Dari Harakah Daily
Oleh Salmah Mat Husain
PAS negeri dan Kerajaan Kelantan mengalu-alukan kedatangan perwakilan dan pemerhati Kongres Parti Keadilan Rakyat (PKR) dari seluruh negara yang bakal berlangsung esok, 28 hingga 30 Mei ini.
Setiausaha Badan Perhubungan PAS Kelantan, Mohd Zaki Ibrahim juga turut mengucapkan terima kasih kepada PKR kerana memilih negeri ini sebagai persidangan kongres parti mereka tahun ini.
Jelasnya, semoga dengan kongres tahun ini akan menjadikan hubungan antara parti dalam Pakatan Rakyat bertambah erat khususnya bagi menghadapi pilihan raya umum ke-13 akan datang.
Beliau yang juga Timbalan Speaker Dun Kelantan turut menyeru para perwakilan dan pemerhati kongres dari seluruh negara itu termasuk Sabah dan Sarawak mengunjungi destinasi menarik yang ada di negeri ini.
“Peluang yang ada ini diharap dapat diambil sebaik mungkin oleh semua perwakilan dan pemerhati untuk membeli-belah di samping mengunjungi destinasi menarik yang ada di negeri ini,” ujarnya.
Beliau juga berharap para tamu berasa selesa sepanjang berada di Kota Bharu.
Sementara itu, Bandar Kota Bharu khususnya jalan utama Kota Bharu-Pengkalan Chepa dipenuhi dengan bendera-bendera PKR di samping kain rentang yang mengucapkan selamat datang kepada pemerhati dan perwakilan dari seluruh negara.
Bendera serta kain rentang yang sama turut dipasang di jalan Kota Bharu-Kuala Krai khususnya di sekitar Kompleks Kota Darulnaim.
No comments:
Post a Comment