Saturday, August 20, 2011

Laporan Polis Anwar Ibrahim Terhadap Rasuah Daim Zainuddin



LAPORAN POLIS

TUN HS LEE 20455/99

Pada 14 April 1999 , tatkala memberikan kenyataan di mahkamah , saya telah merujuk kepada beberapa perlakuan rasuah besar oleh pemimpin-pemimpin negara.Saya juga telah merujuk kepada surat-surat dari tiga tokoh korporat ditujukan kepada Tun Daim Zainuddin , ketika itu Menteri Kewangan , yang membuktikan dengan jelas bahawa beliau menerima wang tunai dan saham berjumlah ratusan juta ringgit.Perdana Menteri Dato Seri Dr. Mahathir Mohammad bukan sekadar menghalang tindakan, bahkan terus melindungi rasuah besar yang dilakukan oleh Tun Daim sejak beliau menjadi Menteri Kewangan buat pertama kalinya dahulu.Malahan, sehingga kini, saya di fahamkan tidak ada siasatan oleh pihak polis atau Badan Pencegah Rasuah dilakukan.

Dengan ini, saya sertakan dokumen sah bagi membuktikan rasuah, iaitu tiga pucuk surat yang masing-masing di tulis oleh Tan Sri Halim Saad, Tan Sri Tajuddin Ramli dan Tan Sri Wan Azmi Hamzah.

Tan Sri Halim, dalam surat bertarikh 30 April 1990, menyatakan beliau memegang sebagai pemegang amanah sebanyak
52,208,500 saham Faber Merlin Bhd (saham 1.00) dan 130,000,000 saham Renong Berhad (50 sen) bagi pihak Tun Daim.
Beliau mengesahkan bahawa nilai saham itu di pegang menurut arahan Tun Daim atau penama beliau.

Tan Sri Tajuddin pula, dalam surat kepada Tun Daim bertarikh 24 Mei 1990 mengesahkan bahawa beliau memegang secara amanah bagi pihak Tun Daim wang sejumlah RM 70 juta.

Tan Sri Wan Azmi pula, dalam surat kepada Tun Daim bertarikh 30 April 1990 mengaku memegang bagi pihak Tun Daim wang sejumlah RM 150 juta.

Ini tentunya sebahagian kecil dari perolehan Tun Daim yang juga bertindak bagi pihak Dato Seri Dr. Mahathir. Saya menerima maklumat bahawa sebahagian besar wang tersebut adalah hasil pengagihan saham Resorts World, syarikat perjudian yang disenaraikan atas kelulusan Tun Daim sejurus sebelum meninggalkan Kementerian Kewangan pada tahun 1991 dahulu. Dengan kaedah sedemikian beliau telah menggunakan kedudukannya dalam kerajaan bagi mengambil manfaat bagi dirinya. Bagaimana pula dengan puluhan syarikat lainnya? Saya yakin bahawa dengan cara sedemikian, Tun Daim dengan restu Dato Seri Dr. Mahathir telah berjaya mengumpulkan berbillion ringgit.

Saya juga telah mendapat maklumat bahawa syarikat Hati Budi yang dahulunya dikatakan dikuasai oleh UMNO telah diluputkan kepentingan oleh dua orang penama, iaitu Tan Sri Halim Saad dan Dato' Anuar Othman.Adalah difahamkan 400
juta saham yang dipegang oleh Dato' Anuar Othman yang disebut sebagai amanah untuk UMNO telah diarah oleh Tun Daim
supaya dipindah kepada syarikat United Engineers dan Tan Sri Halim. Apabila saya laporkan masalah tersebut kepada Dato
Seri Dr. Mahathir dalam tahun 1996, beliau menyatakan bahawa Tun Daim yang akan menguruskannya, dan mengarahkan saya supaya jangan mencampuri hal tersebut.

Hanya setelah saya mendedahkan maklumat tersebut, maka Tun Daim segera berdalih menyatakan dalam Perhimpunan
Agong UMNO 1999 baru-baru ini bahawa wang dan saham dari tiga ahli korporat itu adalah untuk UMNO. Nyatalah, bila nampak tersepit, barulah di sebut harta yang dikumpulkan itu hak Parti UMNO. Setahu saya, berdasarkan bukti surat, dan dari akaun dan maklumat Majlis Tertinggi atau Perhimpunan Agong UMNO, tidak pernah timbul sama sekali kepentingan Parti.

Keduanya, selaku Menteri Kewangan menerima sumbangan peribadi beratus-ratus juta ringgit adalah rasuah besar dan pecah amanah jenayah. Sekiranya beliau sekarang mendakwa bahawa wang tersebut adalah hak Parti, beliau tetap bersalah kerana tidak pernah memberi laporan kepada Parti tentang wang tersebut. Hanya apabila saya mendedahkan mengenainya, baru beliau menyebutnya dalam Perhimpunan Agong yang lalu.

Pertanyaan dan teguran tentang masalah tersebut semasa saya berada dalam Parti dan Kerajaaan, telah menimbulkan kemarahan Perdana Menteri dan ketakutan dikalangan kuncu-kuncunya teutama Tun Daim. Hanya orang-orang rasuah, punyai kepentingan bersama yang akan terus melindungi perlakuan rasuah berjumlah berbillion ringgit. Dari maklumat yang diberikan ini sahaja terbukti rasuah berbillion ringgit dan pecah amanah jenayah.

Saya juga sedar tanggungjawab besar Polis dan BPR untuk menyiasat dan bertindak. Rasuah telah menjadi barah dan berpunca di kepala dan merebak ke bawah.Ia memerlukan ketegasan dan keberanian untuk bertindak sebelum negara dimusnahkan oleh mereka.

Disertakan bersama ini Eksibit A (surat Tan Sri Halim Saad); Eksibit B (surat Tan Sri Tajuddin Ramli); Eksibit C (surat Tan Sri Azmi Wan Hamzah).

t.t
(Anwar Ibrahim)
12.28 t/hari
30 Julai 1999

No comments: