Tuesday, October 27, 2009

Misahan kuasa selamatkan Perak'


Salhan K Ahmad & Andrew Ong
Okt 27, 09
4:43pm
Semua pihak termasuk istana Perak diseru mengamalkan doktrin pemisahan kuasa bagi mengekalkan demokrasi di negeri tersebut yang kini terjerumus dalam kancah perebutan kuasa antara BN dan Pakatan Rakyat sejak awal tahun ini.

"Saya percaya selagi semua pihak mematuhi doktrin tersebut, sistem kerajaan di Perak akan menjadi amat bersih, selamat dan demokratik," kata Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin, menteri besar Pakatan Rakyat sebelum digulingkan BN, Februari lalu.

"Sebagai sebuah negeri yang mengamalkan sistem raja berperlembagaan, secara definisinya baginda tidak boleh memihak kepada mana-mana parti dan seboleh-bolehnya menjadi paling berkecuali."

Beliau diminta mengulas sama ada Sultan Perak, Sultan Azlan Shah kini lebih memihak kepada BN berbanding Pakatan Rakyat yang boleh dianggap melanggar doktrin itu yang menjadi tonggak demokrasi.

"Dalam situasi sekarang, selagi (tuanku) mematuhi doktrin itu dan menjalankan peranannya sebagai raja berperlembagaan, segalanya akan menjadi baik," katanya kepada Malaysiakini dalam wawancara eksklusif, Jumaat lalu.

Beberapa kes mahkamah yang muncul susulan krisis tersebut – antaranya melibatkan perebutan jawatan menteri besar dengan Datuk Seri Dr Zambry Kadir dan jawatan Speaker DUN antara V Sivakumar dan penggantinya Daruk R Ganesan – akan menguji lagi keutuhan doktrin ini, tambahnya.

"Mungkin semenjak 50 tahun sebelum ini, kita fikir kita telah faham doktrin ini tetapi apabila kita diuji, kita sedar bahawa apa yang kita faham itu sebenarnya tidak betul," katanya.

"Saya tidak mahu pertikai kedudukan bijak pandai sekarang. Pakar dalam perlembagaan, mereka perlu faham persoalan ini, tapi ia tidak penah diuji sebelum ini, hinggalah krisis di Perak berlaku.

"Kemudian barulah mereka sedar banyak perkara yang telah terlepas pandang."

Doktrin utama demokrasi mengiktiraf kebebasan tiga cabang pemerintahan utama – eksekutif, badan kehakiman dan badan penggubal undang-undang – bagi menyediakan sistem semak dan imbang.

Mohamad Nizar berkata, ujian keutuhan doktrin itu termasuklah tindakan ahli parlimen DAP bagi Puchong, Gobind Singh Deo mencabar keputusan Speaker Dewan Rakyat menggantung beliau selama setahun tanpa sebarang bayaran elaun dan faedah lain.

(Khamis lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan bahawa ia tidak ada kuasa untuk mencabar penggantungan 12 bulan ke atas Gobind daripada menghadiri sidang Parlimen. Bagaimanapun mahkamah mengarahkan Parlimen membayar imbuhan kepada peguam itu kerana ia tidak mempunyai kuasa menahan pembayarannya.)

"Ini satu persoalan yang kita belum faham sebelumnya. Jika anda berdasarkan keputusan mahkamah ke atas Gobind, tidak ada cara untuk mana-mana mahkamah masuk campur dalam keputusan yang dibuat oleh seseorang speaker," kata ADUN Pasir Panjang.

"Tapi pada masa yang sama, mahkamah telah menetapkan dalam kes Sivakumar bahawa ia boleh masuk campur. Adakah anda berkata hakim-hakim telah melanggar doktrin tersebut?

"Sebab Perkara 72 dalam perlembagaan Malaysia dengan jelas menyatakan apa-apa keputusan oleh mana-mana speaker tidak boleh dicabar di mana-mana mahkamah."

Mohamad Nizar, yang juga ahli parlimen PAS, berkata keputusan mahkamah dalam kes Gobind telah berjaya meletakkan doktrin pemisahan kuasa dalam perspektif.

"Saya tidak menuduh mereka (mahkamah) melakukan perkara ini sewenang-wenangnya, tapi mungkin kerana terlepas pandang (dalam kes Sivakumar)," katanya.

"Jadi saya rasa ini adalah peluang yang baik untuk memperkemas semua sekali dan menjadikannya (keputusan-keputusan itu) konsisten, dan meletakkan Perlembagaan Persekutuan sebagai rujukan paling penting, bukannya mengikut kehendak mereka atau mana-mana pengaruh."

No comments: