Wednesday, October 28, 2009

Tangani segera isu dera pembantu rumah

Hazayani Zakaria
Wed Oct 28, 09 7:06:35 pm MYT
KUALA LUMPUR, 28 Okt: Ahli Parlimen Wanita Pakatan Rakyat mendesak kerajaan mengambil tindakan tegas bagi menangani pemasalahan kebajikan dan keselamatan wanita ekoran tragedi kematian pembantu rumah Indonesia akibat didera majikan.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan bersama, ahli parlimen wanita Pakatan menggesa Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Wanita, Keluarga dan Masyarakat segera mengambil langkah berkesan bagi memastikan kejadian sedemikian tidak akan berulang.

"Pantauan secara langsung oleh kementerian-kementerian melalui agensi atau jabatan yang berkaitan perlu ditubuhkan segera bagi menyelesaikan kemelut ini.

"Penubuhan pusat aduan setempat dan talian hotline dilihat boleh membantu pihak agensi atau jabatan yang bertanggungjawab menerima, menyiasat dan mengambil tindakan berkenaan sebarang aduan yang diterima," kata kenyataan itu.

Ia ditandatangani oleh ahli Parlimen PAS Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusoff, ahli parlimen PAS Titiwangsa, Dr. Lo' Lo' Mohd Ghazali, ahli parlimen PAS Kota Raja Dr. Siti Mariah Mahmud, Ahli Parlimen PKR Ampang Zuraida Kamaruddin dan ahli parlimen DAP Batu Gajah Fong Po Kuan.

Mantik Hani, 36, dari Surabaya, ditemui dikurung di dalam tandas rumah majikannya, meninggal dunia 10 pagi Isnin lalu di Unit Rawatan Rapi Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang. Rawatan yang diberikan oleh doktor pakar, gagal menyelamatkan mangsa akibat keadaan mangsa yang terlalu lemah.

Menurut laporan, Mantik telah ditemui oleh pihak polis di dalam tandas yang berkunci dalam keadaan separuh pengsan dengan kesan lebam dan luka di seluruh badan.

Dia mendakwa telah beberapa hari tidak diberi makan selain kepalanya dicukur hampir botak.

Ahli parlimen wanita Pakatan turut mendakwa, kes kematian Mantik adalah kemuncak kepada kegagalan kerajaan dalam menjamin hak kebajikan dan keselamatan pekerja asing, terutamanya melibatkan pembantu rumah yang berjumlah sekitar 280, 000.

Tragedi ini juga telah mencemarkan nama baik Malaysia diperingkat antarabangsa.

"Akibat daripada kegagalan kerajaan Malaysia dalam memastikan persekitaran kerja yang baik serta amalan pemotongan sehingga 100% gaji pembantu rumah selama tujuh bulan bagi yuran yang dikaut oleh agensi pembantu rumah, mengakibatkan banyak kejadian pembantu rumah melarikan diri daripada majikan asal.

"Mereka kemudiannya menjadi mangsa kepada keadaan yang lebih buruk dan inilah yang berlaku kepada Mantik Hani," kata kenyataan itu.

Sementara itu, dalam kenyataan berasingan kepada Harakahdaily, Dr Lo' Lo' bimbang, apa yang berlaku kepada Mantik akan memberikan kesan kepada rakyat Malaysia di negara jiran berkenaan.

"Saya bimbang dengan nasib pelajar kita di sana. Apa kata kalau ada rakyat Indonesia yang membalas dendam kepada pelajar kita. Kerajaan mesti menyelesaikan segera kebimbangan ini," katanya.

Beliau mencadangkan kerajaan membuat kenyataan misalnya kerajaan dan rakyat Malaysia mengutuk keras pelakunya dan berjanji akan mengambil tindakan segera ke atas pihak yang bertanggungjawab.

Beliau juga mencadangkan agar diadakan pusat aduan di samping skuad pemantau keadaan para pekerja asing di negara ini agar ia tidak berulang lagi. _


No comments: