Monday, September 27, 2010

Cabang Putrajaya Tubuh 'Tabung Selamatkan Suara Keadilan'

Oleh Dzulkarnain Taib

KUALA LUMPUR 26 Sept - Parti Keadilan Rakyat Cabang Putrajaya hari ini mengorak langkah bagi memastikan edisi tidak berkala Suara Keadilan terus dicetak bagi memenuhi keperluan maklumat ahli KEADILAN seluruh negara dengan melancarkan Tabung Selamatkan Suara Keadilan.

Tabung tersebut yang dilancarkan sempena Mesyuarat Agung Tahunan Cabang (MATC) Putrajaya mensasarkan dana antara RM500,000 hingga RM1 juta bagi meneruskan penerbitan Suara Keadilan setiap minggu.

Desakan mewujudkan tabung itu bertujuan memastikan dasar serta maklumat penting parti dapat disebabkan luaskan kepada lebih 450,000 ahli diseluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

Ahli jawatankuasa cabang, Khadijah Daud berkata adalah amat dikesali sekiranya lidah rasmi KEADILAN yang dilihat begitu lantang dan dinamik memperjuangkan pelbagai isu berkepentingan rakyat dibiarkan berkubur begitu sahaja.

"PAS ada Harakah, DAP ada Roket, tapi KEADILAN pada masa kini tidak ada lidah rasmi. Kalau kita tidak pedulikan nasib Suara Keadilan maka ini adalah amat malang dan memalukan sebagai parti yang bakal melangkah ke Putrajaya.

"Oleh itu saya seru seluruh ahli parti suoaya tampil memberi sokongan kewangan bagi memastikan Suara Keadilan terus bersuara," kata Khadijah yang dilantik sebagai Pengerusi Tabung Selamatkan Suara Keadilan Cabang Putrajaya.

Beliau berkata sebanyak RM160 berjaya dikutip, daripada kira-kira 60 ahli yang menghadiri MATC hari ini.

Seorang lagi ahli jawatankuasa, Syed Salim Syed Ahmad bersetuju tabung seumpamna itu diwujudkan di setiap cabang diseluruh negara.

"Suara Keadilan mengangkat wadah perjuangan parti sejak era awal reformasi sehingga permitnya tidak diperbaharui. Apakah tindakan kita untuk memastikan ahli terus mendapat aliran maklumat yang betul mengenai pelbagai isu kalau kita sebagai ahli tidak berbuat sesuatu?" soal Syed Salim.

Mengulas mengenai Tabung Selamatkan Suara Keadilan, pengarang akhbar itu, Dzulkarnain Taib yang juga Ketua Penerangan Cabang Putrajaya berkata ia amat bertepatan sekali kerana ahli sentiasa bertanyakan mengenai akhbar tersebut.

"Ini menunjukkan ahli KEADILAN di seluruh negara dahagakan maklumat serta berita dari perspektif parti. Mereka mahu tahu apakah pendapat pemimpin parti perihal sekecil-kecil isu diperingkat ranting dan cabang sehinggalah isu yang menyentuh kepentingan negara.

"Kalau setiap ahli hanya menyumbang RM1 kita mampu mengumpul hampir RM500,000 dan jumlah ini cukup untuk menghidupkan kembali terbitan Suara Keadilan secara tidak berkala sehingga pihak Kementerian Dalam Negeri memperbaharui permit penerbitan.

"Ianya boleh dilakukan sekiranya semua ahli berganding bahu dan kuatkan semangat juang untuk membela Suara Keadilan. Saya menyeru semua dermawan, hartawan, penyokong dan ahli KEADILAN bukan sahaja di Malaysia malah diseluruh dunia supaya ayuh sambut cabaran ini dan selamatkan Suara Keadilan yang kita semua sanjungi," tegas Dzulkarnain.

Beliau mengalu-alukan kehadiran akhbar pro-KEADILAN seperti Mingguan Era dan Kabar yang sedikit sebanyak memenuhi keperluan informasi rakyat namun Suara Keadilan sebagai organ rasmi parti harus terus dimartabatkan dan diaktifkan semua dengan segera.

Ketua Cabang Putrajaya, Onn Abu Bakar berkata tabung tersebut dilancar pada peringkat cabang dahulu sebelum cadangan untuk memperluaskan kempen mengumpul dana bagi Suara Keadilan di bawa kepada mesyuarat Majlis Pimpinan KEADILAN Wilayah Persekutuan dalam masa terdekat.

"Biarlah Putrajaya mencetus ideakan ini dan melaksanakannya dan diharap semua cabang disetiap negeri dapat menyambut cadangan ini secara serius," kata beliau.

Permit penerbitan Suara Keadilan tamat temphnya pada 30 Jun 2010 dan sehingga kini KDN mengambil sikap membisu berhubung pembaharuan permit.

Friday, September 24, 2010

Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Lembah Pantai..


Datuk Seri Anwar Ibrahim akan hadir ke Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Lembah Pantai yang akan dijadualkan pada hari ini. Majlis akan bermula jam 8.00 malam dan berakhir pada 11.00 malam bertempat di Blok D, PPR Kerinchi, berdekatan dengan Stesyen Petronas baru, Lembah Pantai, (Tapak Pasar Tani, PPR Kerinchi.)

JOM TURUT HADIR!!

RUMAH TERBUKA AIDILFITRI PARTI KEADILAN RAKYAT CABANG PUCHONG

Time
Saturday, September 25 · 11:00am - 2:00pm

LocationDEWAN MASYARAKAT FLAT PUCHONG PERDANA

Created By

More InfoSEMUA AHLI-AHLI & RAKYAT PUCHONG DIJEMPUT HADIR

Thursday, September 23, 2010

MESYUARAT AGUNG CABANG...


Dengan segala hormatnya menjemput semua ahli KEADILAN Putrajaya hadir ke Mesyuarat Agung pada 26 September 2010, jam 10 pagi, di Dewan Mustaffa Tahir, Tingkat 3, No.41, Jalan Dwitasik1, Bandar Sri Permaisuri, Kuala Lumpur. (Pejabat Parlimen Tan Sri Dato' Abd Khalid Ibrahim)

Majlis Rumah Terbuka

Saya dan isteri, Imaan ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri dan Maaf Zahir Batin kepada semua muslimin-muslimat semua. Minal aidin walfaizin walmakbulin.

Saya bersama-sama Parti Keadilan Rakyat Cabang Kelana jaya akan mengadakan Majlis Rumah Terbuka:

Tarikh: 26 September 2010 (Ahad)
Masa: 2.00 petang – 5.00 petang
Tempat: Padang SS 5C/4 Kelana Jaya, Petaling Jaya (berhampiran Kompleks Tabung Haji Kelana Jaya peta: http://maps.google.com/?ie=UTF8&ll=3.101992,101.60373&spn=0.006031,0.009645&z=17

Laman acara ini di Facebook: http://www.facebook.com/event.php?eid=153581398004277

Semua dijemput hadir!

Nik Nazmi Nik Ahmad & Dr. Imaan Abdul Rahim

Friday, September 10, 2010

SALAM LEBARAN DARI KAMI....

Perutusan Eidulfitri 2010/1431H

Alhamdulilah syukur kepada Allah SWT, Yang Maha Penyayang dan Maha Mengasihani, kerana dengan limpah KurniaNya, berjaya kita menyempurnakan ibadah puasa di Bulan Ramadhan yang penuh keberkatan ini.

Menjelang Syawal, saya mengambil kesempatan ini, mewakili keluarga dan Parti Keadilan Rakyat mengucapkan Salam Eidulfitri kepada seluruh umat Islam. Saya berharap kita menyambut hari yang penuh bahagia ini dengan mengingati saudara kita yang berada dalam penderitaan walau di mana pun mereka berada. Tatkala kita semua menyambut hari lebaran dengan rasa syukur dan meriah bersama keluarga, ada di kalangan kita yang meratapi pemergian mereka yang dikasihi. Moga Allah Yang Maha Besar memberi kesabaran buat kita semua.

Eid ul Fitr, salah satu dari maknanya adalah hari di mana kita sedar dan kembali kepada fitrah, mengingatkan sesungguhnya kita dicipta sebagai makhluk yang penuh kasih sayang, bukannya kebencian. Ramadhan selama hampir sebulan itu sewajarnya memupuk nurani kita untuk menghindarkan rasa dengki, benci dan dendam. Sering diungkapkan bulan yang mulia itu madrasah ampuh buat melebur dinding hitam pekat yang merosak jiwa dan qalb, serta memangkin kemurnian agar kembali dengan rasa kasih yakni fitrah kita sebagai insan mahkluk kepada Pencipta Yang Agung.

Malangnya sepanjang Ramadhan, masih ada yang menabur kebencian, fitnah dan berharap untuk memecah belahkan sesama kita. Menuduh dan menuding menjadi amalan dan budaya. Tatkala masyarakat menginginkan jurang perbedaan dirapatkan, fitnah dan kebencian disemai rekayasa golongan pelampau yang alpa akan fitrahnya sebagai makhluk. Keangkuhan meresapi diri kerana merasa tidak terkalahkan dan ramai.

Makanya saya memohon izin berkongsi ibrah dari sirah Rasulullah SAW ketika Perang Hunain yang meletus pada bulan Syawal. Selepas kejayaan Pembukaan Kota Mekah, umat Islam ternyata begitu bersemangat, oleh itu ketika menuju medan perang, ada yang mula mengungkapkan

“di hari ini kami tidak akan terkalahkan”

Keangkuhan menjalar dan merasuk! Seperti yang kita semua ketahui, umat Islam kalah pada pusingan awal sehinggalah ampunan dan pertolongan dari Allah SWT tiba merubah kekalahan yang sebelumnya hampir pasti. Turunlah ayat 25, Surah at Taubah yang menegur dan mengingatkan umat Islam:

“Sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan dalam banyak medan-medan perang dan di medan perang Hunain, iaitu semasa kamu merasa megah dengan sebab bilangan kamu yang ramai; maka bilangan yang ramai itu tidak mendatangkan faedah kepada kamu sedikitpun; dan (semasa kamu merasa) bumi yang luas itu menjadi sempit kepada kamu; kemudian kamu berpaling undur melarikan diri.”

Allah SWT menempelak sikap yang tergelincir jauh dari fitrah, iaitu gagal bersikap merendah hati dan pemurah serta mengasihani. Mengakhiri pesan ringkas sempena sambutan hari yang penuh keberkatan ini, saya nukilkan pesan dari Quran yang mulia, ayat 128, Surah al Nahl, buat menjadi pedoman untuk saya dan semua,

“sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa dan orang-orang yang berbuat kebajikan”

Moga Eid ul Fitr tahun ini mendorong kita untuk merenung diri dan menjana perubahan agar tidak tidak tergelincir dari fitrah yang murni serta luhur. Bersesuaian dengan pesananNya, perbanyakkan lah amal dan berbuat kebajikan.

Salam Eidulfitri
Minal ‘aidil wal faiziin.
Maaf zahir dan batin.

ANWAR IBRAHIM
Ketua Pembangkang
Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat

Syed Shahir : Kekalkan Status Quo Atau Pilih Anwar

9 Sept - Sekumpulan pemimpin akar umbi Parti Keadilan Rakyat Negeri Selangor yang mengelarkan diri mereka Majlis Muafakat Kepimpinan Keadilan Selangor mencadangkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan dalam pemilihan akan datang.

Ketuanya, Syed Shahir Syed Mohamud berharap alternatif ini diterima akar umbi dan kepimpinan atasan parti supaya pertandingan untuk dua kerusi terkanan PKR tidak menjejaskan keutuhan parti.

Sejumlah kepimpinan utama dari 22 Cabang di Negeri Selangor telah berkumpul dan bermuzakarah mengenai proses pemilihan pusat Parti Keadilan Rakyat yang akan berlangsung bermula awal November depan.

Jurucakapnya, Abdul Kudus Omar, berkata alternatif ini dicadangkan supaya pertandingan dua jawatan kanan itu tidak menjadi penyebab kepada politik kotor dan taktik cantas-mencantas yang boleh membantutkan evolusi PKR sebagai wadah perjuangan rakyat.

Setakat ini, bekas Menteri Undang-Undang Zaid Ibrahim bersetuju supaya dia dicalonkan untuk jawatan Timbalan Presiden, manakala 18 Ahli Parlimen dan Senator telah menyatakan sokongan kepada Ahli Parlimen Gombak, Azmin Ali.

Kumpulan hari ini bagaimanapun mencadangkan supaya kerusi Presiden dan Timbalan Presiden yang sekarang ini dipegang oleh Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Senator Syed Husin Ali tidak dipertandingkan.

“Kedudukan status quo bagi jawatan Presiden dan Timbalan Presiden sekarang ini hendaklah dikekalkan ( Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai Presiden dan YB Senator Dr Syed Husin Ali sebagai Timbalan Presiden). Dengan ini,calon-calon yang telah menawarkan diri untuk bertanding bagi jawatan Timbalan Presiden hendaklah menarik diri” ujar Abdul Kudus.

Namun begitu, menyedari bahawa pemilihan para pemimpin kanan parti menjadi hak mutlak ahli, permuafakatan ini mengumumkan sokongan mereka kepada Ahli Parlimen Permatang Pauh, Dato Seri Anwar Ibrahim sebagai Presiden, dan Dr Wan Azizah sebagai calon Timbalan Presiden.

“Jika muafakat di atas sukar dicapai,maka kami ingin menyarankan agar ahli di peringkat akar umbi, mencalonkan dan memilih YB Dato Seri Anwar Ibrahim sebagai Presiden dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dicalon dan diangkat sebagai Timbalan Presiden, dengan cara ini kami yakin kemelut dan kegawatan pertandingan Jawatan Timbalan Presiden akan dapat diselesaikan” kata beliau lagi dalam satu sidang media.

Akar umbi S'gor saran Anwar, Azizah teraju PKR

Sekumpulan pemimpin akar umbi PKR yang mengelar diri mereka sebagai Majlis Muafakat Kepimpinan Keadilan Negeri Selangor (MMKKNS) mencadangkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isterinya Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dicalonkan bagi jawatan presiden dan timbalan presiden PKR pada November ini.

Timbalan pengerusinya Abdul Kudus Omar berkata langkah itu bagi mengatasi kemelut dalam perebutan jawatan timbalan presiden yang semakin panas di antara Azmin Ali dan Datuk Zaid Ibrahim.

"Dengan ini calon-calon yang telah menawarkan diri untuk bertanding bagi jawatan timbalan presiden hendaklah menarik diri," kata Abdul Kudus ketika membaca kenyataan media bagi pihak pengerusi, Syed Shahir Syed Mahamud.

"Kami juga berpendirian bahawa mencalon dan memilih mereka berdua bukanlah bermakna kita mahu menyuburkan amalan nepotisme dalam parti tetapi dilakukan atas pertimbangan menjaga keharmonian dan kemantapan parti," katanya pada sidang media, di Petaling Jaya hari ini.

Dasar nepotisme

"Saya ingin tegaskan kami bukan menggalakkan dasar nepotisme dalam parti. Dalam isu ini ia bukan di antara Anwar Ibrahim dan isterinya tetapi di antara dua orang tokoh yang telah diuji.

“Cuma secara kebetulan Azizah adalah isteri kepada seorang manusia hebat bernama Anwar. Azizah pula adalah satu manusia cemerlang, telah terbukti kemampuannya memimpin sebuah parti walaupun baru dan tidak besar tetapi ia telah mencapai kejayaan yang belum ada tolok bandingnya," jelas Abdul Kudus yang juga ketua cabang Tanjung Karang.

Bagaimanapun katanya, jika saranan itu tidak diterima, majlis itu menyarankan agar status quo untuk kedua-dua jawatan tertinggi PKR dikekalkan iaitu Azizah sebagai presiden dan Syed Husin Ali sebagai timbalannya.

"Dengan cara ini kami yakin kemelut pertandingan jawatan timbalan presiden akan dapat diselesaikan.

Beliau juga berkata dakwaan bahawa kononnya Pengerusi PKR Wilayah Persekutuan, Datuk Zaid Ibrahim telah memporak-perandakan parti itu sebagai tidak benar.

"Kami tidak menyelar beliau dan tidak nampak dia memporak-perandakan parti cuma kita mahukan satu cara yang lebih teratur dan lebih terpelihara dari sudut sopan dan santun.

Bagaimanapun beliau melihat amalan pertandingan merebut jawatan dalam sebuah parti adalah sesuatu yang sihat.

"Itu hak mereka. Kita parti yang mengamalkan demokrasi sepenuhnya tetapi kami berkeyakinan mereka juga adalah tokoh-tokoh yang berpengalaman. Kami pasti mereka akan mengambil keputusan yang bakal memberi keuntungan dan faedah kepada semua pihak terutamanya parti. Kami tahu mereka mementingkan kepentingan parti, mendahulukan parti daripada diri sendiri.

Kata putus

"Ini menjadi petanda baik. 'Everybody explore their own channel' dan pasti nanti kita akan dapat satu cara yang paling baik. Kami mengharapkan inilah cara yang terbaik," ujar Abdul Kudus lagi.

Beliau juga ditanya samada cadangkan MMKKNS akan memberi kesan kepada keputusan Syed Husin terhadap jawatanya sebagai timbalan presiden.

"Kalau kita melihat dahulu Dr Syed Husin (kiri) ada memberi petanda mungkin beliau mahu berundur tetapi kebelakangan ini beliau hanya berdiam diri. Ini menunjukkan kematangannya kerana beliau mahu melihat keadaan sebelum membuat keputusan muktamad. Beliau mahu melihat di sekeliling dulu sebelum beri kata putus," kata beliau.

Abdul Kudus juga tidak melihat sebarang masalah dalam pertandingan merebut jawatan naib presiden.

"Bagi jawatan naib presiden kami rasa tidak menjadi isu besar kerana calon-calon yang menyandang dan juga yang baru adalah daripada kalangan yang berfikiran dingin, mudah diatur. Tidak ada masalah langsung dan kami yakin mereka berlapang dada apabila menawarkan diri menjadi calon," katanya.

Beliau berkata MMKKNS berpendapat usaha strategis perlu dilakukan bagi mmastikan proses pemilihan kepimpinan parti dapat dilaksanakan secara demokratik dan harmonis serta dapat memperkasa perpaduan dan kejituan parti.

MAJLIS BERBUKA PUASA BERSAMA ANAK YATIM RUMAH RUKAIYAH..!

KEADILAN Putrajaya mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua penyumbang termasuk AJK Cabang, Tuan Hj Sahar Mat Din dan Pengerusi KEADILAN WP Dato' Zaid Ibrahim kerana dapat bersama-sama berbuka puasa dengan anak-anak Yatim Rumah Rukaiyah.


Program yang dilangsungkan pada 1 Sept baru-baru ini, di Danau Golf Club, Bangi akan dijadikan satu kenangan yang tak dilupakan terutama anak-anak yatim itu sendiri.

Kumpulan Nasyid Reformasi, Nowseeheart turut serta memeriahkan majlis berbuka puasa ini.