Tuesday, December 27, 2011

Dilema Najib Andai Anwar Di Penjara


Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sewaktu menyampaikan ucapan di Kongres PKR ke-8, di Johor Bharu, November lalu menyeru supaya gerakan reformasi bagi membebaskan negara dari cengkaman Umno/BN perlu terus digerakkan walaupun beliau akan di penjara.

Manakala tarikh 9 Januari tahun depan akan menjadi satu detik bersejarah yang akan menentukan samaada Ketua Umum PKR itu ke penjara atau tidak.

Keputusan tersebut bukan sahaja dinantikan oleh seluruh rakyat Malaysia malah turut dinantikan oleh seluruh media antarabangsa.

Dikalangan media antarabangsa akan melihat isu yang dibabitkan ke atas Anwar merupakan 'kaedah tradisi'yang dilakukan oleh seluruh pemerintah di dunia untuk menyingkirkan musuh politik mereka.

Kalau Anwar Dibebas...

Membebaskan Anwar dari hukuman penjara akan memberikan persepsi bahawa segala konspirasi untuk menfitnah dan mengaibkan beliau selama ini telah gagal.

Di mata rakyat pula, pembebasan Anwar akan memperjelaskan lagi bahawa Anwar tidak bersalah. Di masa yang sama rakyat akan mengutuk pelbagai 'adegan' samaada pertuduhan yang disabitkan dengan Saiful Bukhari Azlan atau filem prono yang dikaitkan dengan 'skuad' trio Datuk 'T'.

Kesimpulannya, Pembebasan bukan hanya sekadar kemenangan besar terhadap personaliti Anwar sahaja malah kepimpinan serta parti yang beliau wakili turut mendapat kemenangan saikologi.

Atau dalam lain perkataan, seluruh rakyat akan percaya bahawa segala tindak tanduk selama ini adalah perancangan yang sengaja di atur oleh pemimpin-pemimpin Umno/BN untuk mengenakan Anwar.

Namun perencanaan tersebut ternyata membenarkan lagi tanggapan rakyat bahawa rentetan fitnah tersebut sengaja dilakukan oleh kerajaan pimpinan Najib.

Maka tokoh yang akan menjadi bahan telunjuk seluruh rakyat adalah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Sebagai Perdana Menteri dan pemimpin tertinggi negara pula, penolakan rakyat terhadap beliau merupakan pantang larang yang amat mencarik adat seorang pemimpin.

Justeru, diatas fakta inilah juga mungkin Anwar membuat kenyataan bahawa beliau akan di penjara walau dalam apa situasi kebenaran pun.

Dilema Najib

Najib paling takut dilebel sebagai pemimpin terakhir dalam pemerintahan yang lebih 54 tahun diterajui Umno. Ini bukan hanya akan memburukkan keturunan beliau malah seluruh anggota parti akan menuding jari meletakkan kesalahan terhadap beliau sekiranya gagal meneruskan kesinambungan Umno selama ini.

Pengalaman Tun Abdullah Badawi ekoran prestasi buruk BN dalam Pilihan Raya Umum (PRU) 2008 lalu sehingga memaksa beliau melepas jawatan sebagai perdana menteri mungkin masih segar dalam ingatan Najib.

Justeru mengulangi kesilapan Abdullah tidak ubah seperti memasang jerangkap samar untuk mengorbankan diri sendiri.

Kalau Anwar dipenjara ...

Berdasarkan pandangan penganalisa politik dan peramal media dalam maupun luar negara, ramai menyatakan Anwar akan di penjara walau apa pun keadaannya.

Pandangan tersebut bukan berkhilaf kepada kekuatan yang akan membawa kemenangan Anwar memimpin jentera pilihanraya PR ketika menghadapi kempen pilihanraya Umum (PRU) sekiranya beliau bebas. Namun Mungkin juga Najib melihat melepasi persepsi tersebut.

Najib juga sedar samaada Anwar di penjara atau tidak gerakan kebangkitan rakyat akan tetap berlaku.

Kemenangan terbesar pembangkang dalam PRU ke-10 pada 1999 dimana PAS memenangi 32 kerusi parlimen dan DAP 10 kerusi semuanya berkisar kepada isu kebangkitan rakyat kerana simpati dengan Anwar yang dipenjara oleh Dr Mahathir.

Persoalannya apakah dengan sekali lagi membawa Anwar ke penjara akan mengujudkan memontum kebangkitan rakyat yang sama setelah pelbagai isu moral ditimpakan dikepala Anwar dengan pelbagai 'bukti' seperti kes Saiful dan gambar prono.

Apakah dengan menggunakan media-media milik Umno bagi memburukkan imej dan kredibiliti Anwar sudah memadai untuk rakyat mempercayainya lalu menolak Anwar dan PR dalam PRU ke-13 nanti?.

Apakah juga dengan isu liwat dan sex bersama pelacur yang disensaikan dengan penuh bergaya sebelum ini berjaya mempengaruhi rakyat untuk membenci Anwar serta PR yang diterajui beliau?.

Di atas hukum realiti, memenjarakan Anwar akan menambahkan lagi koleksi isu PR untuk kempen menjelang PRU nanti.

Apakah dengan membawa kembali Anwar ke Sungai Buluh akan membolehkan isu NFC yang teruk membelenggu Najib dapat di alih kepada isu penganiayaan pada Anwar.

Di peringkat antarabangsa pula, Najib akan menerima pelbagai tekanan berhubung amalan demokrasi dibawah pimpinan beliau sekiranya ketua pembangkang itu dipenjarakan.

Pilihanraya dan sistem dua parti

Gesaan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini supaya Najib mengadakan PRU pada saat akhir penggal (March 2013) bukan sekadar masej bagi mengelak negeri-negeri PR mengadakan pilihanraya berasingan.

Tetapi disebabkan Dr Mahathir mungkin telah berjaya menghidu sesuatu yang kurang enak berhubung pencapaian BN untuk memenangi PRU 13 nanti.

Perlu di ingat Dr Mahathir adalah seorang yang sangat berpengalaman dalam menghadapi PRU setelah lebih 22 tahun memerintah negara.

Manakala bagi Najib pula, inilah kali pertama beliau akan berhadapan detik paling mencabar dalam kerjaya kepimpinan beliau sebagai pemimpin tertinggi negara.

Apa pun zaman Dr Mahathir dan era Najib situasinya agak berbeza. Era Mahathir pembangkang terdiri dari palbagai parti politik tetapi zaman Najib negara sedang bergerak ke arah sistem dua parti.

Sistem dua parti akan memberi peluang yang lebih besar kepada rakyat untuk menukar dan menggantikan kerajaan. Ini bermaksud sekiranya kerajaan semasa tidak berjaya membantu dan menolong rakyat, rakyat mampu menukarkannya pada pilihanraya akan datang.

Ini disebabkan hanya ada dua parti sahaja yang bertanding, pembangkang dan kerajaan.

Faktor ini jugalah yang merungsingkan Najib dan Dr Mahathir. Mood rakyat untuk menukar kerajaan setelah Umno/BN memerintah lebih 54 tahun telah bergema sejak bermulanya era reformasi jalanan pada 1988.

Sepuluh tahun kemudian, tsunami politik melanda negara. Enam negeri termasuk wilayah persekutuan jatuh ketangan pembangkang.

Survival BN

PRU ke-13 menyaksikan 70 peratus pengundi berdaftar adalah pengundi muda berusia 21 - 40 tahun. Kebanyakan mereka adalah generasi Media Baru yang majoritinya cenderung kepada pembangkang. Manakala selebihnya terdiri dari pengundi atas pagar yang tidak terpengaruh dengan sentimen perjuangan masa lampau serta pengaruh ras dan agama.

Secara langsung generasi ini adalah penentu kerajaan selepas PRU 13.

Kebimbangan besar Najib bukan sekadar untuk mempertahankan Putrajaya semata-mata malah beban yang akan ditanggung selepas kejatuhan Umno/BN selepas lebih 54 tahun menguasai negara lebih memeritkan.

Sebagai sebuah kerajaan baru, Pakatan Rakyat (PR) setentunya akan memastikan segala penyelewengan wang negara dibongkar untuk mengembalikan maruah negara.

Secara tidak langsung segala kepincangan yang berlaku selama 54 tahun Umno/BN memerintah akan diketahui rakyat.

Media Baru

Entah apa anginnya, tiba-tiba pada tahun ini Najib membina facebook dan twitternya. Mungkin diatas sebab baru menyedari pengaruh media baru yang ternyata lebih berkesan dari media milik Umno.

Tapi semua sedia maklum, yang updatenya mungkin sekali sekala Najib tetapi selebihnya agen-agen APCO atau agen-agen penasihat media beliau yang dibayar berjuta-juta ringgit.

Perlu disedari juga BN mempunyai 26 saluran media termasuk radio dan media cetak. Ini tidak termasuk lapan saluran tv di seluruh negara. Apakah saluran media ini masih belum cukup untuk menyebarkan propoganda BN?.

Rakyat menolak media-media ini disebabkan terlalu banyak 'mengampu' dan 'over propoganda' sehingga rakyat jelek untuk menatap media-media kerajaan.

Dalam konteks media baru ini, Pembangkang memang jauh lebih 'advance' jika dibandingkan dengan keselesaan Najib dan BN sebelum ini.

Dengan pelbagai sekatan maklumat dan media yang dilakukan oleh BN kepada pembangkang selama ini telah menjadikan pembangkang lebih maju menggunakan media baru dalam berkomunikasi bagi menyebar maklumat kepada masyarakat awam.

Maka tidak hairanlah pelbagai usaha dilakukan oleh Kementerian Penerangan, komunikasi dan Kebudayaan untuk menyekat pelbagai saluran maklumat untuk disebar kepada rakyat. Ini tidak termasuk pelbagai akta seperti akta penerbitan dan mesin cetak yang semuanya berkisar kepada usaha membelenggu saluran maklumat sampai kepada rakyat.

Begitu juga baru-baru ini kerajaan mahu menubuhkan Majlis Perundiang Media bertujuan memantau bahan-bahan berita di internet.

Kedudukan Malaysia pula jatuh 10 anak tangga kepada 141 dalam Indeks Kebebasan Akhbar Dunia 2010 iaitu yang terendah dalam tempoh sembilan tahun dari senarai 178 negara.

Persoalannya apakah dengan memenjarakan Anwar akan menghalang rakyat dari mendapat maklumat berhubung pelbagai penyelewengan dan salah guna kuasa BN selama ini.

Mungkin juga Najib ada alasan dan jawapannya yang tersendiri bagi memastikan survival politik dan masa depan parti pimpinannya disaat rakyat sedang menolak Umno/BN dari terus menguasai negara.

Miliki rumah mewah, tapi guna wang zakat bayar peguam

(Oleh: Masdar Wahid)

Jamil Khir mampu miliki rumah mewah, tetapi menggunakan wang zakat untuk kos guaman peribadi

KUALA LUMPUR 26 Dis: Menteri hal ehwal Agama, Datuk Seri Jamil Baharom mampu memiliki rumah mewah tetapi menggunakan wang zakat untuk membayar kos guaman peribadi, kata Penolong Setiausaha Angkatan Muda Keadilan (AMK), Mohd Saifullah Mohd Zulkifli.

“Mengapa perlu guna wang zakat, sebagai menteri saya berkeyakinan Datuk Seri Jamil mampu membayar kos guaman itu guna wang sendiri tanpa perlu mengusik walau sesen pun wang zakat.

“Buktinya, beliau mampu pula selenggara rumah mewahnya seperti yang didedahkan sebelum ini,” katanya kepada Keadilandaily.com

Menurutnya, jika seorang menteri yang bertanggungjawab terhadap agama Islam tidak amanah, apatah lagi membabitkan menteri lain seperti skandal National Feedlot Corporation (NFC) yang dimiliki keluarga Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

“Kalau sampai tahap wang zakat pun diseleweng menteri agama Umno, jadi apa nak hairan kalau wang (projek) lembu RM250 juta turut diseleweng syarikat keluarga Ketua Wanita Umno,” soalnya.

Laporan Audit Negara 2010 baru-baru ini mengesahkan RM63,650 dikeluarkan dari dana zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) untuk mendahulukan bayaran khidmat guaman Jamil Khir danKos guaman itu bersabit kes tuntutan qazaf ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menamakan Jamil; pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Datuk Che Mat Che Ali dan ketua pendakwanya, Shamsuddin Hussain sebagai responden.

Meskipun dikembalikan semula, namun tindakan menggunakan wang zakat itu dikecam keras pelbagai pihak, sedangkan pada masa sama Jamil Khir mampu mempamerkan kehidupan mewah beliau.

Suara Keadilan September lalu menyiarkan gambar kediaman mewah Jamil Khir yang baru diubahsuai dan dianggarkan menelan kos jutaan ringgit di Taman Batu Muda, Batu Caves, Selangor.

Pimpinan KEADILAN turut mempersoalkan bagaimana menteri yang baru dilantik tiga tahun oleh Perdana Menteri itu, mampu memiliki kediaman mewah dalam masa singkat.

AL FATIHAH...! PERGINYA SEORANG PEJUANG..!


2 hari lalu perginya seorang pejuang sejati, seorang penggerak Reformis, Parti dan sukarelawan di Parlimen Bandar Tun Razak iaitu sdr Nor Azlan Asmuni.
Anak muda yang baru memasuki usia 40 tahun meninggalkan seorang balu dan seorang anak perempuan berumur 14 tahun. Beliau menghadapi penyakit kencing manis sekian lama. Anggota kaki sebelah kanannya telah pun dipotong, 4 tahun yang lalu.

Sdr Nor Azlan walaupun cacat anggota tidak pernah membataskan diri sebagai OKU untuk menjadi insan biasa.

Pengorbanan beliau menggerakkan jentera KEADILAN terutama PRU12 telah mendapat pengiktirafan MB Selangor,
Tan Sri Abd Khalid Ibrahim. Sehingga gambar kenangan Nor Azlan bersama jentera pilhanraya Bandar Tun Razak mendapat tempat di Tingkat 21, pejabat rasmi Menteri besar Selangor.

Sdr Nor Azlan, sebelum dimasukkan ke hospital 2 bulan lalu telah menggerakkan pasukan Sukarelawan Bandar Tun Razak yang dikenali 3rd Force Volunteer.

3rd Force Volunteer adalah pasukan sukarelawan yang akan membantu jentera pilihanraya PRU13 BTR pada masa akan datang. Yang kini berjaya dianggotai seramai 130 orang.



Saya sangat terkesan mendalam, perginya seorang pejuang yang berjuang dengan IKHLAS untuk menegakkan keadilan dan kebenaran.

Mungkin ALLAH lebih menyayangi beliau.

Semoga roh arwah bersama para syuhada. Amin..!



Ketua Cabang Putrajaya

Sunday, December 18, 2011

INILAH GAMBAR TANAH KELUARGA SHARIZAT YANG BERNILAI RM3,363,507 JUTA

Hari ini jam 2pm..
Jingga 13 telah mengadakan lawatan ke tanah Sharizat di Presint 10 di Putrajaya..

Tanah seluas dua bidang tersebut dibeli melalui akaun National Meat Lives Corporation (NMLC) pada tahun 2009 dengan hargaRM3,363,507 juta..

Di sini di kongsikan beberapa keping gambar lawatan ke tanah tersebut...






inilah lot tanah yang di beli NMLC

inilah lot tanah yang di beli NMLC


Sharizat nak menafikan..?

LAWATAN LADANG LEMBU DI PUTRAJAYA....

Saturday, November 5, 2011

Salam Aidiladha buat semua yang cintakan keadilan..

Cabang KEADILAN Putrajaya mengucapkan Selamat Aidiladha kepada semua Muslimin dan Muslimat khususnya warga Kota Putrajaya. Agar peristiwa pengorbanan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail seperti yang kita ketahui, memberikan kepada kita beberapa nilai, pengiktibaran dan pengajaran-pengajaran tentang pengorbanan. Amin.


Ada tunai haji di Mekah tapi amal rasuah di Malaysia....

TANGKAK: Tidak ada ertinya menunaikan haji di Mekah jika terus menerus mengamal kezaliman dan penindasan kepada rakyat, kata Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Tidak semestinya pergi haji, terhapus semua dosa. Sebab itu, dalam Islam kena ikhlas, ada konsep haji mabrur.

“Jangan zalimi rakyat. Tangkap orang, fitnah orang, ukur kemaluan orang. Ini tidak. Pergi, balik haji – sama saja. Sebelum pergi haji, rasuah. Balik haji pun rasuah.

“Ambil rasuah tapi pergi haji, siap derma lagi,” katanya tanpa menyebut nama mana-mana individu mahupun pemimpin politik pada ceramahnya di Kampung Sri Jaya, Serom 8 Tangkak Johor, malam tadi.

Lebih 1,000 penduduk setempat mengikuti ucapan Anwar sekalipun hujan sepanjang program itu. Turut berucap ialah Pengerusi KEADILAN Johor, Datuk Jui Meng dan Ketua Angkatan Muda KEADILAN, Shamsul Iskandar Mat Akin.

Anwar percaya ibadat haji adalah amalan yang penuh makna dan turut menyatakan beliau sudah sudah dua kali mengerjakan haji selain umrah sekali gus menjawab tohmahan dan fitnah blogger pro-Umno.

Pada ceramah hampir sejam itu, Anwar juga menceritakan kisah Malcolm X yang tertarik dengan Islam apabila melihat persamaan sesama umat hingga meresap ke jiwanya lantaran suasana di Mekah tidak pernah wujud di mana-manapun di pelusuk dunia ini.

“Malcolm X kagum kerana di Mekah, semua baik orang kaya, yang berpangkat mahupun miskin, sama-sama beribadat tanpa sebarang perbezaan darjat,” katanya.

Malclom X atau nama sebenarnya, El-Hajj Malik El-Shabazz adalah pemimpin Islam Afrika yang terkenal di dunia dan meninggal dunia pada 21 Februari 1965.

Ini sama sekali berbeza dengan paparan gambar gelagat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika menunaikan haji baru-baru ini, yang dikelilingi pengawal keselamatan di Mekah, selain menguar-uar pemergiannya ke tanah suci itu melalui media arus perdana.

Tuesday, October 25, 2011

Tarik balik segala sekatan terhadap Aziz Bari


(Oleh: Masdar Wahid)

PETALING JAYA 25 Okt: Biro Mahasiswa KEADILAN mendesak segala sekatan dan tekanan yang dikenakan terhadap Pensyarah Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa (UIAM), Profesor Dr Abdul Aziz Bari ditarik balik serta merta.

Pengarah Biro itu, Mohd Saifullah Mohd Zulkifli berkata, sekatan itu akan menjejaskan kualiti pendidikan negara dan masa depan generasi muda di negara ini.

“Suka kami mengingatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak agar tidak bermain politik dalam isu pengantungan Prof Dr Abdul Aziz Bari.

“Najib dan Pentadbiran Universiti Islam Antarabangsa (UIA) mengumum penggantungan terhadap pakar perlembagaan itu ditarik balik tetapi pada masa sama siasatan oleh SKMM dan Polis masih diteruskan,” katanya dalam satu kenyataan.

Aziz Bari diberi tunjuk sebab oleh universiti itu sejak beberapa hari lalu kerana didakwa “memberikan kenyataan yang bertentangan dengan kepentingan universiti” dan diberi masa sehingga 25 Oktober ini untuk menjawabnya.

UIA juga menggantung tugas Aziz sebagai pensyarah undang-undang sehingga notis selanjutnya dikeluarkan, selain dihalang memasuki pejabatnya di kampus Gombak, sebelum menarik balik keputusan berkenaan semalam.

Ekoran penggantungan sebelum ini, pelbagai pihak terutama mahasiswa dan golongan akademik seluruh negara mengecam tindakan itu.

Jumaat lalu, ratusan mahasiswa melakukan demonstrasi aman di kawasan UIA bagi membantah tindakan Rektor UIA, Prof Dr Zaleha terhadap Aziz.

Kalau hari ini kami MENANG.... Besok juga saya umumkan harga minyak TURUN...!

Sunday, October 2, 2011

PANTUN SELOKA MEWARNAI MATC PUTRAJAYA..


Terlebih dahulu diucapkan ribuan terima kasih kepada semua ahli KEADILAN Putrajaya kerana hadir pada hari ini dalam menyempurnakan tanggungjawab kita sebagai ahli KEADILAN.

Terima kasih kepada Dato' Dr Tan Kee Kwong, Pengerusi Disiplin KEADILAN merangkap Penyelaras KEADILAN Wangsa Maju yang sudi hadir merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Cabang Putrajaya, 2011.

Pengerusi Tetap, Cabang Putrajaya, Tuan Haji Salleh Bakar yang mempengerusi mesyuarat hari ini telah menyediakan pantun khas untuk mesyuarat hari ini baik sewaktu memulakan mesyuarat maupun sewaktu menangguhkan mesyuarat..!

PANTUN

Berenang ikan dalam paya,
Kelihatan juga katak melompat,
Bersatu kita di Cabang Putrajaya,
Semoga kejayaan kita cepat.

Cari rotan dapat akar,
Dapat juga tongkat Ali,
Tahniah Onn Abu Bakar,
Kepimpinannya diyakini semua ahli.

Pergi Kelantan beli serunding,
Bawa ke rumah terus dimakan,
Urusan parti elok berunding,
Keutuhan cabang perlu diutamakan.

Mengail ikan di atas titi,
Jatuh umpan ke dalam laut,
Kewajipan kita menguatkan parti,
Arahan membina kita ikut.


PANTUN PENUTUP

Terbang rendah burung tempua,
Turun ke sawah makan padi,
Terima kasih kepada semua,
Dengan parti taburlah budi.

Sarang tempua jadi hiasan,
Diminati pelancung luar negara,
Berbaik-baik sesama insan,
Kebajikan rakyat diambil kira.

Ikan laut ikan darat,
Sedap bila dimasak kari,
Kuatkan parti setelah bermesyuarat,
Dengan ilmu hiasilah diri.

Ikan Yu ikan Pari,
Dalam laut tempat berenang,
Elok sentiasa muhasabah diri,
Menghadapi ujian tetap tenang.

Oleh: HMS Abu Bakar

Thursday, September 29, 2011

Pakatan: Hudud hanya jika ada konsensus semua parti

Cadangan PAS untuk melaksana undang-undang hudud ke atas orang Islam di Kelantan masih belum dapat diputuskan oleh majlis pimpinan Pakatan Rakyat walaupun hangat dibincangkan dalam mesyuaratnya malam ini.

Bagaimanapun, ketua umum Pakatan Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, majlis pimpinan itu menghormati niat kerajaan Kelantan untuk melaksanakan undang-undang berkenaan.

hudud, pakatan meetingMajlis itu juga menghormati pendirian DAP yang menentang keras cadangan berkenaan, kata Anwar kepada media selepas mempengerusikan mesyuarat itu di ibupejabat PAS, Kuala Lumpur.

Kesepakatan yang berjaya dicapai dalam mesyuarat selama tiga jam, lewat malam ini, hanyalah berhubung kesepakatan untuk PAS dan DAP meneruskan perbincangan bagi melaksanakan hukum hudud dan juga mempertahankan dasar-dasar bersama.

"Pendiriannya jelas bahawa DAP menentang (cadangan melaksana hudud) dan PKR serta PAS menghormatinya.

"Mesyuarat juga memperakui dan menghormati perbedaan ideologi setiap parti dalam Pakatan Rakyat sebagai permuafakatan demokratik, termasuk pendirian PAS berkenaan hukum syariah," katanya lagi.

Jelasnya, Pakatan jelas menghormati hak dan kehendak PAS untuk melaksana hudud, namun parti Islam itu masih terikat dengan dasar bersama yang dipersetujui serta manifesto dalam Buku Jingga.

"Mesyuarat juga memperakui kewujudan Enakmen Syariah II Kelantan 1993 dan Enakmen Jenayah Syariah Terengganu 2003," tambahnya.

Malah, kedua-dua enakmen tersebut dibentuk oleh dua negeri berkenaan ketika PAS, DAP dan PKR masih belum membentuk Pakatan, katanya lagi.

Namun, terdapat keperluan untuk merujuk perkara itu ke majlis pimpinan Pakatan Rakyat kerana ia melibatkan pindaan perlembagaan, tambahnya.

Bagaimanapun, ditanya sekiranya Pakatan akan meminda perlembagaan bagi usaha itu seandainya ia berjaya membentuk kerajaan persekutuan, Anwar berkata tiada persetujuan bersama dicapai.

Katanya lagi, mesyuarat juga telah menerima penjelasan berhubung pendirian Kelantan dalam isu berkenaan yang disampaikan anggota exconya, Datuk Takiyuddin Hassan yang mewakili menteri besar.

Turut hadir penasihat DAP, Lim Kit Siang; pengerusi DAP, Karpal Singh; presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Wednesday, September 21, 2011

60,000 IC palsu hanya sebahagian kecil – KEADILAN Sabah

(Oleh: Nabihah Hamid)

SABAH: KEADILAN Sabah menyifatkan pendedahan laman web WikiLeaks bahawa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pernah mengeluarkan 60,000 kad pengenalan palsu di Sabah, hanya sebilangan kecil.

Ini kerana sebelum ini ramai pimpinan di Sabah mendedahkan jumlah yang lebih besar melibatkan projek IC pada zaman pentadbiran Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ia termasuk kenyataan Aktivis hak asasi, Dr Chong Eng Leong bahawa 600,000 pendatang tanpa izin mendapat status kewarganegaraan tetap melalui projek IC di negeri itu sehingga 2005.

“Jika diikutkan, angka 60,000 itu hanya segelintir, kerana jika dilihat pada pertumbuhan penduduk di Sabah dari tahun 80an hingga 90 an, ia bertambah sebanyak 86 peratus,” kata Setiausaha Majlis Pimpinan KEADILAN negeri, Dr Roland Shia Ming Shen.

Kata Roland, menurut www.sabah.org.my, statistik menunjukkan seramai 929,299 penduduk di Sabah pada 1980 meningkat kepada 1,734,685 penduduk pada 1991.

“Isu-isu seperti ini penting untuk rakyat sabah kita tak mahu orang asing masuk menggunakan ‘pintu belakang’ dan jalan mudah untuk menjadi warganegara,” katanya.

Sementara itu Timbalan Setiausaha Agung Ignatius Darell Leiking berkata perlunya penubuhan segera Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyelesaikan masalah ini.

“Bagi saya sebagai penduduk Sabah, pemberian kewarganeragaan ini merupakan satu pengkhianatan bagi kami,” ujar beliau.

Justeru katanya, Buku Jingga Sabah yang dilancarkan Pakatan Rakyat berhasrat untuk menyelesaikan kemelut pendatang asing tanpa izin yang berleluasa di Sabah.

“Kalau mereka masuk dengan sah, kita boleh terima tapi ia menjadi masalah kepada yang masuk tanpa permit dan isu pemberian IC pada PATI masih lagi tidak terjawab,” katanya.

Monday, September 12, 2011

KENYATAAN MPN MENGENAI KEMERDEKAAN MENGHINA MARTABAT DIRI...


KENYATAAN MEDIA

Petaling Jaya, Selangor, 12 September 2011.

Parti Keadilan Rakyat merakamkan rasa terkejut dan rasa aneh atas kenyataan sekumpulan ahli akademik yang diketuai Prof Dr. Zainal Kling atas nama Majlis Profesor Negara yang menegaskan bahawa Negara yang kita cintai ini hakikatnya tidak pernah dijajah oleh British. Sebaliknya mereka mengatakan bahawa kehadiran British adalah semata-mata sebagai pelindung berasaskan perjanjian dengan raja-raja Melayu di ketika itu.

Sesungguhnya, kita melihat kenyataan tersebut mempunyai implikasi yang besar terhadap kedudukan kemerdekaan negara yang telah diraikan sejak 54 tahun lalu. Ia menimbulkan persoalan baru, apakah kita ini benar-benar merdeka dan untuk apakah kita meraikan kemerdekaan? Dari satu sudut, ia seolah-olah memperbodohkan rakyat dengan menganggap bahawa rakyat tidak dapat membezakan hakikat bahawa Negara kita ini pernah dijajah atau benar-benar dilindungi oleh British.

Kenyataan tersebut jelas bercanggah dengan semua fakta sejarah yang ada. Umum menyedari bahawa istilah ‘protectorate’ yang diguna penjajah adalah strategi licik untuk mengelakkan penentangan rakyat sebagaimana yang dialami di negeri-negeri lain. Sebab itulah British telah meletakkan residen sebagai penasihat yang nasihatnya terpaksa diikuti oleh raja-raja Melayu.

Dengan kaedah ini, British telah menguasai segala sumber ekonomi dan segala urusan negeri-negeri yang dikuasainya. Bukankah ini namanya penjajahan? Bukankah ini yang mencetuskan penentangan pejuang-pejuang Melayu silam seperti Dato Maharajalela, Dato Bahaman, Tok Janggut, Rosli Dhoby, Abdul Rahman Limbong, Dr. Burhanuddin Helmi, Ahmad Boestamam, Ibrahim Yaakob, Abu Bakar Al-Bakir, Mat Indera dan lain-lainnya?

Parti Keadilan Rakyat melihat bahawa kenyataan kontroversi di atas hanyalah merupakan langkah amat terdesak pendokong UMNO dan para kuncunya dalam menghadapi kebangkitan dan kesedaran rakyat dalam menghadapi PRU 13 akan datang.

Sehubungan hal ini, kita amat kesal dengan tindakan beberapa ahli akademik yang sanggup menjatuhkan nilai diri sebegitu rupa sehingga sanggup membenarkan apa yang dilakukan penjajah demi menjamin survival tuan-tuan politik mereka. Dalam peradaban keilmuan, mereka yang berilmulah yang seharusnya member nasihat kepada ahli politik, bukan sebaliknya.

Parti Keadilan Rakyat menyeru agar semua kaum intelektual dan ahli akademik bangun bersama mengembalikan martabat ilmu dengan menyatakan pendirian untuk menjelaskan kekeliruan yang ditimbulkan demi membela seluruh rakyat berasaskan prinsip kebenaran dan keadilan.

Dr Muhammad Nur Manuty

Ketua Penerangan

Tel: 019-332-8302

Email: dr_manuty@hotmail.com

Saturday, August 27, 2011

SELAMAT HARI RAYA EIDUL FITRI, 1 Syawal 1432H















Saya dan barisan Ahli Jawatankuasa mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri kepada semua warga Putrajaya khususnya dan seluruh rakyat Malaysia amnya.

Kepada warga Putrajaya yang balik ke kampung halaman, kami ucapkan selamat pulang dan berhati-hati di jalanraya. Dan jangan lupa sampaikan berita kebenaran kepada rakan taulan dan sanak saudara. Maaf Zahir & Batin.

Onn Abu Bakar
Ketua Cabang

Anwar Difitnah Dan Bukan Pemecah Belah Perpaduan Melayu – Islam




Kenyataan Media

Parti Keadilan Rakyat mengalu-alukan kenyataan Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria di media massa bahawa punca perpecahan Melayu-Islam adalah kerana Kerajaan yang lemah, tidak amanah dan rasuah. Beliau juga menyatakan bahawa demi menjaga perpaduan Melayu, pernah menasihati Dr Mahathir agar tidak memecat Timbalanya ketika itu iaitu Dato Seri Anwar Ibrahim serta membuat tuduhan liwat tanpa membawa empat orang saksi.

Dengan kenyataan di atas, jelaslah bahawa apa yang ditanggapi sebagai perpecahan Melayu-Islam pada masa kini adalah berpunca dari permainan politik kotor para pemimpin UMNO sendiri bermula dari Dr. Mahathir Mohammad (Mantan Presiden UMNO dan Perdana Menteri Malaysia). Kenyataan ini juga menjelaskan dengan terang bahawa perpecahan orang Melayu pada masa kini bukan di sebabkan oleh Dato Seri Anwar Ibrahim dan Pakatan Rakyat seperti yang digembar-gemburkan selama ini.

Kenyataan Mufti Perak tersebut juga mengesahkan pendirian kita selama ini bahawa tuduhan liwat ke atas Dato Seri Anwar Ibrahim adalah tidak sah dan fitnah semata-mata untuk menjatuhkan beliau sebagai pemimpin politik harapan orang Melayu-Islam. Adalah jelas bahawa pemecatan Anwar bukan kerana faktor moral tetapi konspirasi jahat Dr Mahathir Muhammad dan para kuncunya.

Dengan pendedahan yang dibuat ini, rakyat perlulah membuka mata dan menyatakan sikap menolak dengan tegas fitnah yang dilemparkan ke atas Dato Seri Anwar Ibrahim. Malah, semua yang cintakan keadilan perlulah bersama-sama bertanggungjawab dan bertindak untuk membela beliau dari segala kezaliman dan pembohongan berterusan sejak lebih satu dekad yang lalu.

Justeru, bersempena dengan hari-hari terakhir bulan Ramadan yang mulia dan padanya diturunkan kitab suci al Qur’an, kita menyeru para pemimpin UMNO supaya melakukan muhasabah diri dan menghentikan kezaliman ke atas DSAI demi perpaduan ummah dan seluruh masyarakat Malaysia amnya. Kita berkeyakinan penuh bahawa selagi kezaliman terhadap DSAI tidak dihentikan, isu perpaduan Melayu-Islam tidak akan dapat diselesaikan secara tuntas.

Dr Muhammad Nur Manuty

Ketua Penerangan