KENYATAAN
MEDIA
Petaling Jaya, Selangor, 4
September 2012. Sesungguhnya,
KEADILAN merasa kesal atas provokasi yang dilakukan oleh sekumpulan yang
mendakwa pendesak Melayu PERKASA di Masjid Al-Hussain, Seberang Pumpong, Alor
Setar pada 2 September 2012 yang lalu.

Kumpulan provokator tersebut
hanyalah kelompok minoriti dan serpihan kecil.
Ini terbukti apabila puluhan ribu
rakyat Kedah hadir mendengar ceramah DSAI di perkarangan Stadium Darul Aman
selepas peristiwa tersebut.
Adalah jelas, provokasi yang
dilakukan merupakan rentetan dari siri
politik ganas dan samseng yang dilakukan oleh UMNO dan para pendokongnya,
sebagai manifestasi dari tekanan dan kekecewaan yang dialami apabila menyedari
bahawa ia telah gagal menyekat sokongan berterusan rakyat kepada KEADILAN dan
Pakatan Rakyat dalam menghadapi PRU 13 akan datang.

Keputusan PRU 12 yang lalu, memang
benar-benar mengejutkan UMNO. Lantaran
begitu tertekan dan terdesak, mereka
hilang kerasionalan dan kematangan politik, sehinggakan pemimpin tertingginya
pernah melafazkan ikrar akan mempertahankan putrajaya ‘at all cost’. Demi
mencapai matlamat ini, PERKASA hanyalah salah satu instrumen yang digunakan.
Sesungguhnya, KEADILAN ingin
menegaskan bahawa apa yang dilakukan oleh PERKASA dan para pendokong UMNO ini,
adalah amat merbahaya kepada kesejahteraan dan kebebasan rakyat. Jika tidak ditampan, gejala ini pasti akan
mengancam keselamatan Negara seluruhnya.
Amalan ini amat bertentangan dengan nilai dan akhlak bangsa Melayu dan
Islam.
Malah, ia merupakan serpihan dari
budaya jahiliyah dan liar yang dilakukan oleh para penentang keadilan,
kebenaran dan kebebasan sejak zaman berzaman.
Nabi Muhammad SAW pun pernah
dibaling batu dan kayu semasa menjalankan tugas dakwah dan tarbiyahnya kepada
penduduk Makkah pada zaman baginda.

KEADILAN berpandangan bahawa langkah
terbaik dalam meleraikan kecelaruan politik semasa adalah melalui debat dan
perbahasan umum yang teratur dan terancang. Justeru, cadangan diadakan perdebatan
di antara dua pemimpin tertinggi Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional – iaitu
Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Najib sendiri – hendaklah diteruskan.
Dengan cara ini, rakyat dapat dididik dengan
budaya politik beraras tinggi, intelektual dan bertamadun. Namun demikian, kita merasa amat kecewa DS
Najib sendiri secara bersungguh-sungguh ingin mengelakkan ia berlaku atas
alasan yang begitu dangkal dan remeh.

Sesungguh, kesopanan dan kesusilaan adalah salah satu
prinsip utama Rukun Negara. Justeru, KEADILAN ingin mengulangi dengan tegas bahawa kami
akan tetap mempertahankan budaya politik sihat, aman, berbudaya tinggi dan
bertamaddun dalam meneruskan misi perjuangan kami mencapai agenda memartabatkan
kedaulatan rakyat. Kami juga menyeru,
agar seluruh penyokong KEADILAN dan Pakatan Rakyat bersama-sama mempertahankan
dasar dan amalan yang murni.
Bersamalah kita mendoakan hasrat
mulia menegakkan keadilan, kebebasan dan keamanan untuk seluruh tercapai dengan
izin Allah, menuruti apa yang disarankan oleh Nabi Muhammad SAW yang bersabda:
“Doa itu adalah senjata bagi orang mukmin”.
Dr Muhammad Nur Manuty
Ketua Penerangan
No comments:
Post a Comment