Friday, August 21, 2009

KENYATAAN MEDIA

20 OGOS 2009

BAITULMAL PEMBANGUNAN TIDAK AKAN MENYENTUH WANG ZAKAT SHAH ALAM:

Kerajaan Negeri Selangor menyokong penuh titah DYMM Sultan Selangor semalam bahawa kutipan zakat di Selangor hanya boleh digunakan untuk membantu umat Islam dan pembangunan ummah di negeri ini. Sepertimana yang dititah oleh Tuanku Sultan semalam, Kerajaan Negeri juga berharap Majlis Agama Islam Selangor, Lembaga Zakat Selangor dan Jabatan Agama Islam Selangor dapat bersama-sama berganding bahu untuk memastikan pengurusan zakat dijalankan dengan baik dan sempurna.

Kerajaan Negeri juga berpendapat laporan mengaitkan titah Tuanku Sultan dengan rancangan Dato Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk menubuhkan Baitulmal Pembangunan adalah tidak benar. Ini adalah kerana titah Tuanku tidak ada kaitan dengan isu Baitulmal Pembangunan. Sepertimana yang dijelaskan kepada umum dan media sebelum ini, dana Baitulmal Pembangunan yang dirancang tidak akan menyentuh wang zakat yang dibayar oleh umat Islam di negeri Selangor.

Hanya “modus operandi” kutipan dana ini akan berlandaskan sistem kutipan zakat sepertimana yang dijalankan oleh Lembaga Zakat Selangor. Pejabat Menteri Besar telah pun mendapat nasihat dan cadangan dari pejabat Mufti Selangor bagaimana Baitulmal Pembangunan ini boleh dijalankan. “Seperti rancangan pembangunan yang lain, Kerajaan Negeri akan mengambil pendapat daripada semua pihak yang terlibat sebelum keputusan muktamad dibuat,” kata Tan Sri Abdul Khalid. Perlu ditegaskan disini bahawa, rancangan ini masih diperingkat kajian dan kerajaan Negeri Selangor hanya akan meneruskannya jika kerajaan Persekutuan meneruskan sikap tidak adil mereka dalam saluran dana pembangunan untuk Negeri Selangor.

SEKRETARIAT AKHBAR
PEJABAT DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR

No comments: