Sunday, February 20, 2011

KENYATAAN AKHBAR

Tawaran Ganjaran Muhyiddin Hanya Gimik Hadapi PRU13

Sepertimana yang dilaporkan oleh akhbar Utusan Malaysia pada 10 Februari lalu Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin dipetik sebagai berkata pada Majlis Perutusan Khas 2011 Kementerian Pelajaran di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya(PICC):

“Tahun lalu saya umumkan tawaran baru (Bai'ah) untuk pengetua dan guru besar sebagai salah satu daripada inisiatif dibawah NKRA pendidikan. Kita tetapkan mana-mana sekolah yang berjaya melepasi sasaran tertentu, guru besar dan guru-gurunya menerima ganjaran kewangan”

“Setahun selepas tawaran baru diumumkan kita dapati jumlah guru besar yang berjaya memimpin sekolah untuk melepasi sasaran prestasi yang ditetapkan adalah diluar jangkaan. Bukan lagi 2% seperti yang disasarkan tetapi 12.1% iaitu bertambah sebanyak 600% (iaitu 924 orang guru besar yang disenarai pendek)

“Setiap guru besar yang layak akan menerima RM7,500 seorang. Lima peratus guru yang paling cemerlang akan menerima RM1,800 seorang dan selebihnya RM900 seorang”

Biro Pendidikan Parti Keadilan Rakyat berpandangan dasar Kementerian Pelajaran sentiasa berubah mengikut perubahan Menteri Pelajaran tanpa kajian yang menyeluruh dan mendalam serta tidak pula merujuk pada mereka yang benar-benar pakar dalam bidang pendidikan.

Pendidikan dilihat seakan-akan menjadi kekuda ahli politik untuk mencapai hasrat dan agenda peribadi.
Kenyataan di atas jelas menunjukkan Menteri Pelajaran menggunakan jawatan beliau untuk meluaskan pengaruh kerjaya politiknya.

Adalah satu perkara yang sangat luar biasa jika dalam masa hanya satu tahun prestasi guru besar dan sekolah telah meningkat 600 peratus.

Untuk peningkatan yang begitu luar biasa sudah tentu melalui berbagai aktiviti atau proses yang luar biasa tetapi yang kita lihat sepanjang tahun lepas program di sekolah rendah dan menengah tidak banyak berubah. Malahan terdapat prestasi sekolah yang semakin merosot.

Saya mencabar Menteri Pelajaran supaya menyenaraikan aktiviti serta program yang luar biasa itu untuk dihayati oleh seluruh warga pendidikan dan masyarakat umum supaya aktiviti dan strategi ini menjadi budaya baru dalam arena pendidikan Negara.

Ini akan menjadi contoh strategi baru di peringkat dunia namun saya yakin pencapaian ini tidak berlaku sebagai mana didakwa. Ianya hanyalah gimik politik sahaja bagi menghadapi PRU13 semata-mata.

Kenyataan Muhyiddin seperti memperbodohkan Menteri Pelajaran sebelumnya yang seolah-olah tidak tahu dan tidak cekap menjalankan tugas.

Beliau juga mencerminkan seakan-akan guru besar dan pengetua selama ini bekerja demi ganjaran wang.
Bila Menteri Pelajaran mengumumkan pemberian ganjaran barulah guru besar dan pengetua berkerja berhabis-habisan kerana inginkan imbuhan.

Kenyataan tersebut merupakan penghinaan kepada guru besar, pengetua dan guru di Malaysia.

Berdasarkan pengalaman selama 34 tahun dalam profesion pendidikan sebagai Pengetua, Ketua Penolong Pengarah, Pengarah Institiut Aminuddin Baki Cawangan Utara, Pengarah Maktab Perguruan Ilmu Khas, Timbalan Pengarah Bahagian Sekolah dan Pengarah Pelajaran Wilayah Kuala Lumpur, saya dapati guru besar, pengetua dan guru bekerja secara jujur dan ikhlas sehingga ada yang tidak mengetahui jumlah gaji yang diterima.

Saya akur proses memilih guru besar dan pengetua cemerlang adalah sukar dan mengambil masa yang panjang.

Bagaimana Kementerian Pelajaran sekarang bertindak begitu cepat untuk menilai prestasi guru besar, pengetua dan guru yang bilangannya ratusan ribu dalam masa yang singkat?

Tambahan pula bilangan Jemaah Nazir yang terhad mampu menilai prestasi dalam jangkamasa yang begitu singkat?

Apabila penilaian yang dibuat secara tidak telus, jujur dan ikhlas, ia akan menimbulkan konflik dalam pendidikan.

Konflik ini akan melemahkan lagi Struktur Pentadbiran Pendidikan. Bilamana guru besar yang kurang baik prestasinya mendapat ganjaran manakala mereka yang bekerja keras (pada anggapan mereka ) tetapi tidak mendapat ganjaran akan mewujudkan konflik kepentingan.

Hasilnya berlaku penurunan prestasi kerja yang lebih dahsyat lagi.

Kenyataan menteri membuktikan Barisan Nasional menerima tekanan yang hebat apabila Parti Pakatan Rakyat (PR) menawarkan kenaikan imbuhan RM500 kepada setiap guru jika berjaya ke Putrajaya.

Tawaran ini adalah sangat adil, jujur dan ikhlas untuk Memertabatkan Profesion Keguruan di Malaysia.
Tawaran ini dibuat untuk menarik golongan pelajar yang pintar dan cerdas menceburi bidang perguruan.
Melalui guru-guru yang cerdas dan pintar akan melahirkan pelajar yang berketrampilan, kreatif dan berinovasi. Dengan itu akan ujudlah generasi baru yang cemerlang.

Haji Abas Haji Awang
Ketua Biro Pendidikan
Parti Keadilan Rakyat
http://biropendidikankeadilan.blogspot.com/

No comments: