Thursday, October 29, 2009

AMK Dan Wanita Selangor Sokong Keputusan Khalid

Khamis, 29 Oktober 2009 Ruangan: Berita

Shah Alam , 20 Oktober 2009 - Kerajaan negeri memandang serius kepada mana-mana wakil rakyat atau pegawai yang gagal melaksanakan tugas yang telah diamanahkan.

Semua wakil rakyat dan pegawai harus menjunjung tinggi amanah yang telah diberikan oleh rakyat.

Menurut Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat Selangor, Haniza Talha, tindakan tegas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abd Khalid Ibrahim adalah wajar bagi mereka yang gagal menjalankan tugas.

“Saya kira saranan itu adalah wajar sebab Adun Pelabuhan Klang dipilih oleh rakyat kerana rakyat mahu beliau berkhidmat untuk rakyat, tetapi sekarang ini jika beliau tidak mampu melaksanakan tanggungjawab tersebut beliau hendaklah melepaskanya secara terhormat. Jadi letak jawatan dan kita boleh pilih wakil rakyat yang mampu laksanakan tugas tersebut,”jelasnya.

Menurut Haniza lagi tindakan Tan Sri Khalid ini menunjukkan beliau bertanggungjawab keatas kelicinan pentadbiran negeri Selangor.

“Sebagai Menteri Besar yang bertanggungjawab keatas negeri Selangor sudah tentu Tan Sri Khalid wajar .mengambil tindakan sedemikian, tindakan yang bijaksana.Kalau dibiarkan seorang wakil rakyat yang tidak berkemampuan berkhidmat untuk rakyat ini akan menjejaskan prestasi pentadbiran negeri dan ini adalah tanggungjawab Menteri Besar dalam memberikan yang terbaik untuk rakyat,”katanya.

Sementara itu Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan Selangor,Khairul Anuar Ahmad, menyokong penuh tindakan Menteri Besar untuk melepaskan Adun Pelabuhan Klang dari tugasnya.

“Inilah tanggungjawab yang harus kita ambil daripada rakyat, mandat yang telah diambil dari pengundi dari pilihanraya yang lalu.Sekalipun sukar tetapi tanggungjawab itu lebih penting ataupun amanah rakyat itu yang penting. Jjadi kalau kita dapati ada Adun-adun yang tidak dapat memberikan khidmat terbaik kepada kerajaan negeri dan rakyat walaupun setelah dibantu dan dinasihati, tetapi masih lagi gagal melaksanakan amanah itu maka kita perlu mengambil keputusan dan tindakan yang bertanggungjawab .Walaupun sukar tetapi amanah rakyat itu adalah yang penting,”katanya. - ShakiraBuang-TvSelangor.


No comments: