Wednesday, September 21, 2011

60,000 IC palsu hanya sebahagian kecil – KEADILAN Sabah

(Oleh: Nabihah Hamid)

SABAH: KEADILAN Sabah menyifatkan pendedahan laman web WikiLeaks bahawa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pernah mengeluarkan 60,000 kad pengenalan palsu di Sabah, hanya sebilangan kecil.

Ini kerana sebelum ini ramai pimpinan di Sabah mendedahkan jumlah yang lebih besar melibatkan projek IC pada zaman pentadbiran Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ia termasuk kenyataan Aktivis hak asasi, Dr Chong Eng Leong bahawa 600,000 pendatang tanpa izin mendapat status kewarganegaraan tetap melalui projek IC di negeri itu sehingga 2005.

“Jika diikutkan, angka 60,000 itu hanya segelintir, kerana jika dilihat pada pertumbuhan penduduk di Sabah dari tahun 80an hingga 90 an, ia bertambah sebanyak 86 peratus,” kata Setiausaha Majlis Pimpinan KEADILAN negeri, Dr Roland Shia Ming Shen.

Kata Roland, menurut www.sabah.org.my, statistik menunjukkan seramai 929,299 penduduk di Sabah pada 1980 meningkat kepada 1,734,685 penduduk pada 1991.

“Isu-isu seperti ini penting untuk rakyat sabah kita tak mahu orang asing masuk menggunakan ‘pintu belakang’ dan jalan mudah untuk menjadi warganegara,” katanya.

Sementara itu Timbalan Setiausaha Agung Ignatius Darell Leiking berkata perlunya penubuhan segera Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyelesaikan masalah ini.

“Bagi saya sebagai penduduk Sabah, pemberian kewarganeragaan ini merupakan satu pengkhianatan bagi kami,” ujar beliau.

Justeru katanya, Buku Jingga Sabah yang dilancarkan Pakatan Rakyat berhasrat untuk menyelesaikan kemelut pendatang asing tanpa izin yang berleluasa di Sabah.

“Kalau mereka masuk dengan sah, kita boleh terima tapi ia menjadi masalah kepada yang masuk tanpa permit dan isu pemberian IC pada PATI masih lagi tidak terjawab,” katanya.

No comments: