Thursday, November 15, 2012
Maal Hijrah: Tinggalkan perkauman sempit, tegakkan keadilan – Anwar
KUALA LUMPUR 15 November: Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru rakyat supaya meninggalkan perkauman sempit dan menggantikannya dengan sistem berdasarkan akidah dan keadilan.
“Kita mengimarahkan dan menjadikan tahun baru Hijrah ini sebagai perjuangan peralihan. Meninggalkan sistem lama yang dikaitkan dengan perkauman sempit dan asobiyah yang zalim menindas, yang khurafat kepada sistem baru yang menjamin sesuatu kepada lebih adil berlandaskan kekuatan akidah dan tauhid,” katanya dalam perutusan sempena sambutan Maal Hijrah 1434 hari ini.
Anwar berkata, tarikh permulaan tahun baru Islam itu adalah satu perjuangan melawan kezaliman kepada sistem baru yang menjamin keadilan.
“Dan bila dibahaskan tidak dipilih tarikh lain, tetapi tarikh bergerak dalam satu perjuangan, ini satu-satu yang unik atau luar biasa dalam sejarah mana-mana peradaban, agama dan ideologi,” katanya.
Beliau menyifatkan perpindahan Rasulullah dari Mekah ke Madinah merupakan sejarah penting membawa obor perjuangan demi perubahan.
“Ini satu fenomena sejarah luar biasa, kerana menegakkan satu sistem baru, meninggalkan aspek perkauman sempit, sistem yang zalim, tapi meletakkan sesuatu sistem berdasarkan akidah, keadilan dan kemanusiaan.
“Bukan sahaja masyarakat itu beragama, harmonis, tetapi menjana perubahan ke arah kebaikan dan kecemerlangan. Suatu aspek lain dalam Hijrah ini adalah kerana dijadikan tarikh awal, tahun Islam Muharam untuk menetapkan satu peralihan dalam sejarah,” sambungnya memetik ungkapan Sarjana Islam Palestin, Ismail Al Farouqi.
Perutusan Hari Deepavali oleh Presiden KEADILAN
Selamat Hari Deepavali!
Bagi pihak Parti KEADILAN dan Pakatan Rakyat, saya ingin mengucapkan Selamat Menyambut Deepavali kepada rakyat Malaysia yang merayakan hari ini, baik yang beragama Hindu, Sikh dan Jain. Deepavali, atau singkatannya Diwali, bermaksud ‘sebarisan pelita’ – suatu simbol kemenangan cahaya apabila berhadapan dengan kegelapan.
Selari dengan semangat perayaan ini, ingin saya seru rakyat Malaysia untuk mengingati mereka yang sedang menghadapi ‘kegelapan’ dalam hidup masing-masing.
Apabila anda menyalakan pelita dipa bersama keluarga anda, harapan saya bahawa anda mengingati Puan Indra, yang masih menantikan keadilan untuk anaknya Kugan yang telah menjadi mangsa keganasan polis ketika dalam tahanan.
Tatkala anda menjamu laddoo dan barfi, ingatlah ibu-ibu seperti Puan Suppama yang dinafikan bantuan kerajaan, malah tidak diizinkan mengisi borang e-kasih. Di kala kita menyambut hari perayaan ini sebagai rakyat Malaysia, masih terdapat ribuan penduduk berketurunan India yang masih tidak diiktiraf status kewarganegaraan mereka; antara ribuan ini, seramai 1,758 dari mereka telah membesar di rumah-rumah kebajikan yang dibiayai kerajaan, dan mereka kini tiada kerakyatan dan tiada dokumen pengenalan untuk membuktikan bahawa mereka rakyat asal Malaysia.
Deepavali dari segi spiritualnya meraikan cahaya – meraikan kebaikan yang wujud dalam hati setiap insan. Diwali merupakan suatu kemenangan atas segala kegelapan – baik yang lahir dari kejahilan dan prejudis, mahupun penganiayaan yang membabitkan seluruh masyarakat.
Bersempena hari ini, ingin saya mengingatkan diri saya serta rakyat Malaysia bahawa perjalanan kita masih jauh, dan perjuangan kita terlalu hampir untuk kita pandang leka. Biarlah cahaya kemenangan itu bangkit semula, dan biarlah ia terus menerangi perjuangan kita rakyat Malaysia.
Deepavali Nalvazhthukal (தீபாவளி நல்வாழ்த்துகள்)
Dr Wan Azizah Wan Ismail
Presiden
Parti Keadilan Rakyat
Presiden
Parti Keadilan Rakyat
Subscribe to:
Posts (Atom)