Thursday, January 7, 2010

Selangor Teruskan Jelajah Jom Kerja, Tawar 20 Ribu Peluang Pekerjaan

Rabu, 06 Januari 2010 | Ruangan: Berita

SHAH ALAM, 06 Jan - Kerajaan Negeri Selangor meneruskan lagi program Jelajah Jom Kerja setelah mendapati program tahun lepas mendapat sambutan menggalakkan daripada golongan belia, penganggur dan mereka yang kehilangan pekerjaan akibat kemurungan ekonomi.

Dengan kerjasama Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia-FMM dan Pusat Pelaburan Negeri Selangor-SSIC, program siri ketiga ini bakal bermula dari 8 hingga 9 Januari bertempat di Dewan Pejabat Daerah Klang.

Kira-kira 25 syarikat swasta turut mengambil bahagian menawarkan peluang-peluang pekerjaan khususnya dalam sektor perkilangan.

Sesi temuduga terbuka turut diadakan pada program ini bermula dari jam 9.00 pagi hingga 5.00 petang.

“Temuduga terbuka akan diadakan bagi mereka untuk mengisikan kekosongan daripada yang mempunyai kelulusan SPM hingga ke Ijazah dan Insya Allah sesi pelapasan akan diadakan untuk program Jelajah Jom Kerja ini pada 9.30 pagi 8 Januari hari Jumaat di Dewan Serbaguna Pejabat Daerah Klang”, kata Dr Halimah Ali.

Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat Exco Selangor di Shah Alam hari ini.

Dalam pada itu katanya, satu ceramah umum turut diadakan di perkarangan Flat Seri Perantau, Klang dengan kerjasama pihak polis dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan bagi menimbulkan kesedaran masyarakat setempat tentang gejala sosial kesan daripada pengangguran.

Selain itu, Jelajah Jom Kerja kali ini melibatkan seluruh daerah Klang dengan objektif memastikan penduduk tempatan diberi keutamaan kepada peluang pekerjaan sekaligus dapat meningkatkan taraf hidup rakyat melalui pengurangan pengangguran.

“Saya mengharapkan semua ibu-ibu tunggal, belia-belia dan saya juga menyeru PeBT mengambil peluang ini untuk merebutkan peluang pekerjaan yang kita sudah uar-uarkan selama ini sebanyak 20 ribu peluang pekerjaan yang ada di Selangor sekarang ini”, jelasnya lagi. - MOHD SAHRULNIZAM MOHD ZAIN

No comments: