Friday, May 15, 2009

Pelancaran Mesra Usia Emas dan TAWAS di Lembah Pantai


Pelancaran Mesra Usia Emas dan TAWAS di Lembah Pantai

Apakah itu Mesra Usia Emas?

1. Di mana BORANG dan bagaimanakah cara untuk menyertai Mesra Usia Emas?

Bermula 1 Oktober 2008, pemohon hendaklah mendapatkan Borang Mesra Usia Emas di Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) di kawasan pemohon tinggal. Sila lihat senarai Pusat Khidmat DUN

2. Apakah tujuan program Mesra Usia Emas ini dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri?

Program Mesra Usia Emas ini bertujuan untuk memberi manfaat dalam bentuk perlindungan bernilai RM 2,500.00 kepada warga emas yang berusia 60 tahun ke atas (yang telah mendaftar secara rasmi), selepas beliau disahkan meninggal dunia. Program ini membuktikan keprihatinan yang tinggi Kerajaan Negeri terhadap rakyatnya, khususnya golongan warga emas.

3. Bilakah tarikh program Mesra Usia Emas ini akan beroperasi secara rasmi?

Program Mesra Usia Emas ini dijangka akan beroperasi sekitar Oktober 2008, dan tertakluk kepada sebarang pengumuman rasmi dari semasa ke semasa . Ia telah dilancarkan secara rasmi pada 20 Jun 2008 yang lalu. Manakala Logo rasmi Mesra Emas pula (seperti yang telah dipaparkan di Laman Web Rasmi Kerajaan Negeri) telah dilancarkan pada 30 Ogos 2008, sempena Sambutan Perayaan Ambang Merdeka, dan Perbarisan dan Perarakan Kemerdekaan ke-51 Peringkat Negeri Selangor

4. Siapakah kumpulan sasar yang boleh menyertai program Mesra Usia Emas ini?

Program ini terbuka kepada semua warga emas di Negeri Selangor yang telah berumur 60 tahun ke atas, DAN
- Lahir di Negeri Selangor ATAU
- Lahir di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebelum 1 Februari 1974 ATAU
- Telah bermastautin di Negeri Selangor sekurang-kurangnya 15 tahun.

5. Apakah manfaat atau faedah yang diperoleh daripada menyertai program ini?

Dalam tempoh 24 jam selepas menerima laporan kematian ahli, ADUN atau wakilnya akan menyampaikan sumbangan wang tunai berjumlah RM1,000 kepada penama yang didaftarkan. Baki RM1,500 akan disampaikan kepada penama yang didaftarkan dalam tempoh 60 hari berikutnya.

Apakah itu TAWAS (Tabung Warisan Anak Selangor)?

1. Apakah yang dimaksudkan dengan TAWAS?

TAWAS adalah singkatan kepada Tabung Warisan Anak Selangor. Tabung ini diwujudkan selaras dengan tawaran Kerajaan Negeri untuk membuka tabung permulaan RM100 bagi setiap anak kelahiran Selangor.

2. Apakah faedah yang akan diterima daripada tabung ini?

Faedah-faedah yang akan diterima adalah seperti berikut:-
a) Setiap anak kelahiran akan diberi RM100 melalui pelaburan di dalam tabung ini.
b) Anak-anak akan dilindungi insurans sehingga berusia 18 tahun.
c) Pada usia 18 tahun, anak-anak ini berpeluang menerima RM1,500 seorang hasil daripada caruman di dalam pelaburan dana ini.

3. Apakah syarat-syarat permohonan tabung ini?

Syarat-syarat permohonan adalah seperti berikut:-

a) Permohonan adalah terbuka kepada Warganegara Malaysia sahaja dan tertakluk kepada tafsiran anak Selangor. Bagi tujuan TAWAS tafsiran anak Selangor adalah seperti berikut:-
“Anak Selangor” bermaksud rakyat D.Y.M.M. Sultan Selangor yang memenuhi kriteria seperti berikut:-

• Warganegara Malaysia; dan
• Lahir di Negeri Selangor atau di luar Negeri Selangor; dan
• Ibu atau bapa lahir di Negeri Selangor; atau
• Ibu atau Bapa lahir di Kuala Lumpur sebelum 1 Februari 1974.

b) Kelahiran mulai 1 Januari 2008 adalah layak untuk memohon. Permohonan hendaklah dikemukakan dalam tempoh enam bulan dari tarikh kelahiran dan bagi kelahiran sebelum tarikh pelancaran, permohonan hendaklah dikemukakan dalam tempoh 6 bulan dari tarikh pelancaran.

No comments: