Tue | Oct 27, 09 | 4:26:16 pm MYT | |||||||
KUALA LUMPUR, 27 Okt: 28 ADUN Pakatan Rakyat Perak hari ini mengesahkan kehadiran ke sidang DUN esok setelah mendapat jaminan daripada pihak polis bahawa keselamatan mereka akan dijaga.
Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Pakatan Rakyat (PRBBC) Khalil Idham Lim berkata, mereka akan hadir berdasarkan notis panggilan mesyuarat yang dikeluarkan oleh speaker yang sah. "Kami (ADUN Pakatan) akan hadir atas panggilan speaker yang sah. Saya tak mahu sebut nama, tapi saya tegaskan, speaker yang sah,"katanya ketika dihubungi Harakahdaily. Khalil merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak polis yang memberikan jaminan akan menjaga keselamatan mereka itu. "Saya ucapkan terima kasihlah di atas jaminan itu,"ujarnya. Semalam, Khalil yang juga ADUN Titi Serong berkata kesemua ADUN Pakatan mungkin tidak akan menghadiri sidang DUN Rabu ini jika polis gagal memberi jaminan terhadap keselamatan mereka. "Sebelum ini kami (ADUN Pakatan) minta jaminan daripada pihak polis. Apa jaminan yang mereka boleh bagi untuk pastikan keselamatan kami terjamin," katanya lagi. Menteri Besar Pakatan Perak, Datuk Seri Muhammad Nizar Jamaluddin seperti yang dilaporkan laman web Malaysikini sebelum ini mendakwa beliau mendengar dari sumber-sumber tidak sah tetapi boleh dipercayai bahawa Umno akan mengupah 15 orang "samseng" untuk menggantikan pengawal keselamatan di DUN bagi menghalang "berlaku sebarang kekecohan dari pihak Pakatan. Nizar juga memberitahu bahawa beliau mendengar dari sumber-sumber di Sekretariat Kerajaan Negeri (SUK) bahawa 28 ADUN Pakatan akan dihalang daripada membawa telefon bimbit dan kamera untuk merakam sebarang kejadian tidak diingini yang mungkin berlaku dalam sidang esok. Khalil sebentar tadi turut memaklumkan perkembangan terkini berhubung sidang DUN esok yang dihantar ADUN DAP Beruas Ngeh Kor Ham melalui khidmat pesanan ringkas (sms). Ngeh membuat tinjauan ke Bangunan Perak Darul Ridzuan bagi melihat perkembangan terkini. Ngeh dalam pesanannya memberitahu polis baru sahaja selesai memasang kamera berparabola di sekeliling Bangunan Perak Darul Ridzuan dihubungkan terus ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman untuk memantau sebarang kejadian esok. "Polis turut memasang mesin pengesan di pintu masuk utama. Beberapa petugas sedang mencuba mikrofon tanpa wayar kemungkinan akan digunakan speaker mereka apabila mereka mematikan mikrofon ADUN PR," lapornya dalam sms berkenaan._ |
Tuesday, October 27, 2009
ADUN PR hadir sidang, dapat jaminan polis
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment