KENYATAAN MEDIA
Petaling Jaya, Selangor, 12 September 2011.
Parti Keadilan Rakyat merakamkan rasa terkejut dan rasa aneh atas kenyataan sekumpulan ahli akademik yang diketuai Prof Dr. Zainal Kling atas nama Majlis Profesor Negara yang menegaskan bahawa Negara yang kita cintai ini hakikatnya tidak pernah dijajah oleh British. Sebaliknya mereka mengatakan bahawa kehadiran British adalah semata-mata sebagai pelindung berasaskan perjanjian dengan raja-raja Melayu di ketika itu.
Sesungguhnya, kita melihat kenyataan tersebut mempunyai implikasi yang besar terhadap kedudukan kemerdekaan negara yang telah diraikan sejak 54 tahun lalu. Ia menimbulkan persoalan baru, apakah kita ini benar-benar merdeka dan untuk apakah kita meraikan kemerdekaan? Dari satu sudut, ia seolah-olah memperbodohkan rakyat dengan menganggap bahawa rakyat tidak dapat membezakan hakikat bahawa Negara kita ini pernah dijajah atau benar-benar dilindungi oleh British.
Kenyataan tersebut jelas bercanggah dengan semua fakta sejarah yang ada. Umum menyedari bahawa istilah ‘protectorate’ yang diguna penjajah adalah strategi licik untuk mengelakkan penentangan rakyat sebagaimana yang dialami di negeri-negeri lain. Sebab itulah British telah meletakkan residen sebagai penasihat yang nasihatnya terpaksa diikuti oleh raja-raja Melayu.
Dengan kaedah ini, British telah menguasai segala sumber ekonomi dan segala urusan negeri-negeri yang dikuasainya. Bukankah ini namanya penjajahan? Bukankah ini yang mencetuskan penentangan pejuang-pejuang Melayu silam seperti Dato Maharajalela, Dato Bahaman, Tok Janggut, Rosli Dhoby, Abdul Rahman Limbong, Dr. Burhanuddin Helmi, Ahmad Boestamam, Ibrahim Yaakob, Abu Bakar Al-Bakir, Mat Indera dan lain-lainnya?
Parti Keadilan Rakyat melihat bahawa kenyataan kontroversi di atas hanyalah merupakan langkah amat terdesak pendokong UMNO dan para kuncunya dalam menghadapi kebangkitan dan kesedaran rakyat dalam menghadapi PRU 13 akan datang.
Sehubungan hal ini, kita amat kesal dengan tindakan beberapa ahli akademik yang sanggup menjatuhkan nilai diri sebegitu rupa sehingga sanggup membenarkan apa yang dilakukan penjajah demi menjamin survival tuan-tuan politik mereka. Dalam peradaban keilmuan, mereka yang berilmulah yang seharusnya member nasihat kepada ahli politik, bukan sebaliknya.
Parti Keadilan Rakyat menyeru agar semua kaum intelektual dan ahli akademik bangun bersama mengembalikan martabat ilmu dengan menyatakan pendirian untuk menjelaskan kekeliruan yang ditimbulkan demi membela seluruh rakyat berasaskan prinsip kebenaran dan keadilan.
Dr Muhammad Nur Manuty
Ketua Penerangan
Tel: 019-332-8302
Email: dr_manuty@hotmail.com
No comments:
Post a Comment