Tuesday, October 27, 2009

JK siasatan kes jambatan runtuh


Okt 27, 09 12:43pm
Sebuah jawatankuasa siasatan akan ditubuh untuk menyiasat kes jambatan gantung runtuh di Sekolah Kebangsaan Kuala Dipang dekat Kampar, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Jawatankuasa siasatan itu akan diketuai Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, kata Muhyiddin yang juga menteri pelajaran di tempat kejadian.

Manakala sidang Dewan Rakyat pula hari ini merakamkan simpati dan takziah kepada keluarga pelajar yang terlibat.

Ahmad Kasim (PKR-Kuala Kedah) mengemukakan cadangan supaya dewan meluangkan masa bertafakur kepada mangsa yang terlibat dalam kejadian jambatan runtuh itu.

Dalam kejadian jam 10.30 malam tadi, seorang pelajar perempuan mati lemas manakala dua lagi masih hilang ketika jambatan gantung yang mereka lalui secara beramai-ramai untuk menyeberangi Sungai Kampar putus.

Kejadian itu mengakibatkan 22 murid dihanyutkan air deras. Seramai 19 terbabit terselamat.

Jambatan tersebut terletak di Pusat Kokurikulum Daerah Kampar dalam kawasan SK Kuala Dipang.

Mereka adalah antara 298 murid dari 60 sekolah rendah dari Kampar, Tronoh dan Batu Gajah yang menyertai aktiviti kokurikulum Perkhemahan 1Malaysia anjuran Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Kinta Selatan.

Operasi mencari dan menyelamat melibatkan 222 anggota yang terdiri daripada polis, Tentera Laut Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Rela, Jabatan Pertahanan Awam dan agensi lain serta penduduk kampung dijalankan sebaik kejadian berlaku.

Agensi berita Bernama pula melaporkan, pelajar perempuan yang lemas itu dikenali sebagai Dina Deve a/p Nathan.

Mayatnya ditemui berhampiran loji sungai terbabit pada kira-kira pukul 8.30 pagi.

"Mayat telah dibawa ke Hospital Kampar di sini untuk dibedah siasat," kata Timbalan Ketua Polis Perak Datuk Zakaria Yusof kepada pemberita di kawasan kejadian hari ini.

No comments: