mulia Tengku-Tengku;

Yang Berhormat Ahli-Ahli Dewan Diraja;

Yang Berhormat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor;

Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor;

Yang Arif Para Pengamal Undang-Undang;

Yang Dihormati Orang-Orang Besar Daerah;

Yang Berbahagia Dato’-Dato’, Datin Paduka - Datin Paduka; Ketua - Ketua Jabatan, Pemimpin - Pemimpin Belia dan Masyarakat, Rakan-Rakan daripada Media Massa, Tuan - Tuan dan Puan - Puan yang Budiman.

(1) Insya-Allah, sebentar lagi disempurnakan Majlis Wacana Kedaulatan Raja-Raja oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan. Patik merakamkan ucapan terima kasih dan tahniah kepada semua yang menghadiri Wacana ini. Mudah-mudahan perbahasan secara intelektual dapat dilakukan terutama setelah pembentangan kertas kerja oleh mereka yang arif di dalam bidang ini agar mampu menambahbaik pemahaman dan penghayatan kita terhadap sistem Raja Berperlembagaan hatta sistem Demokrasi Berparlimen sesuai dengan peredaran zaman, khususnya di Selangor Darul Ehsan.

Ampuan Tuanku;

Dif-Dif, Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang Berbahagia;

(2) Untuk menjadi sebuah masyarakat yang bertamadun kita tidak boleh lari dari menyingkap sejarah. Justeru izinkan patik memulakan kata-kata dengan memberi asal-usul penggubalan Rukun Negara. Rukun Negara adalah ideologi Negara Malaysia yang digubal ekoran peristiwa rusuhan kaum pada 13 Mei 1969, dan diisytiharkan penggunaannya ke seluruh negara sempena sambutan kemerdekaan pada 31 Ogos 1970. Matlamat utamanya untuk mengukuhkan perpaduan, memelihara corak hidup demokratik, mencipta masyarakat yang adil, menjamin sikap liberal terhadap tradisi kebudayaan yang pelbagai dan membina masyarakat progresif yang menggunakan sains dan teknologi. Diharapkan Rukun Negara berjaya memanifestasi kecintaan kepada negara sekaligus memupuk semangat perpaduan antara kaum di Malaysia.

(3) Lima prinsip utama Rukun Negara, iaitu ; Kepercayaan Kepada Tuhan, Kesetiaan Kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan Undang-Undang, Kesopanan dan Kesusilaan. Bagi tujuan wacana ini, saya cuba memperkatakan secara ringkas prinsip kedua dan ketiga yakni, Kesetiaan Kepada Raja dan Negara serta Keluhuran Perlembagaan. Semoga dengan cara ini, kita sama-sama dapat beringat, menghayati, mengamalkan serta mempraktikkan dan seterusnya menerangkan dan mengajak seluruh rakyat bersama-sama mendukung prinsip Raja Berperlembagaan tersebut.

Ampun Tuanku;

Para Hadirin yang Dihormati;

(4) Persekutuan Tanah Melayu merdeka dengan rasminya pada 31 Ogos 1957. Lima tahun kemudian, Malaysia ditubuhkan pada 16 September 1963 yang menggabung Persekutuan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak, dan Singapura, tetapi Singapura meninggalkan Persekutuan Malaysia pada 1965.

(5) Malaysia hari ini mengamalkan sistem demokrasi berparlimen dan sistem Raja Berperlembagaan. Dari pada sudut Raja Berperlembagaan, Perlembagaan memperuntukkan institusi Yang DiPertuan Agong, Raja-Raja Melayu di sembilan negeri dan Majlis Raja-Raja.

(6) Bagi maksud perbincangan di dalam wacana ini patik mencadangkan beberapa perkara di dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia diambil perhatian khusus. Menurut Perkara 181 (1) Perlembagaan Malaysia, kedaulatan Raja-Raja Melayu adalah dijamin, iaitu : “Tertakluk kepada peruntukan-peruntukan Perlembagaan ini kedaulatan, hak kedaulatan, kuasa dan bidang kuasa Raja-Raja dan hak kedaulatan, kuasa dan bidang kuasa pembesar-pembesar pemerintah Negeri Sembilan dalam wilayah mereka masing-masing sebagaimana yang telah ada dan dinikmati hingga sekarang adalah tetap tidak tersentuh.

(7) Raja-raja diberi kuasa untuk melantik Menteri Besar, memelihara adat istiadat orang Melayu dan pentadbiran agama Islam di negeri masing-masing. Raja-raja juga adalah Ketua Negeri masing-masing dan melaksanakan tugas mengikut nasihat Menteri Besar atau Ketua Menteri. Ia juga bermakna, setiap negeri mempunyai Perlembagaannya sendiri yang digubal dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan. Contohnya, di Negeri Selangor ia dikenali Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor yang berkuatkuasa 01 April 1959.

(8) Tegasnya, raja adalah lambang kesatuan dan penyatuan rakyat serta pelindung hak istimewa kaum peribumi. Menderhaka kepada raja bermaksud menderhaka kepada negara. Setiap rakyat sesebuah negara itu wajib setia kepada negara sekiranya mereka mengakui diri mereka adalah rakyat negara tersebut.

(9) Manakala berhubung dengan intipati sistem demokrasi yang mengutamakan orang ramai memilih pemerintah untuk mentadbir urusan mereka, Dr. Yusuf Al-Qardhawi (1997), iaitu seorang pemikir dan ulama tersohor perpandangan prinsip demokrasi tidak bertentangan dengan ajaran Islam kerana dalam Islam, adalah dilarang seseorang yang dibenci dan tidak disukai dalam masyarakat menjadi imam sembahyang. Justeru itu, pegangan ini bersamaan dalam prinsip demokrasi apabila rakyat sendiri dengan undi majoriti memilih pemimpin yang mereka sukai.

(10) Dalam satu hadis sahih Rasullullah, riwayat Muslim daripada ‘Auf bin Malik, baginda bersabda, yang bermaksud : “Sebaik-baik pemimpin kamu adalah mereka yang kamu menyayanginya dan dia menyayangimu, kamu berdoa untuknya dan dia berdoa untukmu. Sejahat-jahat pemimpin pula adalah siapa yang kamu membencinya dan dia membencimu, kamu melaknatinya dan dia melaknatimu.”

Ampun Tuanku;

Para Hadirin yang Dihormati;

(11) Sebagaimana yang patik ungkap diawal bicara tadi bahawa bagi mengwujudkan sebuah Negara yang bertamadun serta masyarakat yang bersatu padu, kita perlu menyingkap sejarah. Dalam konteks wacana ini walau mungkin kelihatan agak sensitif, namun patik merasakan perlu untuk kita memulainya dengan dua persoalan utama. Pertama, mengapakah berlaku krisis Perlembagaan seawal 1983 dan diikuti pula pada tahun 1992 dan 1993? Dan yang kedua, mengapakah kini rakyat kembali berusaha untuk mempertahankan institusi raja-raja Melayu yang terkesan dari peristiwa 1983, 1992 dan 1993 tersebut.

(12) Secara ringkas patik menyatakan Krisis Perlembagaan 1983 berlaku akibat daripada tindakan para pemimpin negara ketika itu, melakukan beberapa tindakan diluar Peruntukan Perlembagaan, dalam lain perkataan membelakangi Raja-Raja. Menurut Perkara 38(4) Perlembagaan Persekutuan : “tiada apa-apa undang-undang yang menyentuh secara langsung keistimewaan, kedudukan, kemuliaan atau kebesaran raja-raja boleh diluluskan dengan ketiadaan persetujuan Majlis Raja-Raja”.

(13) Walaubagaimanapun, para pemimpin utama ketika itu telah melakukan beberapa tindakan secara rahsia dengan membawa pindaan itu ke Kabinet dan kemudiannya ke Parlimen tanpa terlebih dahulu mendapat perkenan Majlis Raja-Raja. Antara pindaan yang berjaya di lakukan ialah Perkara 66(5). Peruntukan asal berbunyi “Rang undang-undang akan dikuatkuasakan apabila yang DiPertuan Agung menandatangani”. Manakala peruntukan pindaan ialah “Rang undang-undang akan dikuatkuasakan sebagai Undang-undang apabila ditandatangani oleh Yang DiPertuan Agung. Jika di atas apa-apa sebab Rang Undang-undang itu tidak ditandatangani di dalam tempoh 15 hari selepas Rang Undang-undang itu disembahkan kepada Yang DiPertuan Agung, baginda dianggap telah menandatangani Rang Undang-undang tersebut dan Rang Undang-undang itu, berkuatkuasa sebagai Undang-undang”. Contoh kedua, pindaan ialah pada Perkara 10(1), dimana kalau Perdana Menteri mendapati darurat patut diisytiharkan di mana-mana juga di Negara ini maka Perdana Menteri boleh menasihatkan Yang DiPertuan Agung dan Yang DiPertuan Agung mesti menerima nasihat tersebut. Ampuan Tuanku, di sinilah bermulanya penghakisan secara terancang terhadap kuasa Raja-Raja di Negara ini.

(14) Krisis Perlembagaan sekali lagi timbul pada tahun 1993. Persoalan ketika itu, ialah samada perlu atau tidak mengekalkan kedaulatan Raja-Raja Melayu apabila tercetusnya peristiwa seorang rakyat menerima tindakan murka seorang sultan pada hujung tahun 1992. Pada ketika itu, suasana dalam negara begitu hingar bingar dan gundah gulana apabila sekali lagi Perintah Negara mengusik institusi Raja-Raja Melayu dengan mencadangkan pindaan kepada Perkara 38(4) Perlembagaan Persekutuan yakni yang menyentuh soal kekebalan atau imuniti Raja-Raja Melayu dengan maksud menghapuskannya.

(15) Bagi mencapai matlamat tersebut seluruh jentera Kerajaan termasuk media massa telah dimanipulasi secukupnya, dengan izin patik katakan “secara biadap” memaparkan cerita-cerita yang memburukkan peribadi Raja-Raja Melayu, diulang siar dan tokok tambah bagi mewujudkan sentimen dan emosi benci rakyat terhadap institusi Raja-Raja Melayu. Pemerintah ketika itu, mengggunakan kuasa rakyat terutama orang Melayu, supaya bersama-sama mendesak malah “memaksa” Raja-Raja Melayu supaya segera menerima pindaan Perlembagaan yang menghapuskan beberapa keistimewaaan Raja-Raja Melayu yang sudah diwarisi sejak ratusan tahun… Malah sampai kesatu tahap dimana seorang pemimpin politik tergamak mengadakan majlis pertabalan “Sultan ” di Kelantan.

(16) Proses adu domba disertai secara khusus pemimpin utama negara pada ketika itu. Berita Harian 19 Januari 1993 melaporkan bahawa : Menurut Perdana Menteri ketika itu, Dr Mahathir bin Mohamad insiden raja menganiaya rakyat menyalahi undang-undang sivil adalah satu jenayah, menyalahgunakan wang, harta kerajaan dan negara serta menekan dan menganiaya pegawai-pegawai. Beliau berkata apa yang tidak pernah dibuat di zaman British dan pada tahun-tahun awal Malaysia merdeka dilakukan dengan semakin ketara dan meluas…

Ampun Tuanku,

Para Hadirin Yang Berbahagia;

(17) Negeri Selangor sesungguhnya amat bertuah mempunyai Sultan yang berilmu tinggi dan bersikap terbuka. Justeru itu, patik difahamkan wacana ini adalah atas ilham Tuanku sendiri sebagai salah satu siri program khas untuk pegawai negeri. Patik suka mencadangkan kepada para hadirin supaya membaca akhbar-akhbar tanah air terbitan akhir tahun 1992 sehingga Mac 1993 mengenai rentetan peristiwa pertelingkahan antara pemimpin kerajaan Persekutuan, rakyat dan istana yang akhirnya menghapuskan kekebalan atau imuniti Raja-Raja Melayu agar dapat benar-benar memahami intipati utama di dalam menjayakan wacana DiRaja ini.

(18) Patik yakin ramai di antara kita masih segar ingatan terhadap krisis-krisis Perlembagaan yang patik ungkapkan diawal tadi. Penilaian harus juga ditekankan kepada mengetahui siapakah pihak-pihak yang pada ketika itu beriya-iya benar mahukan supaya kekebalan Raja-Raja Melayu dihapuskan dan malah banyak pemimpin pihak tertentu itu seolah-olah mahu Raja-Raja Melayu dinyahkan daripada tahta dan dan Istana DiRaja.

(19) Misalnya, Berita Harian, 19/1/1993 menyiarkan berita seorang Ahli Parlimen dari Perak yang mengingatkan raja-raja supaya mengambil kira suara rakyat jika tidak raja-raja tidak dapat kekal lama “malah tahta mereka mungkin akan beralih ke muzium…”

(20) Tidak kurang juga, ada Menteri Besar dewasa itu yang mendesak supaya para ulama dan ilmuan Islam menasihati raja-raja Melayu mengenai perlunya pindaan Perlembagaan Persekutuan untuk memansuhkan kekebalan Raja-raja. Seorang Ahli Parlimen dari Pahang turut memberi tempoh 30 hari kepada Raja-Raja bagi memikirkan semula pendirian mereka berhubung pindaan tersebut.

(21) Pergerakan Pemuda ketika itu, tidak ketinggalan memain peranan dengan mendesak Kerajaan Persekutuan berpendirian tegas dan tidak berganjak daripada sebarang pindaan, terutamanya prinsip kekebalan Raja-Raja, supaya matlamatnya dapat dicapai..” .

(22) Malahan, pada ketika itu kakitangan dan pegawai kerajaan termasuk Datuk Bandar tidak lagi boleh berurusan dengan istana negara kecuali dengan kebenaran Perdana Menteri. Para pegawai juga dibenarkan untuk menolak undangan ke istana bagi menghadiri majlis bersama Raja-Raja Melayu.

Ampun Tuanku,

(23) Terpaksa patik nyatakan serba sedikit peristiwa yang patik kira telah memberi luka yang dalam kepada institusi Raja-Raja pada ketika itu. Luka yang dalam mungkin telah sembuh, barangpasti parutnya tetap ada. Patik yakin dengan mengambil kata-kata keramat dari Seniman Agung Allahyarham P. Ramlee, “sedangkan Nabi mengampunkan umat” maka keterlanjuran rakyat jelata turut sama dimaafi, apatah lagi memang sebenarnya Raja-Raja Melayu adalah Raja-Raja yang berdaulat.

(24) Namun, karenah manusia itu boleh berubah, menurut zaman dan kepentingan. Tiba-tiba, sejak awal tahun 2009, setelah 17 tahun berlalu, kini pihak yang berusaha dan berjaya “menghapuskan kekebalan dan beberapa hak istimewa Raja-Raja Melayu”, kembali bermuka-muka dengan seruan supaya orang Melayu menghormati Raja dan Sultan serta mempertahankan kedaulatan Raja-Raja Melayu sebagaimana termaktub dalam prinsip kedua Rukun Negara.

(25) Syukur Alhamdulillah, mungkin akhirnya mereka sedar akan keterlanjuran. Namun, patik tidak dapat mengelakkan diri dari teringat peranan ‘si kitul’ didalam sejarah Melayu lama. Adakah “si kitul” moden ini akan kembali memperalatkan raja atau sultan demi kepentingan politik mereka?

Banyak Raja perkara Raja,

Pertama Raja disembah,

Yang adil berkitabullah,

Yang memberi tahu benar salah,

Yang berpintu selalu terbuka.

Ampun Tuanku;

Para Hadirin yang Berbahagia;

(26) Akhirulkalam, patik dan sekalian rakyat jelata memohon ke hadrat Allah Subhanahuwataala semoga Duli Yang Maha Mulia Tuanku diberi kesihatan yang sempurna, diperlihara keselamatan dan kesejahteraan yang berpanjangan.

(27) Doa juga dipanjatkan ke hadrat Allah Subhanahuwataala untuk Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, Yang Maha Mulia Paduka Bonda, dan seterusnya kepada puteri-puteri Baginda As-Sultan, adinda-adinda, waris-waris serta kerabat Diraja sekalian semoga berada dalam keadaan kesejahteraan, dikurnia taufik dan hidayah serta sentiasa dalam perlindungan Allah Subhanuwaataala supaya dapat terus memimpin Selangor Darul Ehsan dengan segala kemuliaan jua.

Itulah ucap kata patik,

Itulah isi hati hamba tua,

Tak bermanis mulut di bibir,

Tak bermuka-muka dua,

Tak berbasa-basa basi,

Putih di dalam putih di luar,

Pepat di dalam pepat di luar,

Putih dapat diselami,

Pepat dapat diduduki.

Sambutlah sembah salam patik,

Sembah nan minta ampun,

Salam nan minta maaf.

(28) Izinkan patik menyusun sepuluh jari di atas keterbukaan bicara patik di dalam wacana di Raja ini kerana sesungguhnya patik percaya keikhlasan dan kesediaan Tuanku membicarakan isu ini dengan secara konstraktif. Wabillahitaufik walhidayah. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Daulat Tuanku!

No comments: