KUALA LUMPUR 26 Sept - Parti Keadilan Rakyat Cabang Putrajaya hari ini mengorak langkah bagi memastikan edisi tidak berkala Suara Keadilan terus dicetak bagi memenuhi keperluan maklumat ahli KEADILAN seluruh negara dengan melancarkan Tabung Selamatkan Suara Keadilan.
Tabung tersebut yang dilancarkan sempena Mesyuarat Agung Tahunan Cabang (MATC) Putrajaya mensasarkan dana antara RM500,000 hingga RM1 juta bagi meneruskan penerbitan Suara Keadilan setiap minggu.
Desakan mewujudkan tabung itu bertujuan memastikan dasar serta maklumat penting parti dapat disebabkan luaskan kepada lebih 450,000 ahli diseluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.
Ahli jawatankuasa cabang, Khadijah Daud berkata adalah amat dikesali sekiranya lidah rasmi KEADILAN yang dilihat begitu lantang dan dinamik memperjuangkan pelbagai isu berkepentingan rakyat dibiarkan berkubur begitu sahaja.
"PAS ada Harakah, DAP ada Roket, tapi KEADILAN pada masa kini tidak ada lidah rasmi. Kalau kita tidak pedulikan nasib Suara Keadilan maka ini adalah amat malang dan memalukan sebagai parti yang bakal melangkah ke Putrajaya.
"Oleh itu saya seru seluruh ahli parti suoaya tampil memberi sokongan kewangan bagi memastikan Suara Keadilan terus bersuara," kata Khadijah yang dilantik sebagai Pengerusi Tabung Selamatkan Suara Keadilan Cabang Putrajaya.
Beliau berkata sebanyak RM160 berjaya dikutip, daripada kira-kira 60 ahli yang menghadiri MATC hari ini.
Seorang lagi ahli jawatankuasa, Syed Salim Syed Ahmad bersetuju tabung seumpamna itu diwujudkan di setiap cabang diseluruh negara.
"Suara Keadilan mengangkat wadah perjuangan parti sejak era awal reformasi sehingga permitnya tidak diperbaharui. Apakah tindakan kita untuk memastikan ahli terus mendapat aliran maklumat yang betul mengenai pelbagai isu kalau kita sebagai ahli tidak berbuat sesuatu?" soal Syed Salim.
Mengulas mengenai Tabung Selamatkan Suara Keadilan, pengarang akhbar itu, Dzulkarnain Taib yang juga Ketua Penerangan Cabang Putrajaya berkata ia amat bertepatan sekali kerana ahli sentiasa bertanyakan mengenai akhbar tersebut.
"Ini menunjukkan ahli KEADILAN di seluruh negara dahagakan maklumat serta berita dari perspektif parti. Mereka mahu tahu apakah pendapat pemimpin parti perihal sekecil-kecil isu diperingkat ranting dan cabang sehinggalah isu yang menyentuh kepentingan negara.
"Kalau setiap ahli hanya menyumbang RM1 kita mampu mengumpul hampir RM500,000 dan jumlah ini cukup untuk menghidupkan kembali terbitan Suara Keadilan secara tidak berkala sehingga pihak Kementerian Dalam Negeri memperbaharui permit penerbitan.
"Ianya boleh dilakukan sekiranya semua ahli berganding bahu dan kuatkan semangat juang untuk membela Suara Keadilan. Saya menyeru semua dermawan, hartawan, penyokong dan ahli KEADILAN bukan sahaja di Malaysia malah diseluruh dunia supaya ayuh sambut cabaran ini dan selamatkan Suara Keadilan yang kita semua sanjungi," tegas Dzulkarnain.
Beliau mengalu-alukan kehadiran akhbar pro-KEADILAN seperti Mingguan Era dan Kabar yang sedikit sebanyak memenuhi keperluan informasi rakyat namun Suara Keadilan sebagai organ rasmi parti harus terus dimartabatkan dan diaktifkan semua dengan segera.
Ketua Cabang Putrajaya, Onn Abu Bakar berkata tabung tersebut dilancar pada peringkat cabang dahulu sebelum cadangan untuk memperluaskan kempen mengumpul dana bagi Suara Keadilan di bawa kepada mesyuarat Majlis Pimpinan KEADILAN Wilayah Persekutuan dalam masa terdekat.
"Biarlah Putrajaya mencetus ideakan ini dan melaksanakannya dan diharap semua cabang disetiap negeri dapat menyambut cadangan ini secara serius," kata beliau.
Permit penerbitan Suara Keadilan tamat temphnya pada 30 Jun 2010 dan sehingga kini KDN mengambil sikap membisu berhubung pembaharuan permit.
1 comment:
tahniah atas inisiatif Cabang Putrajaya. sangat baik dan positif. Teruskan ke semua Cabang dan Ranting. Perlu ada Jawatankuasa khusus untuk menggerakkan lagi kempen ini.
Post a Comment