Thursday, November 15, 2012

Maal Hijrah: Tinggalkan perkauman sempit, tegakkan keadilan – Anwar


KUALA LUMPUR 15 November: Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru rakyat supaya meninggalkan perkauman sempit dan menggantikannya dengan sistem berdasarkan akidah dan keadilan.
“Kita mengimarahkan dan menjadikan tahun baru Hijrah ini sebagai perjuangan peralihan. Meninggalkan sistem lama yang dikaitkan dengan perkauman sempit dan asobiyah yang zalim menindas, yang khurafat kepada sistem baru yang menjamin sesuatu kepada lebih adil berlandaskan kekuatan akidah dan tauhid,” katanya dalam perutusan sempena sambutan Maal Hijrah 1434 hari ini.
Anwar berkata, tarikh permulaan tahun baru Islam itu adalah satu perjuangan melawan kezaliman kepada sistem baru yang menjamin keadilan.
“Dan bila dibahaskan tidak dipilih tarikh lain, tetapi tarikh bergerak dalam satu perjuangan, ini satu-satu yang unik atau luar biasa dalam sejarah mana-mana peradaban, agama dan ideologi,” katanya.
Beliau menyifatkan perpindahan Rasulullah dari Mekah ke Madinah merupakan sejarah penting membawa obor perjuangan demi perubahan.
“Ini satu fenomena sejarah luar biasa, kerana menegakkan satu sistem baru, meninggalkan aspek perkauman sempit, sistem yang zalim, tapi meletakkan sesuatu sistem berdasarkan akidah, keadilan dan kemanusiaan.
“Bukan sahaja masyarakat itu beragama, harmonis, tetapi menjana perubahan ke arah kebaikan dan kecemerlangan. Suatu aspek lain dalam Hijrah ini adalah kerana dijadikan tarikh awal, tahun Islam Muharam untuk menetapkan satu peralihan dalam sejarah,” sambungnya memetik ungkapan Sarjana Islam Palestin, Ismail Al Farouqi.

No comments: