*Berikut adalah sebahagian daripada isi tazkirah yang saya sampaikan pada malam kedua Ramadhan sewaktu mengimamkan solat tarawikh.
Alhamdulillah, segala puji-pujian bagi Allah SWT- Tuhan semesta alam. Kita sangat-sangat bersyukur kepada Allah SWT kerana dengan kehendak-Nya, Dia telah memilih kita untuk sekali lagi berada dalam bulan Ramadhan yang mulia, yakni masuk ke dalam universiti Ramadhan.
Kenapa dinamakan universiti Ramadhan? Kerana bulan ini merupakan bulan tarbiah, bulan pendidikan, di mana jiwa-jiwa kita ditarbiah dengan undang-undang Ramadhan dan hati-hati kita dimotivasikan dengan kelebihan-kelebihan atau fadhilat-fadhilat Ramadhan.
Bukan senang nak masuk univerisiti, tapi kita pada hari ini Alhamdulillah syukur, dipilih oleh Tuhan untuk sama-sama masuk university Ramadhan.
Pendaftarannya cukup mudah, tak payah bayar duit cuma niat saja sama ada niat setiap hari ataupun niat sebulan terus.
Tuan-tuan yang dirahmati Allah sekelian,
Bulan bertuah ini juga bolehlah disebut sebagai bulan ibadah. Boleh juga disebut sebagai bulan mujahadah. Disebut juga bulan rahmah dan bulan maghfirah. Dan macam-macam lagi sebutan yang baik-baik. Jangan kita sebut dengan yang tak baik sudahlah. “Wuih nak mai dah bulan bala, nak makan minum susah.
Jadi namanya bulan ibadah, bulan mujahadah, bulan rahmah, bulan maghfirah.
Kenapa dinamakan bulan ibadah? Kerana pada bulan ini manusia berlumba-lumba untuk menambah amal-amalan mereka. Kalau sebelum bulan Ramadhan dia malas nak beramal ibadah, tapi apabila sampai saja bulan Ramadhan, biasanya amalan seseorang akan bertambah walaupun sedikit. Betul tak?
Jadi pada bulan ini manusia berlumba-lumba untuk menambah amal-amalan mereka. Ataupun dari segi hakikatnya untuk menambah ‘pengabdian’ kepada Allah SWT. Perkataan ibadah berkait rapat dengan perkatan abdi, berkait juga dengan perkataan abdullah. Beribadah ni maksudnya berabdi kepada Allah. Macam mana cara berabdi kepada Allah? Buat apa yang Dia suruh dan jangan buat apa yang Dia larang. Selain itu, kita tambah dengan buat apa yang Dia suka, iaitu amalan-amalan sunat.
Begitulah cara-cara berabdi kepada Allah.
Kenapa dinamakan bulan mujahadah? Sebab pada bulan ini kita berperang melawan nafsu. Sesiapa yang berlawan sungguh-sungguh dengan nafsunya, dia dikira mujahid. Kalau setakat lawan sikit-sikit ni, taklah dinamakan mujahid, tidaklah dinamakan mujahadah. Kena bersungguh-sungguh, baru dia dikira sebagai mujahid, barulah usahanya itu dinamakan mujahadah.
Perkataan mujahadah ini adik-beradik dengan jihad, iaitu satu usaha yang bersungguh-sungguh. Secara khususnya dinisbahkan kepada berperang melawan musuh-musuh Islam tetapi secara umumnya dinisbahkan kepada satu usaha yang bersungguh-sungguh.
Mujahadah juga berkait-rapat dengan mujahidin.
Kenapa dinamakan bulan rahmah? Sebab pada bulan ini rahmat Allah melimpah-ruah.
Kenapa dinamakan bulan maghfirah? Perkataan maghfirah ini berkaita-rapat dengan perkataan istighfar. Yang kita sebut lepas solat “Astaghfirullahal ‘azim” tu istighfarlah. Istighfar maksudnya minta ampun. Maghfirah maksudnya ‘keampunan’. Jadi bulan Ramadhan ini adalah bulan keampunan. Pintu taubat, pintu keampunan terbuka seluas-luasnya.
Terpulanglah kepada kita sama ada hendak menggunakan kelebihan-kelebihan yang ada sepanjang bulan ini ataupun tidak. Siapa tak mahu rugilah, pada bulan-bulan lain tak ada macam ni.
Di petik dari laman http://halaqah.net/v10/index.php?topic=4143.0
No comments:
Post a Comment