Tuesday, October 25, 2011

Tarik balik segala sekatan terhadap Aziz Bari


(Oleh: Masdar Wahid)

PETALING JAYA 25 Okt: Biro Mahasiswa KEADILAN mendesak segala sekatan dan tekanan yang dikenakan terhadap Pensyarah Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa (UIAM), Profesor Dr Abdul Aziz Bari ditarik balik serta merta.

Pengarah Biro itu, Mohd Saifullah Mohd Zulkifli berkata, sekatan itu akan menjejaskan kualiti pendidikan negara dan masa depan generasi muda di negara ini.

“Suka kami mengingatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak agar tidak bermain politik dalam isu pengantungan Prof Dr Abdul Aziz Bari.

“Najib dan Pentadbiran Universiti Islam Antarabangsa (UIA) mengumum penggantungan terhadap pakar perlembagaan itu ditarik balik tetapi pada masa sama siasatan oleh SKMM dan Polis masih diteruskan,” katanya dalam satu kenyataan.

Aziz Bari diberi tunjuk sebab oleh universiti itu sejak beberapa hari lalu kerana didakwa “memberikan kenyataan yang bertentangan dengan kepentingan universiti” dan diberi masa sehingga 25 Oktober ini untuk menjawabnya.

UIA juga menggantung tugas Aziz sebagai pensyarah undang-undang sehingga notis selanjutnya dikeluarkan, selain dihalang memasuki pejabatnya di kampus Gombak, sebelum menarik balik keputusan berkenaan semalam.

Ekoran penggantungan sebelum ini, pelbagai pihak terutama mahasiswa dan golongan akademik seluruh negara mengecam tindakan itu.

Jumaat lalu, ratusan mahasiswa melakukan demonstrasi aman di kawasan UIA bagi membantah tindakan Rektor UIA, Prof Dr Zaleha terhadap Aziz.

No comments: