Sunday, July 17, 2011

Pengharaman buku kartun: Alasan penghakiman kelakar – Zunar


KUALA LUMPUR: Kartunis Zunar atau nama sebenarnya Zulkiflee Anwar Ulhaque menyifatkan tindakan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonannya mencabar Kementerian Dalam Negeri (KDN) sebagai berat sebelah.

Menurut beliau, tindakan mahkamah itu jelas mengekang hak kebebasan bersuara yang diperuntukkan oleh Perlembagaan.

“Penghakiman berat sebelah dan kelakar. Saya merujuk kepada keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan saya yang mencabar pengharaman buku kartun saya, “1Funny Malaysia” dan “Perak Darul Kartun” oleh Kementerian Dalam Negeri semalam.

“Saya sedih kerana mahkamah memilih untuk tidak mengendahkan hak kebebasan bersuara seperti yang diperuntuk Perlembagaan, sebaliknya memilih untuk menyokong kerajaan bagi menekan kartunis editorial yang kritis,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Zunar berkata, walaupun beliau menjangkakan keputusan mahkamah tidak memihak kepadanya, namun beliau kesal tindakan hakim, Datuk Rohana Yusuf kerana bersetuju dengan kerajaan bahawa buku kartunnya boleh mengancam ketenteraman awam.

“Walaupun ia telah dijangka, tetapi saya amat kecewa dengan keputusan ini. Ketika membuat keputusan, Hakim Rohana Yusuf bersetuju dengan kerajaan bahawa kedua-dua buku tersebut mengancam ketenteraman awam yang menjadi alasan pengharaman oleh kerajaan.

“Tapi Rohana gagal menjelaskan isu penting: Bagaimana kedua-dua buku kartun itu boleh disifatkan sebagai mengancam ketenteraman awam? Yang mana satu dari 150 karya-karya kartun di dalam buku itu berbahaya untuk dibaca oleh orang awam?” soal Zunar.

Dalam pada itu, beliau memberitahu bahawa pengharaman buku-bukunya bererti mahkamah gagal menghargai peranan kartunis yang dipraktikkan negara-negara demokrasi lain.

“Dengan menyokong pengharaman itu, bererti mahkamah gagal untuk menghargai peranan kartunis sebagai ejen ‘semak dan imbang’ seperti yang dipraktik oleh negara-negara demokrasi.

“Penghakiman ini membunuh masa depan kartunis-kartunis editorial yang boleh bersama menyumbang untuk membangun negara,” katanya.

Beliau juga menegaskan bahawa tindakan mahkamah sama sekali tidak mematahkan perjuangannya bagi membongkar rasuah dan salah laku kerajaan.

“Saya akan terus melukis untuk membongkar rasuah dan salah laku kerajaan (Datuk Seri) Najib (Razak) kerana ia merupakan tanggungjawab seseorang kartunis editorial. Saya akan merayu keputusan ini ke Mahkamah Rayuan,” katanya.

No comments: