Friday, April 22, 2011

KENYATAAN MEDIA..

BIRO PENERANGAN PARTI KEADILAN RAKYAT


BUKTI NYATA KEADILAN SEDANG MENGAKAR DI SARAWAK

Petaling Jaya, Selangor, 21 April 2011

Keputusan Pilihanraya Negeri Sarawak 16 April 2011 jelas membuktikan bahawa perjuangan PKR dan Pakatan Rakyat semakin mengakar mantap serta menjadi wadah perjuangan, harapan dan sandaran rakyat Sarawak dalam membela nasib mereka.

Meskipun BN berjaya mengekalkan majoriti 2/3 dari Dewan Undangan Negeri, pengaruhnya jelas jatuh mendadak. Undi popular BN merudum teruk dari 69.93% kepada 55.24% sahaja. Manakala, undi diterima PR dan pihak lain meningkat 8% kepada 45.5 %. PR berjaya meningkatkan jumlah DUN yang ditawan sekali ganda berbanding PRN 2006. Undi keseluruhan yang diterima di kesemua DUN yang ditandingi meningkat tinggi hatta di kawasan pendalaman yang sukar dihubungi.

Sesungguhnya, perkembangan terbaru ini adalah isyarat jelas bahawa gelombang perubahan dan reformasi sedang menyemarak. Sarawak tidak boleh lagi dipersendakan sebagai simpanan tetap politik BN. BN juga akan menghadapi malapetaka besar di dalam PRU 13 akan datang.

Rakyat Sarawak semakin berjaya memiliki hak kebebasan dan keberdikarian mereka. Paling ketara sikap yang jelas ditunjukkan oleh generasi muda yang berilmu dan bermaklumat. Keputusan juga membuktikan bahawa sistem dua parti semakin di angkat rakyat dan aliran politik yang cuba menggugat kecenderungan ini akan tersisih dengan sendirinya.

Amat memalukan, BN secara terdesak telah menggunakan segala jentera kerajaan dan wang rakyat pembayar cukai untuk ditaburkan sebagai rasuah membeli undi. Pertama kali dalam sejarah, PM sendiri terpaksa turun gelanggang sedemikian rupa bersama peruntukan lebih RM500 juta peruntukan untuk diagihkan. Tidak cukup dengan JASA, Kemas dan RELA yang di peralatkan. Malah, pihak keselamatan dan SPR juga jelas mempamirkan kecenderungan mereka kepada BN, bukannya kepada rakyat.

Hakikatnya, meskipun Sarawak amat kaya dengan hasil balak, minyak dan gasnya, ia merupakan antara negeri termiskin di Malaysia. Anihnya, ia dipimpin oleh Ketua Menteri yang amat kaya raya selepas memimpin Sarawak melebihi 30 tahun. Sebenarnya, BN amat perlukan kelompok rakyat luar bandar yang terus ketinggalan dari segi pembangunan, kejahilan maklumat dan sukar pula dihubungi masyarakat luar, bagi memboleh mereka terus kekal berkuasa. Pada kelompok malang inilah kaedah politik umpan dan ugut paling berkesan digunakan. Di sinilah falsafah ‘panadol politik’ menjadi amat mujarab. Dengan sogokan sekadar RM20, cukup untuk mereka merasa ‘lega’ dan kebudian untuk terus mengundi BN. Kemudiannya mereka akan terus dibiarkan menderita untuk selama 5 tahun lagi untuk ‘panadol’ yang baru pula. Kepada BN semakin rakyat boleh berfikir, berdikari dan bermaklumat semakin terancamlah kedudukan politik mereka.

Biro Penerangan merakamkan rasa amat kecewa kepada SPR yang semakin jelas membuktikan dirinya sebagai alat tunggangan BN. Pakatan Rakyat wajib segera terus bertindak sewajarnya untuk membetulkan keadaan ini demi mewujudkan sistem pilihanraya yang tulen demokratik demi kepentingan rakyat dan negara pada masa depan. Sesungguhnya, kita telah terlalu kerap tertipu dan diperbodohkan oleh agensi ini yang seharusnya melaksanakan amanah rakyat dengan seadilnya.

Kepada semua para petugas dan pejuang keadilan yang telah memberikan bakti mereka di dalam pilihanraya ini, syabas dan tahniah diucapkan kepada anda semua. Yakinlah, perjuangan kita sedang menuju kemenangan. Ufuk Malaysia Baru semakin jelas kelihatan.

Dr Muhammad Nur Manuty

Ketua Penerangan

No comments: