Sunday, February 20, 2011

Pertumbuhan Ekonomi 2010: Malaysia Terus Terkebelakang Berbanding Jiran

Pertumbuhan ekonomi sebanyak 7.2% yang dicatatkan negara pada tahun 2010 perlu dikaji dengan lebih dekat untuk memahami keseluruhan implikasinya.

Angka 7.2% perlu dibandingkan dengan pencapaian jiran-jiran kita dan bukannya dinilai secara bersendirian. Singapura dan Indonesia contohnya masing-masing berjaya mencatatkan pertumbuhan 14.5% dan 6.1% dalam tahun 2010. Kedua-dua jiran kita ini mengatasi pertumbuhan Malaysia; apatah lagi apabila pertumbuhan Indonesia adalah berdasarkan angka pertumbuhan asas yang lebih tinggi kerana Indonesia tidak mengalami penguncupan ekonomi dalam tahun 2009 seperti mana Malaysia dan Singapura.

Pertumbuhan 14.5% yang dicatatkan Singapura disokong oleh pertumbuhan kukuh dalam sektor perkilangan pada kadar 29.7% pertumbuhan tahunan. Jika dibandingkan dengan Singapura, pencapaian kita malap dalam kedua-dua aspek – pertumbuhan ekonomi hanyalah separuh dari yang dicapai Singapura, sementara pertumbuhan sektor perkilangan pada kadar 11.4% hanyalah setakat satu pertiga pencapaian Singapura.

Penjelasan kedua-dua kerajaan dalam menerangkan perbezaan pertumbuhan sektor perkilangan ini adalah amat berbeza. Singapura menyatakan bahawa permintaan yang kukuh dari pasaran dunia memesatkan pertumbuhan sektor perkilangannya, sementara Malaysia pula menyalahkan pasaran dunia sebagai akibat kelembapan sektor perkilangannya – padahal kedua-dua negara sama-sama bergantung kepada barangan eksport dan pasaran dunia. Hakikatnya, barangan yang dikilang di Malaysia semakin hilang daya saingnya di pasaran dunia kerana kita tersekat di tangga nilai yang bawah dan terpaksa bersaing dengan negara-negara yang struktur kosnya lebih murah; sedangkan pesaing seperti Singapura terus menghasilkan barangan bernilai tinggi. Amaran mengenai masalah ini telah diberikan sejak sedekad yang lalu, namun tidak ada satu langkah yang berkesan yang diambil kerajaan selain dari retorik politik yang dibayar oleh rakyat.

Pertumbuhan sektor perkilangan yang lebih rendah berbanding jiran diburukkan lagi dengan penguncupan dua sektor penyumbang utama di dalam suku keempat 2010. Sektor perlombongan dan pertanian adalah penyumbang utama kepada pendapatan Kerajaan Persekutuan melalui hasil minyak dan gas serta kelapa sawit. Kedua-dua sektor ini mencatatkan penguncupan dalam suku keempat pada kadar 1.3% (perlombongan) dan 4.3% (pertanian). Akibatnya, pertumbuhan tahunan yang sangat rendah pada kadar 0.2% (perlombongan) dan 1.7% (pertanian) adalah satu lagi petanda bahawa ekonomi kita semakin malap.

Pandangan ini diperkuatkan lagi oleh angka-angka beberapa indeks yang digunakan untuk menilai sentimen masyarakat niagawan dan orang ramai mengenai hala tuju ekonomi negara. Indeks Suasana Perniagaan yang diterbitkan oleh Institut Kajian Ekonomi Malaysia (MIER) hilang 5.4 mata dalam suku keempat 2010 untuk jatuh ke paras bawah 100 mata buat kali pertama dalam tempoh dua tahun. Malah, keyakinan masyarakat niagawan ke atas prospek ekonomi seperti yang dilambangkan oleh indeks ini menunjukkan penurunan sejak awal 2010 lagi. Bagi sentimen keyakinan orang ramai pula, walaupun Indeks Sentimen Pengguna menokok ke paras 117.2 mata dalam suku keempat, paras itu masih belum setanding dengan paras keyakinan tahun 2007 sebelum kerajaan menaikkan harga minyak secara mendadak dalam tahun 2008.

YAB Dato’ Seri Najib Tun Razak sepatutnya lebih ikhlas dan mengakui bahawa ada jurang yang besar di antara pengumuman projek-projek mega yang dibuat dibawah ETP dan realiti ekonomi yang ditanggung masyarakat niagawan dan orang ramai. Ramai di kalangan rakyat Malaysia yang masih ragu-ragu bahawa siri pengumuman projek itu hanyalah wayang yang akhirnya akan menguntungkan golongan pemerintah dan niagawan elit tanpa menyelesaikan masalah pokok dan struktur ekonomi negara.

Pengurusan fiskal dan kewangan negara juga menunjukkan perbezaan yang besar di antara Malaysia dan jiran kita, terutamanya Indonesia.

Tidak seperti Malaysia, Indonesia berjaya mengelak dari kemelesetan ekonomi tahun 2009 dan terus mencatatkan pertumbuhan kukuh sebanyak 6.1% dalam tahun 2010, menjadikannya salah sebuah ekonomi paling mampan di antara 20 negara terkaya di dunia. Laporan United Nations Global Investment Trend Monitor (diterbitkan oleh UNCTAD pada 17 Januari 2011) mencatatkan aliran masuk pelaburan asing (FDI) sebanyak USD12.8 bilion bagi tahun 2010; yang kedua tertinggi di rantau ini selepas Singapura. Pelaburan baru menyumbang sebanyak 32.2% kepada ekonomi Indonesia sementara perbelanjaan kerajaan menyumbang hanyalah 9.1% kepada pertumbuhan ekonomi. Keseluruhan pencapaian ini berasaskan perbelanjaan kerajaan yang berhemah dan tidak berlebihan. Angka defisit fiskal dan hutang kerajaan hanyalah masing-masing 1.1% dan 28.3% berbanding KDNK bagi tahun 2010.

Keadaannya sangat berbeza di Malaysia. Jumlah hutang Kerajaan Persekutuan telah mencecah RM407 bilion menjelang akhir 2010, bersamaan 53.1% berbanding saiz KDNK negara. Kegagalan merancakkan pelaburan swasta menyebabkan kerajaan terlalu bergantung kepada projek-projek mega dan perbelanjaan kerajaan untuk mencapai sasaran pertumbuhan ekonomi, sehinggakan defisit fiskal menjadi salah satu masalah utama ekonomi negara.

Defisit fiskal negara memuncak pada aras 7% dalam tahun 2009 dan hanya menurun kepada 5.6% tahun lalu, sedangkan sasaran kerajaan yang diumumkan di dalam Rancangan Malaysia Ke-10 adalah 5.3% bagi tahun 2010. Malaysia hanya berjaya menarik aliran masuk pelaburan asing (FDI) sebanyak USD7 bilion dalam tahun 2010, jauh ditinggalkan Singapura yang mendapat sejumlah USD37.4 bilion aliran masuk pelaburan asing.

Berdasarkan angka-angka dan perbandingan ini, jelas bahawa pertumbuhan 7.2% hanyalah satu lagi bukti bahawa ekonomi kita semakin terkebelakang berbanding dengan negara jiran. Daya saing Malaysia di pasaran antarabangsa semakin merudum dan kedudukan fiskal serta kewangan negara lebih buruk berbanding negara-negara jiran.

Rakyat tidak akan terkeliru dengan pelbagai kempen dan janji manis yang dibuat kerajaan dan akan terus menuntut reformasi ekonomi agar prospek ekonomi yang malap ini dapat diubah. Reformasi ekonomi hanya akan berkesan sekiranya didokong oleh reformasi politik yang ikhlas.

Malangnya, Kerajaan Persekutuan yang ada telah dibuktikan berkali-kali tiada keikhlasan dalam melaksanakan reformasi politik. Makanya, sebarang dasar ekonomi yang diperkenalkan sebagai reaksi politik tidak akan berjaya menyelesaikan masalah kemalapan ekonomi Malaysia.

DATO’ SERI ANWAR IBRAHIM
KETUA PEMBANGKANG
19 FEBRUARI 2011

KENYATAAN AKHBAR

Tawaran Ganjaran Muhyiddin Hanya Gimik Hadapi PRU13

Sepertimana yang dilaporkan oleh akhbar Utusan Malaysia pada 10 Februari lalu Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin dipetik sebagai berkata pada Majlis Perutusan Khas 2011 Kementerian Pelajaran di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya(PICC):

“Tahun lalu saya umumkan tawaran baru (Bai'ah) untuk pengetua dan guru besar sebagai salah satu daripada inisiatif dibawah NKRA pendidikan. Kita tetapkan mana-mana sekolah yang berjaya melepasi sasaran tertentu, guru besar dan guru-gurunya menerima ganjaran kewangan”

“Setahun selepas tawaran baru diumumkan kita dapati jumlah guru besar yang berjaya memimpin sekolah untuk melepasi sasaran prestasi yang ditetapkan adalah diluar jangkaan. Bukan lagi 2% seperti yang disasarkan tetapi 12.1% iaitu bertambah sebanyak 600% (iaitu 924 orang guru besar yang disenarai pendek)

“Setiap guru besar yang layak akan menerima RM7,500 seorang. Lima peratus guru yang paling cemerlang akan menerima RM1,800 seorang dan selebihnya RM900 seorang”

Biro Pendidikan Parti Keadilan Rakyat berpandangan dasar Kementerian Pelajaran sentiasa berubah mengikut perubahan Menteri Pelajaran tanpa kajian yang menyeluruh dan mendalam serta tidak pula merujuk pada mereka yang benar-benar pakar dalam bidang pendidikan.

Pendidikan dilihat seakan-akan menjadi kekuda ahli politik untuk mencapai hasrat dan agenda peribadi.
Kenyataan di atas jelas menunjukkan Menteri Pelajaran menggunakan jawatan beliau untuk meluaskan pengaruh kerjaya politiknya.

Adalah satu perkara yang sangat luar biasa jika dalam masa hanya satu tahun prestasi guru besar dan sekolah telah meningkat 600 peratus.

Untuk peningkatan yang begitu luar biasa sudah tentu melalui berbagai aktiviti atau proses yang luar biasa tetapi yang kita lihat sepanjang tahun lepas program di sekolah rendah dan menengah tidak banyak berubah. Malahan terdapat prestasi sekolah yang semakin merosot.

Saya mencabar Menteri Pelajaran supaya menyenaraikan aktiviti serta program yang luar biasa itu untuk dihayati oleh seluruh warga pendidikan dan masyarakat umum supaya aktiviti dan strategi ini menjadi budaya baru dalam arena pendidikan Negara.

Ini akan menjadi contoh strategi baru di peringkat dunia namun saya yakin pencapaian ini tidak berlaku sebagai mana didakwa. Ianya hanyalah gimik politik sahaja bagi menghadapi PRU13 semata-mata.

Kenyataan Muhyiddin seperti memperbodohkan Menteri Pelajaran sebelumnya yang seolah-olah tidak tahu dan tidak cekap menjalankan tugas.

Beliau juga mencerminkan seakan-akan guru besar dan pengetua selama ini bekerja demi ganjaran wang.
Bila Menteri Pelajaran mengumumkan pemberian ganjaran barulah guru besar dan pengetua berkerja berhabis-habisan kerana inginkan imbuhan.

Kenyataan tersebut merupakan penghinaan kepada guru besar, pengetua dan guru di Malaysia.

Berdasarkan pengalaman selama 34 tahun dalam profesion pendidikan sebagai Pengetua, Ketua Penolong Pengarah, Pengarah Institiut Aminuddin Baki Cawangan Utara, Pengarah Maktab Perguruan Ilmu Khas, Timbalan Pengarah Bahagian Sekolah dan Pengarah Pelajaran Wilayah Kuala Lumpur, saya dapati guru besar, pengetua dan guru bekerja secara jujur dan ikhlas sehingga ada yang tidak mengetahui jumlah gaji yang diterima.

Saya akur proses memilih guru besar dan pengetua cemerlang adalah sukar dan mengambil masa yang panjang.

Bagaimana Kementerian Pelajaran sekarang bertindak begitu cepat untuk menilai prestasi guru besar, pengetua dan guru yang bilangannya ratusan ribu dalam masa yang singkat?

Tambahan pula bilangan Jemaah Nazir yang terhad mampu menilai prestasi dalam jangkamasa yang begitu singkat?

Apabila penilaian yang dibuat secara tidak telus, jujur dan ikhlas, ia akan menimbulkan konflik dalam pendidikan.

Konflik ini akan melemahkan lagi Struktur Pentadbiran Pendidikan. Bilamana guru besar yang kurang baik prestasinya mendapat ganjaran manakala mereka yang bekerja keras (pada anggapan mereka ) tetapi tidak mendapat ganjaran akan mewujudkan konflik kepentingan.

Hasilnya berlaku penurunan prestasi kerja yang lebih dahsyat lagi.

Kenyataan menteri membuktikan Barisan Nasional menerima tekanan yang hebat apabila Parti Pakatan Rakyat (PR) menawarkan kenaikan imbuhan RM500 kepada setiap guru jika berjaya ke Putrajaya.

Tawaran ini adalah sangat adil, jujur dan ikhlas untuk Memertabatkan Profesion Keguruan di Malaysia.
Tawaran ini dibuat untuk menarik golongan pelajar yang pintar dan cerdas menceburi bidang perguruan.
Melalui guru-guru yang cerdas dan pintar akan melahirkan pelajar yang berketrampilan, kreatif dan berinovasi. Dengan itu akan ujudlah generasi baru yang cemerlang.

Haji Abas Haji Awang
Ketua Biro Pendidikan
Parti Keadilan Rakyat
http://biropendidikankeadilan.blogspot.com/

Wednesday, February 9, 2011

Karnival Anak Muda dan Jualan 2011


KARNIVAL ANAK MUDA DAN JUALAN SELANGOR 2011
anjuran Solidariti Anak Muda Malaysia
dengan sokongan Majlis Perbandaran Sepang & kerjasama Angkatan Muda KEADILAN Sepang
5 - 16 Feb. 2011
di dataran Prima Avenue, Cyberjaya
5- 16 Feb : Gerai Jualan dan Pameran dibuka


ada banyak acara sepanjang karnival dan antara acara besar ialah



Forum Perdana dan Konsert
10 Feb 2011, 8.45 malam
bersama YB Datuk Seri Nizar Jamaluddin, Ust. Badrul Amin
dan Ust. Ghani Abd Rahman
moderator Syed Mikael Rizal Aidid



Malam Debat/Diskusi Anak Muda
11 Feb 2011, 8.45 malam
bersama wakil siswa dari 5 IPT tempatan, wakil Pemuda Umno, Wakil AMK,
Wakil DPPAS, Wakil DAPSY dan Wakil MIC
moderator : che'GuBard (SAMM)


Pesta Futsal Rakyat Karnival Anak Muda
12 Feb 2011, 8.45 pagi - 8.45 malam
penyertaan terbuka kpd 32 pasukan pertama
Yuran RM35/pasukan
Hadiah wang tunai pertama RM800, Kedua RM500, Ketiga RM300, tempat ke 4-10 Hamper
penyampaian hadiah YB Dr. Yunus
berminat sertai hubungi : 0126794704 (Yaser)



Pidato Umum 'Selangor dan melakar masa depan negara'
12 Feb 2011, 8.45 malam
bersama YAB Tan Sri Khalid (sudah dijemput belum sah kehadiran),
YB Rodziah Ismail, YB Haniza Talha dan beberapa pimpinan muda Selangor.

Kemunculan khas Azhan (Juara Akedemi Nasyid TV9) membuat persembahan



Konvoi Anak Muda bersama Yasir Said (Juara Cub Prix Asia)
13 Feb 2011, 9.00 pagi (mula Labu Lanjut) 4.00 ptg (tamat tapak karnival)
berminat sertai hubungi : 0129781707 (Sani)


Sepetang sembang anak muda
13 Feb 2011, 4.45 ptg
bersama
Yasir Said - kongsi pengalaman budak kampung kuasai litar asia,
S. Arutchelvan (pengasas NGO Suara Rakyat Malaysia) - hak anda di depan polis,
YB Amirudin - peluang belia di Selangor
moderator : Norazizi (SAMM)

Malam Kesenian

13 Feb 2011, 8.45 malam
bersama Kumpulan The Society, Blank (vokalis GAMMA), Pyanhabib, Dinsman, Azhan (Juara Nasyid), Ami Jagat, YB Ust Mujahid, che'GuBard dan ramai lagi.




Sepanjang karnival sebanyak 35 buah khemah jualan dan pameran dibuka. 20 gerai untuk tujuan kormesial perniagaan disewakan dengan kos berpatutan sesuai dengan program ini yang bukan bersifat keuntungan, bagi peniaga atau pihak korporat dijemput bersama dengan Karnival yang akan menghimpunkan ribuaan anak muda di Dataran Prima Avenue, Cyberjaya. Berminat sila hubungi Yaser 0126794704 atau Rizal 0123535698

MENONTON FILEM bersama AMNESTY INTERNATIONAL MALAYSIA




LokasiLot No. 15, Jalan Teknorat 6, Cyberjaya

Disediakan oleh
Amnesty International Malaysia


Amnesty International Malaysia akan mempertontonkan pelbagai jenis filem yang pernah ditayangkan di pawagam untuk anak muda sempena Karnival Anak Muda & Jualan Selangor 2011 ; bersama kami pada tarikh berikut;

8hb Feb - Dancer in the Dark
9hb Feb - The Blindside
14hb Feb - Gedebe
15hb Feb - Provoked
16hb Feb - Sicko


* Semua pertunjukan bermula dari jam 8.30mlm

* Turut disediakan KAUNTER DAFTAR PEMILIH oleh wakil pendaftar SPR.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi: 017-6997684 atau klik sini

Jumpa anda disana!

Saturday, February 5, 2011

Slot Bicara Rakyat: BN tiada hujah tolak kandungan Buku Jingga


KUALA LUMPUR: Dua panel kerajaan gagal membentang hujah ekonomi bagi menyangkal kandungan Buku Jingga dalam forum Bicara Rakyat, sebaliknya terusa-terusan menolak agenda untuk rakyat itu.

Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli, berkata dua panel kerajaan itu seolah-olah enggan menerima hakikat kebaikan kandungan Buku Jingga kepada rakyat tetapi gagal membawa hujah bernas.

“Dua panel itu banyak menentang kandungan Buku Jingga itu dan tidak melihat secara dasar slogan PR yang ingin mengurangkan beban terhadap rakyat,” katanya kepada KeadilanDaily.com

Forum Bicara Rakyat disiar Radio Televisyen Malaysia (RTM1) dengan menampilkan Rafizi dan Ahli Parlimen Hulu Selangor, P Kamalanathan dan Ketua Eksekutif Institut Strategik dan Kajian Antarabangsa, Datuk Mahani Zainal Abidin.

Bagaimanapun, Rafizi berkata walaupun dua panel kerajaan itu menolak kandungan Buku Jingga tetapi beliau tidak terkilan kerana forum itu membantu mempromosi Buku Jingga kepada rakyat.

“Sekurang-kurangnya kita dapat mengemukakan kandungan Buku Jingga kepada rakyat sekaligus mempromosikannya kepada mereka,” katanya.

Mengulangi hujahnya pada forum itu, Rafizi berkata, penyelarasan dan penstrukturan semula membabitkan subsisdi gas tahunan melibatkan RM19 bilion boleh dikurangkan dengan kesanggupan drastik daripada kerajaan.

“Bebanan menanggung subsidi bukan isu yang baru dibangkitkan kerana melibatkan puluhan tahun sejak dahulu lagi. Sehingga kini cadangan untuk meminda perkara itu tidak dilaksanakan.

Beliau berkata, ia berlaku ekoran negara ini kekurangan gas dan terpaksa mengimport daripada Brunei dan Thailand dengan harga tiga kali ganda.

“Setiap tahun Petronas terpaksa membeli bagi mendapatkan bekalan gas sehingga melibatkan jumlah yang besar. Sebaliknya, jika pemansuhan subsidi gas dibuat, kerajaan akan memperoleh RM19 bilion dalam bentuk hasil,” katanya.

Rafizi menegaskan subsidi gas harus dihenti kerana pembiayaan itu bermakna kehilangan hasil negara meskipun pakar strategi kerajaan memberi alasan ia membantu menjana peluang pekerjaan.

Beliau berkata, kajian Prof Jeff Rector dari Universiti Stanford pada 2005 menunjukkan 81 peratus subsidi gas diberi kepada industri dan perniagaan dan hanya 19 peratus kesannya dirasai rakyat.

Pemansuhan subsidi gas adalah antara inisiatif yang disyor Pakatan Rakyat jika mengambil alih Putrajaya dalam pilihan raya umum kelak.