Saturday, April 4, 2009

TAN SRI KHALID MAU NAJIB SEBAGAI PM YANG ADIL DAN PROFESIONAL.....!!!

KENYATAAN AKHBAR
JUMAAT, 3 APRIL 2009

SELANGOR MENDAMBAKAN PERDANA MENTERI
“YANG ADIL DAN PROFESIONAL”


SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak kerana dilantik sebagai Perdana Menteri Ke-6. Bagi pihak rakyat negeri Selangor, Pentadbiran Kerajaan Negeri mendoakan kesejahteraan Datuk Seri Najib dan semoga beliau dapat mentadbir urus negara Malaysia dengan lebih adil dan profesional.

Dalam hal mentadbir urus negara Malaysia ini, Kerajaan Negeri Selangor berharap Datuk Seri Najib sentiasa menghormati konsep persekutuan sebagaimana dinyatakan dalam Perlembagaan Persekutuan 1956, yang dengan jelasnya menyatakan hak-hak kerajaan negeri dalam hubungan dengan Kerajaan Persekutuan.

Justeru itu, dasar-dasar baharu perdana menteri nanti dan keputusan-keputusan yang dibuat hendaklah tidak dipengaruhi oleh perbezaan politik di peringkat Negeri yang berbeza daripada dasar-dasar di peringkat Persekutuan.

Hubungan antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan memang dilihat agak aneh di Malaysia, namun begitu konsep sedemikian berjaya dilaksanakan di negara-negara Komanwel lain yang maju seperti Australia, Canada, New Zealand dan India.

Dalam aspek ekonomi, Kerajaan Negeri Selangor percaya tugas utama dan terpenting Datuk Seri Najib tentunya untuk mengurus ekonomi Malaysia bagi memastikan negara ini berjaya menghalang impak kegawatan, sebaliknya menyuburkan pertumbuhan bagi masa hadapan negara yang lebih aman dan sejahtera.

“Secara peribadi, saya percaya Datuk Seri Najib mempunyai permulaan yang baik sebagai perdana menteri kerana kerjaya beliau dipayungi legasi ayahanda beliau, Allayarham Tun Abdul Razak bin Hussein, Perdana Menteri Ke-2, yang banyak berjasa terhadap pembangunan Malaysia,” kata Tan Sri Abdul Khalid.

Wassalam.

SEKRETARIAT AKHBAR
PEJABAT DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR.

No comments: