Monday, March 30, 2009

WACANA EKONOMI UMMAH 2009
“KRISIS EKONOMI SEJAGAT: CABARAN DAN HALUAN”
UCAPTAMA OLEH : YB DATO’ SERI ANWAR IBRAHIM
DI UNIVERSITI INDUTRI SELANGOR (UNISEL)
28 Mac 2009 / 1 Rabiulakhir 1430



Saya hargai penghormatan yang diberikan untuk menyampai ucaptama dalam program “Wacana Ekonomi Ummah 2009” bertajuk “Krisis Ekonomi Sejagat: Cabaran & Haluan.” Tahniah kepada penganjur Dewan Perdagangan Islam Malaysia cawangan Selangor bersama UNISEL dengan sokongan Kerajaan Negeri Selangor.

Para pakar ekonomi sedang menganalisis dan membedah punca kegawatan ekonomi sejagat yang tercetus akibat dari krisis kewangan dan ekonomi Amerika Syarikat ini. Umumnya mereka merumuskan kegawatan tersebut sebagai berkaitan dengan “greed and aversion to risks”- tamak haloba dan keasyikan tanpa mengambil kira risiko terhadap dana rakyat yang melabur sebagai salah satu punca tidak dapat disangkal lagi.

Ramai perencana serta pengurus ekonomi juga kewangan tersohor seumpama Alan Greenspan tersentak. Beliau mengakui pengalaman dan ilmu selama setengah abad tidak mampu membantu serta mencakupi bagi menyelesaikan serta memahami krisis mutakhir ini.
Beliau merupakan antara pemuka ekonomi yang berbicara dengan yakin di samping mengingatkan dunia bahawa lonjakan pasaran modal dekad 90an sebelumnya didorong oleh keghairahan berlebihan- irrational exuberance-, bukannya bersendikan dari asas kekuatan ekonomi yang kuat.

Pengukur kekuatan syarikat yang disenaraikan di Bursa Saham umpamanya haruslah prestasi dan keupayaan syarikat. Tetapi prinsip tersebut diketepikan dan dagangan syarikat disandarkan dengan perjudian; maka bursa saham beralih seolah kasino baru.

Krisis Kewangan dan Ekonomi Global yang melanda sekarang harus meyakinkan kita bahawa pembangunan ekonomi tidak dapat dipisahkan dari isu akhlak dan etika. Inilah yang dikemundangkan oleh ulama dan sarjana Islam bahawa paksi pembangunan dan pertumbuhan berkait rapat dengan prinsip asas pembangunan insan seutuhnya ke arah hasanah dan ketakwaan.

Demi diri manusia dan Yang menyempurnakan kejadiannya (dengan kelengkapan yang sesuai dengan keadaannya);

Serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya kepada bertaqwa; -

Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya - yang sedia bersih - bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan),

Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya - yang sedia bersih - itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat). Surah Asy Syams ayat 7-10

Tanpa berpaksikan prinsip tersebut, maka amalan korporat tercemar; lebih lagi manakala bersekongkol dengan penguasa rakus. Amanah rakyat dikhianati. Masih tersemat dalam ingatan, bagaimana keras tempelak Bapak Mohammad Natsir, pemimpin umat serantau, terhadap pemimpin Indonesia ketika itu yang ghairah menjana pertumbuhan dengan mengenepikan prinsip keadilan dan akhlak serta membenarkan penindasan, juga menghalalkan kefasadan sosial,­­ “ membangun sambil merobohkan”, yakni membangun industri dan gedung tetapi dalam masa yang sama merelakan penindasan dan meruntuhkan akhlak.

Arakian tidak janggal lagi jika kita kembali kepada landasan dan meneruskan wacana ekonomi yang menjana pertumbuhan negara dan pembangunan insan.

Benar, kedudukan ekonomi sejagat mutakhir ini tidak membantu, namun ini tidak menjadi alasan kepada pengurusan ekonomi negara menjadi tidak bermaya serta kaku. Kita tidak boleh menafikan kenyataan antara sebab ekonomi sejagat dan negara Malaysia melemah ialah kerana permasalahan sistemik yang mencakup isu keyakinan, prinsip keadilan serta akhlak.

Justeru pengurusan ekonomi seharusnya mempunyai keupayaan untuk lebih pantas bertindak memulihkan keyakinan dan melibatkan perubahan menyeluruh dan sistemik.

Kelemahan dan kelekaan pengurusan ekonomi negara ini menyebabkan kita terjerumus, dengan apa yang disifatkan oleh John Maynard Keynes dalam The Great Slump of 1930 sebagai:

Hari ini kita menjerumuskan negara ke dalam kekalutan yang dahsyat (colossal muddle), kerana kegagalan mengawal mekanisma yang sebegitu halus, serta tidak mampu kita fahami. Hasilnya, kita berkemungkinan besar kerugian untuk satu jangka masa yang panjang.
bersambung.....

No comments: