Wednesday, January 5, 2011

KENYATAAN AKHBAR...

KENYATAAN AKHBAR

6 JANUARI 2011


SELANGOR TIDAK SOKONG SLOGAN HIPOKRASI

Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri hari ini mengulangi ketetapan untuk tidak menerima penggunaan slogan 1Malaysia dan disebarluas di dalam negeri Selangor atas sebab-sebab berikut;

1) Ia slogan hipokrasi yang tidak mempunyai makna jelas dari segi tafsiran dan perlaksanaan.

2) Ia adalah slogan propaganda BN bagi mempromosi sokongan berbentuk kepartian.

3) Ia membazir wang rakyat dan pembayar cukai.

Justeru itu, Kerajaan Negeri tidak membenarkan mana-mana agensi kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan negeri ( GLC ) membelanjakan dana rakyat untuk mempromosikan konsep 1Malaysia yang dilaungkan oleh Barisan Nasional.

Pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor tidak akan terlibat dengan sebuah konsep yang tidak mencerminkan keadaan dan polisi sebenar Kerajaan Pusat Barisan Nasional yang mana konsep tersebut seolah-olah mempersendakan harapan rakyat untuk mewujudkan satu Malaysia yang adil dan saksama.

Kerajaan Negeri Selangor akan sentiasa mempraktikkan amalan perpaduan sejati bagi mewujudkan negeri yang senang didiami seluruh rakyat pelbagai kaum, bangsa dan kepercayaan agama.

Oleh itu logo 1Malaysia tidak akan dipaparkan di papan tanda milik Kerajaan Negeri, agensi mahupun anak syarikat Kerajaan Negeri Selangor. Keutamaan mesej Negeri Selangor lebih tertumpu kepada pelbagai program Merakyatkan Ekonomi Selangor.

Walaubagaimanapun, Kerajaan Negeri tidak menghalang pemasangan iklan oleh individu untuk tujuan komersil selagi ia tidak bercanggah dengan mana-mana undang-undang sedia ada dan permohonan boleh dilakukan kepada pihak berkuasa tempatan berkaitan.

SEKRETARIAT AKHBAR

PEJABAT DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR

No comments: