Friday, March 13, 2009

Kemukakan Bukti Jika Datuk Bandar dan YDP PBT Enggan Kerjasama...!!!
Thursday, 12 March 2009 •

KUALA LUMPUR, 12 Mac - (SK): Menteri Besar Selangor Abdul Khalid Ibrahim mengesa rakyat supaya melaporkan jika ada mana-mana Datuk Bandar, Yang DiPertua, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Ahli Parlimen dan Ahli Majlis yang enggan bekerjasama.

Kerajaan negeri akan bertindak secara adil dan menyiasat aduan yang diterima secara keseluruhan dan akan memberikan kerjasama dalam menjayakan dasar-dasar kerajaan Pakatan Rakyat.

Beliau berkata pretasi mereka sentiasa dipantau melalui mesyuarat berkala setiap bulan yang dipengerusikan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Ronnie Liu.

“Kita menggalakkan ahli-ahli majlis kemukakan aduan sama ada secara bertulis atau lisan dan bukti yang jelas agar kerajaan tempatan dapat diuruskan dengan sempurna,” katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor ke-12 semalam.

Khalid berkata dalam masa sama kerajaan negeri akan membuat kajian semula tentang keberkesanan pentadbiran Datuk Bandar dan YDP. Katanya, kertas penyelidikan mengenai perkara itu sudah mula dikumpul.

“Saya jangkakan sebelum akhir bulan Mei kita akan kemukakan beberapa keputusan dari segi bagaimana pentadbiran Ahli Majlis dan pemantauan atas usaha-usaha yang dijalankan oleh Datuk Bandar dan YDP,” katanya.

Sementara itu, satu penyelidikan akan dibuat bagi membantu kerajaan negeri membuat keputusan mengenai rancangan memperkenalkan semula pilihan raya kerajaan tempatan.
Menurut beliau, kerajaan negeri di bawah Jawatankuasa Tetap Kajian dan Penyelidikan telah memperuntukkan RM20,000 bagi penyelidikan itu yang dijangka selesai pada penghujung Mac ini.

No comments: