Sekalipun wujud tanggapan negatif terhadap parti ini, Saifuddin Nasuition percaya keupayaan yang ditunjukkan parti ini dalam tempoh singkat, menunjukkan PKR bukan sembarangan parti .
"Saya anggap kongres ini akan melonjakkan lagi parti berupa langkah atau lonjakan saujana. Ini bukan sekadar lompat katak. Ini lompat kijang. Pantas, cantik, jauh dan bergaya.
"Kalau lompat katak itu, hodoh dan tak sejauh mana langkahnya," katanya kepada TV Selangor dalam wawancara khas sempena penganjuran kongres ini di sini, lewat petang ini.
Mengenai usaha melemahkan PKR yang didalangi parti pemerintah, Saifuddin secara sinis menyatakan Umno tidak pernah berputus asa untuk cuba meruntuhkan parti yang dianggap Umno sebagai pesaing utama.
Sebaliknya, Saifuddin menyatakan kelemahan pentadbiran kerajaan Persekutuan adalah antara perkara yang menjadi topik perbincangan dalam kongres ini.
"Ada satu perkara yang saya kagum dengan BN, iaitu sikap istiqamah mereka - berusaha tanpa kenal penat lelah untuk menghancurkan PKR. Sepanjang 12 tahun, mereka tak pernah berputus asa. Istiqamah mereka luar biasa.
"Kongres ini juga akan mendedahkan hal berkaitan penyelewengan kuasa, pemborosan, kelemahan sistem penyampaian, ketidakupayaan mengurus perjalanan ekonomi negara dan isu keselamatan negara," katanya.
Sekalipun ramai melihat PKR sedang dihimpit masalah berikutan permainan politik parti lawan, Saifuddin sebaliknya berpendapat, parti ini kian memacu ke hadapan dalam membawa suara dan harapan rakyat keseluruhan.
"Parti politik diukur berdasarkan beberapa petunjuk. Pertama, kekuatan anggota atau ahli parti. Kedua, parti itu dalam pilihanraya menang berapa kerusi? Parti juga diukur berdasarkan idelisme perjuangannya.
"Kalaulah ketiga-tiga ukuran itu diletakkan kepada PKR, saya tidak melihat ada benarnya tanggapan bahawa kongres ini menentukan kesinambungan hayat politik parti ini.
"Kongres parti pernah diadakan dalam keadaan kita hanya ada satu kerusi parlimen. iaitu permatang pauh. Selepas 2004, kongres 2005 diadakan pada zaman ada seorang sahaja ahli parlimen," katanya.
Saifuddin berkata, PKR seharusnya berbangga kerana memiliki lebih 70 ahli parlimen dan ADUN dari seluruh Malaysia, dengan keahlian mencecah 450,000 orang dari 206 cabang berdaftar di seluruh negara.
No comments:
Post a Comment