KUALA LUMPUR: Individu yang terlibat dalam menjayakan perancangan fitnah terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak 1998 hingga kini, menerima ganjaran pangkat dan wang, kata Setiausaha Agung KEADILAN, Saifuddin Nasution Ismail.
Dalam kenyataan media, beliau berkata rekod menunjukkan hakim, polis, Peguam Negara dan beberapa individu yang terlibat dalam konspirasi yang dilakukan Tun Dr Mahathir Mohamad melalui Fitnah I pada 1998, diberi ganjaran besar.
“Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Augustine Paul dinaikkan sebagai Hakim Mahkamah Rayuan dan kemudiannya Hakim Mahkamah Persekutuan.
“Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Pajan Singh Gill dan Datuk Richard Malanjum naik pangkat sebagai sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan. Datuk Ariffin Jaka juga dinaikkan dari Hakim Mahkamah Tinggi menjadi Hakim Mahkamah Rayuan,” katanya.
Saifuddin berkata, kenaikan pangkat itu lebih awal berbanding hakim yang lebih senior ketika itu seperti Gopal Sri Ram, Datuk Mokhtar Sidin, Datuk Denis Ong and Datuk Abdul Kadir Sulaiman.
Katanya, Peguam Negara, Tan Sri Mohtar Abdullah dinaikkan pangkat sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan manakala pegawai penyiasat, (Tan Sri) Musa Hassan ‘meroket’ daripada ke SAC II kepada SAC I, Pengarah Siasatan Jenayah dan Ketua Polis Negara.
“Timbalan Pendakwa raya, Tan Sri Abdul Gani Patail dinaikkan sebagai Peguam Negara. SAC I Datuk Mohd Rodwan Mohd Yusof dilantik menjadi Ketua Polis Melaka.
“Individu lain seperti seperti Azizan Abu Bakar yang asalnya seorang pemandu mendapat ganjaran dan dijadikan pengarah sebuah syarikat,” katanya.
Saifuddin berkata, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Najib Razak adalah individu politik yang bertanggungjawab menyubur budaya fitnah dengan memberi ganjaran besar kepada mereka yang menjayakan fitnah.
“Fitnah menjadi budaya dan amalan Umno sejak sekian lama, malah disaat parti itu kehilangan sokongan, fitnah adalah satu-satu senjata mereka untuk terus berkuasa.
“Oleh itu, penerbitan video seks palsu bertujuan memburukkan Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mengejutkan,” katanya.
Walaupun bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Rahim Tamby Chik dan beberapa individu tampil mengaku terlibat, Saifuddin berkata, Mahathir dan Najib – dua tokoh berpengaruh dalam Umno itu perlu memikul tanggungjawab.
Saifuddin berkata, fitnah itu kemudian diteruskan Najib dengan mencipta satu lagi konspirasi baru melalui tuduhan rekaan kononnya Anwar meliwat Saiful Bukhari Azlan.
“Apakah ada yang percaya bahawa Saiful dan pemain-pemain lain yang menjayakan skrip fitnah ini tidak diberi ganjaran?” katanya.
Natijahnya, beliau berkata, Mahathir dan Najib seolah-olah memberi mesej kepada rakyat bahawa mereka digalak memfitnah kerana ganjaran besar menanti, malah juga akan dilindungi.
“Kerana itu, Rahim Tamby Chik dan individu-individu lain berani membuat video seks palsu, iaitu fitnah terbesar dan terjijik setakat ini di Malaysia.
No comments:
Post a Comment