Monday, August 31, 2009

ANWAR IBRAHIM: PERUTUSAN KEMERDEKAAN...!!!


SEMANGAT KEMERDEKAAN MENYANGGAH PERHAMBAAN DAN MEMBINA KEYAKINAN BARU..!!

Apabila mendekati tarikh 31hb Ogos, ingatan kita akan mengimbas kembali rentetan peristiwa dan perjuangan rakyat yang berkemuncak dengan Kemerdekaan. Tarikh tersebut terungkap sebagai tarikh keramat ,menjanjikan kebebasan daripada cengkaman penjajah dan menyelamatkan martabat hidup rakyat.

Persoalan yang menerjah kita semua ialah; bagaimana kita menghayati makna tarikh tersebut hari ini. Pergulatan ini menjadi penentu kepada persoalan makna diri kita sebagai rakyat Malaysia.Tekad baru untuk memahami makna diri Malaysia sebagai bangsa merdeka juga menuntut kita untuk memahami bagaimana kita menjadi tidak merdeka; bagaimana kita hilang kemerdekaan sebelum kita memperolehinya kembali.

Lebih dua ribu tahun yang lalu, Brutus bertanya warga Kota Rom “siapakah yang begitu hina sehingga mahu hidup sebagai hamba ?” Ceasar mahu memiliki kuasa yang tidak terbatas. Nafsunya sebegitu besar dan mahu memastikan Rom dalam genggamannya.

BERITA SELANJUTNYA KLIK DISINI..!!

KENYATAAN AKHBAR...!!!

ISU MENGARAK KEPALA LEMBU DI SHAH ALAM
Adalah amat pelik dan mendukacitakan apabila melihat tindakan sekumpulan 50 penduduk mengarak kepala seekor lembu, melaungkan kata-kata provokatif dan bertakbir tidak pada tempatnya. Ia dilakukan pada hari (Jumaat) dan di bulan (Ramadan) yang cukup mulia bagi umat Islam. Seharusnya, bulan Ramadan ini dapat melatih kita untuk menundukkan nafsu amarah yang merajalela dalam diri. Tindakan kumpulan ini adalah terasing dan bukan mewakili kehendak Islam. Agama mengajar kita agar menangani isu-isu seperti yang dihadapi dengan penuh kesabaran, bijaksana dan berhikmah.

BERITA SELANJUTNYA KLIK DISINI..!!

Thursday, August 27, 2009

MASJID SULTAN MIZAN DI PRESINT 3, PUTRAJAYA...!!!


UMAT Islam yang bekerja dan tinggal di sekitar Putrajaya kini boleh mengerjakan ibadah di masjid baru Presint 3 Putrajaya yang memaparkan seni bina yang unik kerana lebih 70 peratus daripada binaannya menggunakan keluli.

Masjid tersebut yang dinamakan sempena nama Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin pastinya akan menjadi satu lagi mercu tanda baru di Putrajaya apabila dibuka secara rasmi September ini.

Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin sebelum ini digelar sebagai Majid Besi kerana pembinaanya melibatkan pengunaan sebanyak 6,000 tan keluli yang mewakili 70 peratus daripada sturuktur keseluruhan bangunan tersebut dan selebihnya adalah konkrit.

Monday, August 24, 2009

Pasar Ramadhan Putrajaya 2009

Untuk makluman orang ramai, Pasar Ramadhan Putrajaya
beroperasi di Presint 2, Putrajaya.

Waktu jualan 4.00 petang hingga 7.30 malam sepanjang bulan Ramadhan.
Pekan Sehari Putrajaya (Setiap Ahad)

PADA: 19/JUL/2009 - 27/DEC/2009

MASA: 02:00 PM - 10:00 PM

TEMPAT: Kompleks Kejiranan Presint 9

Pelbagai Jenis Jualan Yang Menarik Seperti Barangan Cenderamata,Pakaian,Aksesori Wanita,Produk-Produk Minuman&Makanan & Lain-Lain Lagi

Friday, August 21, 2009

KENYATAAN MEDIA

20 OGOS 2009

BAITULMAL PEMBANGUNAN TIDAK AKAN MENYENTUH WANG ZAKAT SHAH ALAM:

Kerajaan Negeri Selangor menyokong penuh titah DYMM Sultan Selangor semalam bahawa kutipan zakat di Selangor hanya boleh digunakan untuk membantu umat Islam dan pembangunan ummah di negeri ini. Sepertimana yang dititah oleh Tuanku Sultan semalam, Kerajaan Negeri juga berharap Majlis Agama Islam Selangor, Lembaga Zakat Selangor dan Jabatan Agama Islam Selangor dapat bersama-sama berganding bahu untuk memastikan pengurusan zakat dijalankan dengan baik dan sempurna.

Kerajaan Negeri juga berpendapat laporan mengaitkan titah Tuanku Sultan dengan rancangan Dato Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk menubuhkan Baitulmal Pembangunan adalah tidak benar. Ini adalah kerana titah Tuanku tidak ada kaitan dengan isu Baitulmal Pembangunan. Sepertimana yang dijelaskan kepada umum dan media sebelum ini, dana Baitulmal Pembangunan yang dirancang tidak akan menyentuh wang zakat yang dibayar oleh umat Islam di negeri Selangor.

Hanya “modus operandi” kutipan dana ini akan berlandaskan sistem kutipan zakat sepertimana yang dijalankan oleh Lembaga Zakat Selangor. Pejabat Menteri Besar telah pun mendapat nasihat dan cadangan dari pejabat Mufti Selangor bagaimana Baitulmal Pembangunan ini boleh dijalankan. “Seperti rancangan pembangunan yang lain, Kerajaan Negeri akan mengambil pendapat daripada semua pihak yang terlibat sebelum keputusan muktamad dibuat,” kata Tan Sri Abdul Khalid. Perlu ditegaskan disini bahawa, rancangan ini masih diperingkat kajian dan kerajaan Negeri Selangor hanya akan meneruskannya jika kerajaan Persekutuan meneruskan sikap tidak adil mereka dalam saluran dana pembangunan untuk Negeri Selangor.

SEKRETARIAT AKHBAR
PEJABAT DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR

Saturday, August 15, 2009

Pakatan Rakyat Akan Di Daftar Sebagai Sebuah Pertubuhan..!!!


SATU NAMA...!!!

PETALING JAYA, 13 Ogos:

Hampir 100 para pemimpin utama Pakatan Rakyat iaitu dari PAS, PKR dan DAP berhimpun di Tropicana Golf Club pagi ini mencapai kata sepakat untuk mendaftarkan Pakatan Rakyat sebagai sebuah pertubuhan tidak lama lagi. Keputusan ini dicapai selepas menerima cadangan dari pimpinan Pakatan yang telah membincangkan perkara itu sebelum ini, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada Harakahdaily.

Menurut Anwar, mesyuarat Majlis Tertinggi Pakatan Rakyat akan datang akan memperincikan perkara ini dan seterusnya mendaftar Pakatan Rakyat kepada Pendaftar Pertubuhan. Menurut Anwar, beberapa persoalan teknikal seperti jumlah parti yang bergabung dalam Pakatan Rakyat perlu tujuh parti akan diperincikan kemudian."Ini bukan undang-undang, ia hanya peraturan dalam mendaftar sahaja," kata Anwar.

Isu kedudukan Pakatan Rakyat yang dianggap longgar ekoran tidak didaftar secara rasmi sebagaimana Barisan Nasional (BN) menjadi salah satu topik perbincangan dalam Bengkel Memperkasakan Pakatan Rakyat di Tropicana Golf Resort hari ini.Hampir 100 pemimpin tertinggi Pakatan Rakyat menyertai bengkel bermula jam 9 pagi dan akan berakhir sehingga lewat petang ini.

Selain Anwar, turut serta adalah Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang.Yang tidak kelihatan hanya Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz dan Karpal Singh, Pengerusi DAP. Setiap parti menghantar kira-kira 30 perwakilan ke dalam bengkel sehari ini.Turut sama dibincangkan adalah isu menangani arak di Selangor, Jawatankuasa Disiplin Pakatan Rakyat dan serangan BN terhadap Pakatan Rakyat.

Untuk isu arak, bengkel bersetuju dengan pendirian Selangor dalam hal ini. Isu pertembungan peribadi antara Exco kerajaan negeri Selangor, Ronie Liu dan Datuk Dr Hassan Ali juga selesai dalam bengkel ini. Sehingga Pakatan Rakyat didaftarkan secara rasmi, isu disiplin akan ditangani oleh parti masing-masing. Isu serangan BN terhadap Pakatan juga dijawab oleh Anwar apabila ditanya wartawan."Kita akan pertahan habis-habisan kerajaan Selangor dan kita yakin BN memang akan berusaha ke arah itu sebagai yang mereka buat di Perak," kata Anwar.

Sunday, August 9, 2009

KERAJAAN SELANGOR TAK SETUJU...!!!


KERAJAAN SELANGOR TIDAK SETUJU TAWAR HARGA LEBIH TINGGI
KEPADA SYARIKAT KONSESI AIR


SHAH ALAM : Kerajaan Negeri Selangor mengalu-alukan kenyataan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau danAir, Peter Chin (New Straits Times, 4 Ogos 2009) bahawa adalah penting untuk menyelesaikan perundingan penstrukturan semula industri perkhidmatan air di Selangor dengan secepat mungkin.

Kerajaan Negeri menyokong penuh dengan pandangan tersebut agar kepentingan orang awam terjamin memandangkan perundingan telahpun berjalan sepanjang bulan Jun sehingga ke sekarang. Namun, Kerajaan Negeri tidak bersedia untuk menawarkan harga yang lebih tinggi kepada syarikat konsesi perkhidmatan air yang selainnya bagi aset perkhidmatan air mereka kerana ini akan segera mengakibatkan peningkatan kadar Pertamanya, tawaran yang dibuat pada Jun 2009 telahpun menandakan harga yang jauh lebih tinggi daripada tawaran ketika Februari 2009. Kedua, syarikat konsesi air telah diberi pampasan yang secukupnya berdasarkan nilai yang munasabah dengan mengambil kira segala modal dan risiko.

Ketiga, harga yang lebih tinggi dibayar kepada syarikat konsesi akan membebankan rakyat, baik melalui pembayaran cukai mahupun peningkatan kadar tarif air pada masa depan.
Pembelian semula aset perkhidmatan air daripada syarikat konsesi pada harga yang lebih tinggi sememangnya tidak adil kepada rakyat. Kerajaan Negeri amat risau jikalau Kerajaan Persekutuan sanggup menawarkan harga yang lebih tinggi kepada syarikat konsesi air.
Kerajaan Negeri berharap perkara ini tidak berlaku kerana rakyat pasti akan dibebankan dua kali, iaitu pertamanya melalui pembayaran cukai, keduanya melalui peningkatan kadar tarif air.

TAN SRI DATO’ ABDUL KHALID IBRAHIM

DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR


Saturday, August 1, 2009

SURAT DARI KU LI....!!!

TRH/U/Phb/Kel/18 Bh.9

30hb Julai, 2009.
8hb Sya’ban, 1430.

Y.A.B. Tuan Guru Dato’ Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat,
Menteri Besar Kelantan,
Pejabat Menteri Besar,
Blok 1, Tingkat 1,
Kota Darulnaim,
15503 Kota Bharu,
KELANTAN.

Dengan tangan/Fax No.09-7442748

Bismillahirrahmanirrahim.

Y. A. B. Dato,

TUNTUTAN ROYALTI MINYAK KERAJAAN NEGERI KELANTAN

Saya panjatkan do’a ke Hadrat Allah S.W.T. agar Y.A.B. Dato’ berada dalam keadaan sihat walafiat.

Sukacita saya maklumkan bahawa surat Y.A.B. Dato’ yang bertarikh 15 Julai, 2009, yang disampaikan kepada saya oleh Y.B. Dato’ Hj. Husam Musa pada hari Jumaat, 17 Julai, 2009, telah selamat saya terima dan diucapkan berbanyak-banyak terima kasih.

Apabila Malaysia ditubuhkan dalam tahun 1963, bidang kuasa (jurisdiction) ke atas luar pantai Malaysia di antara Negeri dan Persekutuan tidak ditentukan untuk negeri-negeri Sabah, Sarawak dan Singapura oleh kerana Malaysia ditubuhkan dalam suasana di mana kita telah diancam oleh negara tetangga. Ini menyebabkan Kerajaan Negeri Sarawak telah mempertikaikan hak bidang kuasa Kerajaan Persekutuan ke atas luar pantai Malaysia di perairan Sarawak. Nasib baik dengan adanya Akta Kemajuan Petroliam 1974 pertikaian ini telah dapat diselesaikan dalam suatu perundingan yang diadakan dengan Kerajaan Sarawak.
Saya telah mewakili Kerajaan Persekutuan untuk merundingkan masalah ini dan tanpa memilih jalan yang sukar, iaitu untuk meminda Perlembagaan Negara bagi menentukan bidang kuasa untuk Negeri dan Persekutuan yang tidak sempat dibuat sebelum ini mengenai kawasan luar pantai Malaysia , maka Seksyen 4 Akta Kemajuan Petroliam telah diguna bukan sahaja untuk menyelesaikan masalah ini tetapi telah dapat juga mengatasi kemungkinan ianya ditimbulkan oleh negeri-negeri seperti Sabah selain daripada Sarawak.

Akta Kemajuan Petroliam mempunyai keistimewaannya tersendiri. Ia telah menyebabkan ujudnya satu perjanjian dalam mana Kerajaan-kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan telah sanggup meletak hak selama-lamanya kepada PETRONAS mengenai petroliam yang ditemui sama ada di dalam atau di luar pantai Malaysia. Sebaliknya PETRONAS sanggup membuat bayaran tunai kepada Kerajaan Persekutuan dan juga Kerajaan-kerajaan Negeri sebanyak 5% daripada nilai petroliam yang ditemui dan dijual tiap-tiap tahun menurut Perjanjian itu. Bagi Negeri Kelantan, Allahyarham Dato’ Hj. Mohamed bin Nasir, selaku Menteri Besar, telah menandatangani perjanjian ini dan saya bagi pihak PETRONAS telah menandatangani perjanjian yang sama dalam tahun 1975.

Jelas sekali, dengan tafsiran yang dibuat dalam kedua-dua perjanjian ini nampaknya tidak ada keraguan lagi mengenai bidang kuasa dalam dan luar pantai Malaysia mengenai petroliam. Jelas sekali PETRONAS terikat dengan perjanjian-perjanjian ini begitu juga Kerajaan Negeri Kelantan dan oleh itu PETRONAS wajib membuat bayaran tunai sebanyak 5% daripada petroliam yang diperolehi daripada luar pantai Malaysia yang bersetentangan dengan Kelantan kepada Kerajaan Negeri Kelantan. Kalau tidak silap saya, sebahagian daripada kawasan luar pantai Malaysia yang diusahakan oleh JDA (Joint Development Authority) sekarang ini pernah diberi kepada syarikat asing untuk mencari gali minyak dalam tahun enam-puluhan dahulu tetapi diserahkan balik kepada Kerajaan Persekutuan apabila didapati ianya tidak ekonomik oleh kerana kos mencari gali minyak di ketika itu melebehi harga pasaran minyak dunia.
Untuk makluman Y.A.B. Dato’, saya telah meminta Perdana Menteri, Allahyarham Tun Abdul Razak, untuk mengguna pakai Seksyen 4 Perjanjian di bawah Akta Kemajuan Petroliam ini supaya PETRONAS menandatangani dengan setiap negeri di Semenanjung Tanah Melayu untuk menseragamkan perjanjian-perjanjian yang dibuat oleh PETRONAS di bawah Akta tersebut. Apatah lagi disedari bahawa negeri-negeri di Pantai Timur masih kurang maju yang memerlukan bantuan untuk pembangunan dan sudah tentu akan mendapat manfaat daripada bayaran tunai daripada PETRONAS.. Pada masa itu difikirkan ada kemungkinan kawasan luar pantai Malaysia berhampiran atau bersetentangan dengan Kelantan, Terengganu dan Pahang mempunyai petroliam dan/atau gas asli mungkin memberi harapan yang baik kepada rakyat dan negeri-negeri tersebut sekiranya petroliam ditemui di luar pantai Malaysia berhampiran negeri-negeri itu.

Sekian, terima kasih.

Wassalam.

Yang ikhlas,

(Tengku Razaleigh Hamzah)

Sunday, July 26, 2009


Kajiselidik Dapati 97% Rakyat Hidup Dalam Ketakutan

Dalam tiga hari tinjauan soalselidik elektronik dinaikkan di laman sesawang Kementerian Dalam Negeri, 6,058 peserta berasakan kadar jenayah yang meningkat mutakhir ini menyebabkan mereka hidup dalam ketakutan, manakala 5,549 peserta merasakan pihak berkuasa tidak mampu menjamin keselamatan mereka.

Begitu menurut rencana terbaru Penasihat DAP Lim Kit Siang di laman blognya hari ini.
Bermula 23 Julai lalu, penyertaan awal adalah seramai 866 bagi tinjauan pertama dan 894 bagi tinjauan kedua.
Jumlah peserta meningkat pada hari berikutnya kepada 2,846 bagi tinjauan pertama dan 2,619 bagi tinjauan kedua.
Hari terakhir tinjauan mencatatkan respon dari 6,058 orang bagi tinjauan pertama dan 5,549 bagi tinjauan kedua.
Keputusan ini menunjukkan sejak 23 Julai jam 12 malam hingga 26 Julai jam 10 pagi, 97 peratus responden secara konsisten mengatakan mereka tidak berasa selamat, manakala 95 peratus secara konsisten menjawab kerajaan tidak mampu menjamin keselamatan mereka.
"Hanya ada satu kesimpulan dari statistik ini - akuan bahawa Musa Hassan telah gagal sebagai Ketua Polis Negara, dan perlunya KPN baru untuk membebaskan Malaysia dari jenayah," tegas Kit Siang.

"Kes ragut sahaja meingkat 99 peratus dari Januari hingga April tahun ini berbanding tempoh yang sama tahun lepas. Sebanyak 1,206 kes dilaporkan dalam empat bulan tahun ini berbanding 606 sahaja tahun lalu. Bahkan jumlah 1,206 ini adalah kecil kerana majoriti mangsa tidak melapor kerana mereka tidak lagi yakin pada polis," tambahnya lagi.

Sumber TV Antara

Sunday, July 19, 2009


Siasatan SPRM Ke Atas ADUN PR, Gimik Politik BN: Teresa

Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas anggota Exco Pakatan Rakyat Selangor yang kononnya menyalahguna peruntukan DUN adalah gimik politik Umno-Barisan Nasional, kata Teresa Kok.

Malangnya, kata beliau apa yang dilakukan itu, memerangkap diri sendiri apabila rakyat mula hilang kepercayaan terhadap badan bebas tersebut yang dituduh menyebabkan kematian Setiausaha Politik Exco Selangor, Teoh Beng Hock.

Teresa yang juga Adun Kinrara berkata, banyak lagi kes rasuah yang lebih serius melibatkan wang rakyat telah dilaporkan, tetapi tiada sebarang tindakan dilakukan.

"Pada tahun 2008, bila kami jadi kerajaan, kami tahu setiap kawasan diberikan peruntukan RM500,000. Sebenarnya, ini adalah praktis kerajaan dulu juga, jadi bila kami check akaun kami, kebanyakan duit ini telah digunapakai oleh bekas Adun Barisan Nasional dalam tempoh 3 bulan. Macam mana seorang wakil rakyat boleh menghabiskan wang rakyat begitu sahaja. Kami dah buat bising tapi nampaknya SPRM tak buat apa-apa langkah untuk menyiasat mereka, selepas kami jadi kerajaan kita lihat pegawai SPRM bekerja bersungguh-sungguh untuk menyiasat akaun peruntukan kami," katanya.

Menurut Teresa, banyak lagi kes, termasuk isu PKFZ yang menelan belanja lebih RM12.5 bilion, membabitkan wang rakyat dan banglo mantan menteri besar, Khir Toyo telah dilaporkan, tetapi tiada tindakan diambil oleh SPRM sehingga ini.

Mengenai kenyataan Khir bahawa kesalahan tidak harus diletakkan kepada SPRM berhubung kematian Teoh, Terasa berkata SPRM harus bertanggungjawab dalam kes ini.

"Saya rasa kalau orang yang tak ada perasaan simpati, tak ada keadilan macam Khir Toyo yang sanggup kata jangan salahkan SPRM, tapi Teoh tu mati di pejabat SPRM di Selangor, kita tak salahkan dia, kita salahkan siapa,? tanya Teresa

Teresa turut meragui kaedah penyiasatan yang lakukan oleh SPRM ke atas Teoh, berbanding siasatan yang dijalankan oleh pihak polis.

"Sebenarnya dalam soal siasat polis, peguam dibenarkan untuk berada disisi orang yang disaisat itu, dan kalau bukan kes jenayah, lepas mereka dapat apa yang mereka mahu, polis akan suruh mereka balik dan kalau diperlukan lagi, mereka akan panggil lagi.

"Kalau ikut kanun kesiksaan jenayah, 24 jam ditahan ini hanya digunapakai dalam kes jenayah dan seseorang itu ditangkap atau ditahan polis. Jadi dalam kes Teoh ini, beliau bukan penjenayah, beliau bukan seorang suspek, beliau hanya diminta untuk membantu siasatan sebagai saksi sahaja. Jadi saya rasa cara SPRM ini memang menimbulkan banyak persoalan dan cara mereka amat diragui," ujarnya.

Dalam pada itu Teresa berkata, beliau akan menerangkan kepada orang ramai berhubung keadaan yang berlaku kepada Adun dan Exco Selangor ketika ini, selepas Barisan Nasional tewas dalam pilihanraya umum lalu. "Apa yang penting, kita nak menganjurkan lebih aktiviti dan ceramah untuk memberitahu kepada orang ramai tentang apa yang telah berlaku di Selangor, Exco dan juga Adun di Selangor dan juga cara soal siasat SPRM," tambah Teresa.

Sunday, July 12, 2009

GAMBAR PIDATO DSAI DI UNISEL....!!!







Dato’ Seri Anwar telah diajukan soalan dan telah meminta pelajar-pelajar yang ingin Datin Paduka Rosmah Mansor kekal sebagai Canselor UNiSEL untuk mengangkat tangan.
Keseluruhan daripada lebih 2,000 pelajar yang hadir, cuma seorang sahaja yang mengangkat tangan.

Dato’ Seri Anwar Ibrahim kemudiannya meminta pelajar-pelajar yang ingin Canselor UNISEL diganti untuk mengangkat tangan. Riuh rendah keadaan bila seluruh dewan yang sesak dengan pelajar-pelajar, termasuk beberapa pensyarah juga, mengangkat tangan dan bertepuk menandakan persetujuan mereka.

Tuesday, July 7, 2009

Kepada Semua Ketua Cabang (Bahagian)

Parlimen Batu akan mengadakan Kejohanan Futsal Merdeka merebut Piala Parlimen Batu 2009 pada masa/tarikh dan tempat seperti dibawah.

Tarikh : 8/9 Ogos 2009 (Sabtu & Ahad)
Tempat: Gelanggang Futsal Indoor XL
Segambut Kuala Lumpur.
Yuran Pendaftaran pasukan : RM150.00
Tarikh Tutup Penyertaan : 27 July 2009

Bayaran Tempahan Pasukan untuk sertai Kejohanan boleh dibuat PUBLIC BANK BERHAD

Penerima : Parti Keadilan Rakyat Bahagian Batu
Bank Akaun No. : 3152966000

Sila hubungi : Sdr Ramli Taha (019-510 6061) , Sdr Jasmin (03-4044 0063) , Sdri Ros (012-264 9124)

Pihak kami mengalukan penyertaan pasukan Futsal dari semua CABANG untuk bersama-sama menjayakan kejohanan Pertama Kali Anjuran Parlimen Batu.
Bersama-sama ini dilampirkan Borang dan Poster untuk paparan pihak Semua Cabang Parti Keadilan Rakyat Wilayah Persekutuan. Kami berharap sebaran

'Kejohanan' ini dapat dibuat di Kawasan Cabang (Bahagian) masing masing. Kerjasama dari semua amatlah dihargai. Sekian Terimakasih.

Yang Benar,

Kamil Samad
S/u Program Futsal Piala Parlimen Batu.
019-7764010/012-2126390

Friday, July 3, 2009



Kenyataan Media
Ketua Menteri Pulau Pinang,
Lim Guan Eng
di Georgetown pada 30 Jun 2009:

Barisan Bertindak Hak-hak Hindu (Hindraf) perlu sedar bahawa Kampung Buah Pala masih utuh sehingga kini kerana Kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang yang berjaya menghalang mereka daripada diusir pada pertengahan tahun 2008.

Kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang tidak pernah meluluskan mahupun membenarkan sebarang tindakan untuk merobohkan Kampung Buah Pala.

Sebarang tindakan yang diambil oleh syarikat pemaju (developer) adalah menerusi perintah mahkamah yang dikeluarkan oleh mahkamah-mahkamah yang berkaitan. Pampasan sehingga RM200,000 seisi rumah telah ditawarkan oleh syarikat pemaju kepada penduduk kawasan berkenaan yang kemudiannya dipersetujui dan diterima oleh kebanyakan keluarga kecuali penduduk-penduduk yang masih berada di Kampung Buah Pala.

Kerajaan negeri menghormati keputusan yang dibuat oleh mereka yang masih menghuni di Kampung Buah Pala untuk menolak sebarang tawaran pampasan dan melawan kes mereka di mahkamah.

Sekiranya Kerajaan Negeri tidak bersimpati dengan rintihan penduduk di situ, maka syarikat pemaju berkenaan sudah tentu telah berjaya mengusir penduduk-penduduk pertengahan tahun lalu sebaik sahaja mereka memperolehi perintah mahkamah.

Pengusiran tersebut berjaya disekat kerana usaha-usaha yang diambil oleh P. Ramasamy selaku Timbalan Ketua Menteri II dan Abdul Malek selaku Ahli Exco Pulau Pinang yang menghalang syarikat pemaju daripada memasuki perkampungan tersebut dengan jentolak beberapa kali di pertengahan tahun lalu.

Oleh yang demikian, kesemua pihak mestilah sedar bahawa hanya kerana usahausaha yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat, penduduk Kampung Buah Pala masih berupaya menghuni di kawasan itu.

Tan Sri Koh Tsu Koon mesti menjelaskan sepenuhnya mengapa beliau menjual Kampung Buah Pala dengan harga RM10 sekaki persegi pada tahun 2007 tanpa rundingan dengan penghuni-penghuni di sana.

Tanah tapak Kampung Buah Pala yang merupakan milik Kerajaan Negeri telah diberikan kepada Koperasi Pegawai Kerajaan Pulau Pinang sebanyak dua kali oleh Exco Kerajaan BN Pulau Pinang yang diketuai oleh Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon pada 18 Ogos 2004 dan 8 Jun 2005 dengan premium berharga RM6.42 juta atau RM20 sekaki persegi.

Saya tidak memahami rasionalnya Kerajaan Negeri BN meluluskan projek ini tanpa berunding dengan penduduk-penduduk mahupun menjualnya pada harga serendah itu.
Lanjutan daripada itu, Exco di bawah Tan Sri Dr Koh Tsu Koon telah mengurangkan premium sebanyak 50% kepada RM3.21 juta atau RM10 sekaki persegi, mengikut 2 cadangan Timbalan Ketua Menteri dari UMNO.

Koh Tsu Koon perlu menjelaskan perkara ini kepada penduduk Kampung Buah Pala mengapa beliau menjual kampung tersebut pada harga yang murah iaitu hanya RM10 sekaki persegi pada 2007 apabila harga pasaran di kawasan perdana tersebut berkali-kali ganda dan jualan dibuat tanpa sebarang rundingan dengan penduduk.

Dalam usahanya untuk membantu penduduk Kampug Buah Pala, Kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak patut dipersalahkan dan menjadi sasaran oleh Hindraf.

Masalah ini berpunca daripada BN, Gerakan, MIC, UMNO dan MCA yang menjadi dalang, mengabaikan kepentingan penduduk kampung, dan menjual tanah Kampung Buah Pala.
Kerajaan Negeri Pulau Pinang berasa kecewa atas tindakan Hindraf yang tidak bertanggungjawab kerana mensasar Kerajaan Negeri Pulau Pinang atas tindakan yang diambil oleh syarikat pemaju dalam pengusiran penduduk di Kampung Buah Pala.

Hindraf mahukan Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk bertindak melawan perintah mahkamah yang diperolehi oleh syarikat pemaju bagi mengusir penduduk di situ. Perkara ini adalah sesuatu yang tidak dapat dilakukan oleh Pakatan Rakyat yang mentadbir di bawah kedaulatan undang-undang dan terpaksa akur kepada perintah mahkamah yang dikeluarkan.

Selain itu, timbul cadangan supaya Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengambil tanah tersebut secara paksaan bagi tujuan awam di bawah Akta Pengambilan Tanah. Tetapi dengan melakukan sedemikian, pihak syarikat pemaju sahaja yang akan mengaut keuntungan yang banyak tanpa perlu membelanjakan sesen pun.

Sememangnya Kerajaan Negeri Pulau Pinang mahukan penyelesaian yang baik, tetapi pengambilan tanah secara paksaan sepertimana yang dicadangkan itu akan melibatkan kos raksaksa di luar kemampuan kewangan Kerajaan Negeri. Kos pampasan yang terlibat bukan sekadar jutaan ringgit atau puluhan jutaan ringgit, tetapi jauh lebih tinggi lagi!

Jelas sekali bahawa Hindraf tidak dapat membezakan siapakah rakannya dengan membandingkan Kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang dengan tindakan-tindakan zalim UMNO yang merobohkan kuil-kuil Hindu. Kita tidak nampak pun Hindraf menganjurkan protes besar-besaran terhadap perobohan beberapa kuil Hindu di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Kerajaan Pulau Pinang tidak sepatutnya dipersalahkan atau menjadi sasaran Hindraf bilamana kita sedang cuba membantu seberapa yang boleh dan tidak terlibat dalam perobohan mana-mana kuil Hindu di Pulau Pinang.

Mengapakah Hindraf tidak mengadakan demonstrasi terhadap UMNO atau Gerakan, MCA mahupun MIC yang menjadi dalang di sebalik isu Kampung Buah Pala?
Sikap seperti ini mencetuskan syak wasangka samada berkemungkinan Hindraf kini telah dipengaruhi MIC dan BN apabila mereka sepatutnya berjuang dalam mempertahankan perobohan kuil-kuil bukannya menentang Kerajaan Pulau Pinang yang sedang berusaha mencari jalan penyelesaian yang adil bagi penduduk Kampung Buah Pala.

Hindraf perlu mengiktiraf usaha-usaha yang telah dilakukan oleh Kerajaan Pulau Pinang untuk masyarakat India, kuil-kuil dan sekolah-sekolah rendah Tamil.
Kami bukan hanya mempunyai Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang kaum India yang pertama di Malaysia, malah kesemua 28 sekolah rendah Tamil telah diberi peruntukan tahunan sebanyak RM1.5 juta sama seperti yang diperolehi oleh sekolah rendah kebangsaan Cina, Sekolah Agama Rakyat, sekolah wawasan dam sekolah menengah bebas Cina.

Selain itu, Pulau Pinang telah mendirikan papan-papan tanda jalan (road signs) berbahasa Tamil yang pertama di negara ini bersama-sama tanda jalan dalam Bahasa Arab, Cina dan Inggeris di Georgetown. Sedangkan Hindraf tidak pernah membangkitkan perkara papan tanda jalan berbahasa Tamil.

Dengan menghentam Kerajaan Pulau Pinang, secara tidak langsung Hindraf membantu UMNO dan BN dengan meletakkan kesemua kejayaan yang diusahakan oleh Kerajaan Pulau Pinang dalam keadaan berisiko.

Kita mungkin tidak ada lagi Timbalan Ketua Menteri II berkaum India, tiada lagi peruntukan dana untuk sekolah-sekolah rendah Tamil dan tidak ada lagi papan tanda jalan berbahasa Tamil.
Hindraf sepatutnya rasional dan bukannya bertindan secara emosi dan marah, dan patutlah mengkaji semula siapakah musuh dan rakan sebenar masyarakat India.
Apa yang lebih mustahak ialah untuk Kerajaan Negeri Pulau Pinang melayan masyarakat India samarata bersama masyarakat Cina dan Melayu sebagai warga Malaysia, di mana pemimpin Cina boleh menjaga masyarakat Melayu dan pemimpin Melayu dapat menjaga kebajikan masyarakat Cina.

Malah pemimpin India juga mampu untuk menjaga masyarakat semua kaum. DAP dan kerajaan Pakatan Rakyat tidak akan tunduk kepada BN atau diintimidasikan oleh BN, UMNO mahupun Hindraf yang melihat segala masalah daripada sudut sempit kaum Cina, India atau Melayu.
DAP dan kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang percaya bahawa isu-isu India bukannya masalah masyarakat India, isu-isu masyarakat Cina bukanlah masalah kaum Cina mahupun isu-isu Melayu bukanlah masalah kaum Melayu. Kami menganggap semua masalah sebagai isu rakyat Malaysia.

Kita perlu bersatu sebagai rakyat Malaysia di bawah prinsip keadilan, kebenaran, kebebasan, demokrasi dan kebajikan rakyat bagi memastikan kita melawan rasuah dalam usaha menjana pertumbuhan dan kemakmuran di samping memastikan setiap rakyat dapat berkongsi keuntungan dengan adil.

Sungguhpun kami berasa kecewa terhadap kenyataan Hindraf yang mengutuk secara melulu terhadap Kerajaan Negeri Pulau Pinang, pemimpin-pemimpin Hindraf mempunyai hak di bawah peruntukan hak asasi manusia untuk berhimpun secara aman dalam membangkitkan isu yang mereka prihatin.
Saya telah pun mengarahkan pegawai-pegawai saya supaya menghormati hak-hak mereka dan menerima sebarang memorandum yang dihantar selaras dengan prinsip tanpa keganasan Mahatma Gandhi.
Saya juga menyeru pihak berkuasa polis supaya tidak mengambil sebarang tindakan yang akan membawa kepada sebarang kejadian yang tidak diingini.
Kerajaan Negeri Pulau Pinang juga tidak akan terjejas oleh tindakan-tindakan penduduk yang menuduh Kerajaan Negeri sungguhpun pelbagai bantuan telah dihulurkan. Kerajaan Negeri akan terus membantu penduduk-penduduk Kampung Buah Pala, dan akan membantu sekiranya penduduk yang daftar ingin menerima tawaran pampasan sehingga RM200,000 seisi rumah daripada syarikat pemaju Kampung Buah Pala.

Setakat ini, Kerajaan Negeri juga tidak memberi sebarang kelulusan mahupun persetujuan kepada syarikat pemaju untuk merobohkan mana-mana bangunan.
Sebarang tindakan sedemikian adalah atas keputusan syarikat pemaju sendiri mengikut perintah dan kuasa Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Persekutuan.

LIM GUAN ENG