Friday, March 6, 2009

KENYATAAN AKHBAR: RANGSANGAN BAHARU PAKEJ EKONOMI UNTUK NEGERI SELANGOR


KENYATAAN AKHBAR
4 MAC 2009
RANGSANGAN BAHARU PAKEJ EKONOMI UNTUK NEGERI SELANGOR

SHAH ALAM: Baru-baru ini, Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) meramalkan Malaysia sedang berada di ambang kemelesetan. Sebagai penyumbang terbesar kepada ekonomi Malaysia, negeri Selangor kini bersedia mengambil tempat di hadapan dalam usaha membantu merancakkan ekonomi negara dan pada masa sama menyeimbangi keadaan ekonomi yang tidak menentu.

Bagi merealisaikan pertimbangan tersebut, mesyuarat Ahli-Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor(AMKN) hari ini mengenal pasti lima bidang utama untuk mencipta pemangkin pembangunan ekonomi Selangor. Lima bidang tersebut:

1. Pemulihan dan pembersihan Sungai Klang yang melibatkan pembangunan kawasan perumahan di sepanjang sungai dan tanah rezab.
2. Perluasan sistem pengangkutan bagi seluruh negeri Selangor termasuk perluasan sistem tarnsir aliran ringan (LRT).
3. Usaha menaik taraf dan menggantikan aset air berikutan pengambilalihan aset air Selangor oleh Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB)
4. Pembaharuan aktiviti di bandar, iaitu menumpukan usaha terhadap pembangunan semula kawasan terbiar termasuk di Petaling jaya dan Klang.
5. Pembangunan semula projek-projek perumahan yang terbengkalai.

Lima bidang usaha yang utama ini dijangkakan mampu mencipta peluang pelaburan yang melebihi RM50 bilion dan menyediakan lebih 15 ribu peluang pekerjaan.Kerajaan Negeri percaya inisiatif ini dapat memberikan peluang sewajarnya kepada Industri Kecil dan Sederhana (SMI), iaitu sektor yang paling teruk terjejas akibat kegawatan ekonomi sekarang.

Usaha ini merupakan fasa pertama dalam rancangan ekonomi baharu negeri Selangor untuk merangsang pembangunan ekonominya. Negeri Selangor dijangka meneroka bidang-bidang lain termasuk meluaskan sistem jaluran lebar (broadband) dan sistem tanpa wayar (wireless) ke seluruh negeri Selangor di samping membangunkan Pulau Indah.

Bagi memastikan pakej ini menempa kejayaan, Kerajaan Negeri memerlukan kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan dan sektor swasta dari dalam dan luar negara. Kerajaan Selangor hendak menginisiasikan perbincangan dengan Unit Perancangan Ekonomi (EPU) dan agensi-agensi kerajaan lain dalam perancangan dan peleksanaan usaha-usaha tersebut. Kerajaan Selangor juga hendak melibatkan Majlis Perniagaan Selangor dan kumpulan perniagaan lain yang berminat menyertai perbincangan ini.

Di samping usaha ini, kerajaan Selangor sudahpun menjalankan beberapa langkah bagi menghadapi isu pemberhentian pekerja, misalnya dengan melancarkan pendaftaran dalam talian (on-line) bagi mereka yang diberhentikan kerja atau sedang mencari pekerjaan.

Dengan yang demikian, Kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor sangat-sangat berharap agar Kerajaan Persekutuan bersedia untuk menyokong usaha-usaha murni ini kerana kita percaya pembangunan ekonomi mesti merentasi semua perbezaan politik demi melindungi kebajikan rakyat seluruhnya.

SEKRETARIAT AKHBAR
PEJABAT DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR

No comments: