9 Sept - Sekumpulan pemimpin akar umbi Parti Keadilan Rakyat Negeri Selangor yang mengelarkan diri mereka Majlis Muafakat Kepimpinan Keadilan Selangor mencadangkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan dalam pemilihan akan datang.
Ketuanya, Syed Shahir Syed Mohamud berharap alternatif ini diterima akar umbi dan kepimpinan atasan parti supaya pertandingan untuk dua kerusi terkanan PKR tidak menjejaskan keutuhan parti.
Sejumlah kepimpinan utama dari 22 Cabang di Negeri Selangor telah berkumpul dan bermuzakarah mengenai proses pemilihan pusat Parti Keadilan Rakyat yang akan berlangsung bermula awal November depan.
Jurucakapnya, Abdul Kudus Omar, berkata alternatif ini dicadangkan supaya pertandingan dua jawatan kanan itu tidak menjadi penyebab kepada politik kotor dan taktik cantas-mencantas yang boleh membantutkan evolusi PKR sebagai wadah perjuangan rakyat.
Setakat ini, bekas Menteri Undang-Undang Zaid Ibrahim bersetuju supaya dia dicalonkan untuk jawatan Timbalan Presiden, manakala 18 Ahli Parlimen dan Senator telah menyatakan sokongan kepada Ahli Parlimen Gombak, Azmin Ali.
Kumpulan hari ini bagaimanapun mencadangkan supaya kerusi Presiden dan Timbalan Presiden yang sekarang ini dipegang oleh Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Senator Syed Husin Ali tidak dipertandingkan.
“Kedudukan status quo bagi jawatan Presiden dan Timbalan Presiden sekarang ini hendaklah dikekalkan ( Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai Presiden dan YB Senator Dr Syed Husin Ali sebagai Timbalan Presiden). Dengan ini,calon-calon yang telah menawarkan diri untuk bertanding bagi jawatan Timbalan Presiden hendaklah menarik diri” ujar Abdul Kudus.
Namun begitu, menyedari bahawa pemilihan para pemimpin kanan parti menjadi hak mutlak ahli, permuafakatan ini mengumumkan sokongan mereka kepada Ahli Parlimen Permatang Pauh, Dato Seri Anwar Ibrahim sebagai Presiden, dan Dr Wan Azizah sebagai calon Timbalan Presiden.
“Jika muafakat di atas sukar dicapai,maka kami ingin menyarankan agar ahli di peringkat akar umbi, mencalonkan dan memilih YB Dato Seri Anwar Ibrahim sebagai Presiden dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dicalon dan diangkat sebagai Timbalan Presiden, dengan cara ini kami yakin kemelut dan kegawatan pertandingan Jawatan Timbalan Presiden akan dapat diselesaikan” kata beliau lagi dalam satu sidang media.
No comments:
Post a Comment